PKR bakal sertai Perikatan Nasional?

0
3031

Oleh Sarfarizmal Md. Saad


SELEPAS insiden memalukan di Parlimen melibatkan cadangan undi belah bahagi yang gagal dilaksanakan, Pakatan Harapan (PH) nampaknya mula goyang dan tidak stabil.

Pemuda DAP dengan berani dan tanpa silu tampil membidas dan mempersoalkan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap “cakap tak serupa bikin”.

Sebelum ini, gabungan PH telah membayangkan persetujuan menolak Belanjawan 2021 yang didakwa sebagai tidak cukup untuk memastikan kelestarian hidup rakyat negara ini yang sedang diamuk virus pembunuh Covid-19.

Namun ketika cadangan supaya diadakan undi belah bahagi terhadap rang udang-undang berkenaan, menurut sumber, Anwar di saat-saat akhir telah menghantar kiriman WhatsApp kepada semua anggota Parlimen PH agar tidak berdiri bagi membolehkan undian berkenaan dapat dilakukan.

Sebagai sebuah parti terbesar, tindakan Pemuda DAP ini bukan boleh dilihat sebagai enteng. Biasanya ia menjadi satu gerakan awal terhadap sesuatu usaha luar jangka yang bakal diambil oleh parti berkenaan.

Adakah benar DAP akan mengumumkan keluar PH, sekali gus membentuk sebuah gerakan baharu tanpa PKR pimpinan Anwar?

Jika benar, pastinya langkah parti roket itu akan disokong oleh pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sememangnya menjadi ayam tambatan DAP.

Sebelum ini, terdapat desas-desus bahawa Anwar akan membawa PKR bekerjasama dengan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing. Namun, perkara itu menyepi sahaja.

Berikutan gerakan terbaharu Pemuda DAP, mungkinkah Anwar pula menunjukkan ‘belangnya’ dengan tampil bekerjasama bersama PPBM dalam Pakatan Nasional (PN)?

Jika berlaku, PKR dilihat bakal mengimbangi jumlah kerusi yang ada pada UMNO, yang mana sekarang parti tertua Bangsa Melayu itu sedang menjadi majoriti dalam PN, iaitu 38 kerusi.

Tidak dapat dipastikan sama kemasukan PKR ke dalam PN menambah baik pertaruhan Anwar untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekali gus dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri (PM) berikutnya bagi gabungan PN, menggantikan Muhyiddin selepas ini.

Sementelah pula, ramai dalam UMNO mengidam jawatan, bukan TPM tetapi juga PM.

Bagi PPBM pula, kemasukan PKR sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan mereka daripada UMNO yang pada dahulunya menuntut untuk jawatan berkenaan.

Biarpun penasihat UMNO iaitu Datuk Seri Najib Razak yang tidak menolak untuk bekerjasama dengan Anwar dalam menentang regim DAP, jika terpaksa. Namun hakikatnya, segala-gala bukan mudah, ibarat jauh api dari panggang.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here