Biarlah ia menjadi rahsia hati saya – Yusof Haslam

0
6319
DARI kiri: Antara watak-watak penting, DSP Aleeza (Abby Abadi), Inspektor Daniel (Ungku Ismail), DCP Datuk Helmi (Yusof Haslam) dan ASP Jeslina (Erra Fazira).

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

DUA puluh satu tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat.
Malah dalam tempuh itu, ia telah membina satu ikatan yang teguh sehingga sukar untuk dileraikan begitu sahaja.

Namun apabila sampai waktu dan ketikanya untuk ‘berpisah’ tiada siapa yang dapat menghalang dan kita harus menerimanya dengan hati terbuka.

Begitu jugalah ‘hubungan intim’ yang telah lama terjalin antara RTM dengan drama bersiri kepolisan “Gerak Khas” yang mula ditayangkan di RTM sejak 5 April 1999.

Setelah 1,000 episod bersiaran di RTM, tiada siapa menduga drama yang memaparkan tugas dan tanggungjawab anggota polis dalam membanteras jenayah demi keamanan negara dan rakyat, akan melabuhkan tirainya dalam episod “Gerak Khas The Finale” di TV3.

“Gerak Khas The Finale” yang menjalani penggambaran selama enam bulan bermula Oktober tahun lalu dan diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam, Faizal Yusof, C. Kumaresan, Aziz M. Osman, MS Hakim dan Iskandar Shah akan bersiaran selama sejam setiap Jumaat dan Sabtu pada pukul 10.30 malam bermula 4 Disember ini.

ERRA Fazira sebagai ASP Jeslina nampak lembut tetapi tegas.

Promo yang mula bersiaran di TV3 sejak minggu lalu mengenai kemunculan drama kepolisan yang paling unggul dan bertahan sehingga dua dekad ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan tanda tanya di kalangan para peminat setianya.

Namun apa yang pasti ramai yang tidak sabar menanti akan kemunculannya kerana yakin ia akan lebih mencengkam hati dan perasaan dengan paparan pelbagai aksi yang mencemaskan dengan para pelakon popular dan hebat.

Apalagi dalam promo itu memaparkan DCP Datuk Helmi menyampaikan amanat akhir kepada SAC Saiful dan ACP Haris yang pasti akan meruntun hati para peminat setia drama ini.

Penerbit drama berkenaan, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi malam tadi walaupun pada mulanya enggan menjawab apabila ditanya mengapa “Gerak Khas The Finale” memilih TV3 sebagai noktah siri berkenaan akhirnya mengalah setelah diasak dengan soalan yang sama berkali-kali.

“Biarlah ia menjadi rahsia hati saya,” kata Yusof Haslam dalam nada yang amat perlahan dan tenang.

Menurut beliau, walaupun “Gerak Khas” bermula di RTM dan berakhir di TV3 namun beliau tetap menghargai hubungan baik yang terjalin selama ini dan berterima kasih kepada RTM kerana memberi peluang kepada Skop Productions menerbitkan drama-drama bercorak kepolisan.

DARI kiri: SAC Shaharol Anuar (SAC Saiful), Yusof Haslam (DCP Datuk Helmi) dan Norman Hakim (ACP Haris) dalam Gerak Khas The Finale yang akan mula ditayangkan pada 4 Disember ini pukul 10.30 malam di TV3.

“Hubungan Skop dan RTM telah terjalin selama 35 tahun dan kami akan terus menerbitkan drama bercorak kepolisan yang merupakan tunggak utama kami untuk RTM di masa hadapan.

“Bukan itu sahaja, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) diatas kerjasama dan sokongan yang diberikan selama ini. Tanpa PDRM, Gerak Khas tidak akan wujud,” kata Yusof Haslam.

Skop Productions Sdn. Bhd. mula menerbitkan drama bercorak
kepolisan untuk RTM dengan drama pertamanya Remang-Remang Kotaraya (1985), Harimau Rimba (1987) Di Sebalik Ombak (1988), Debu-Debu Kota (1989), Roda-Roda Kuala Lumpur (1998-1999, 2008-2013), Metro Skuad (2012-2013) dan Gerak Khas (1999-2011, 2013-2020)

Bercerita pengalaman menerbit dan mengarah drama bercorak kepolisan yang menjadi tunggak utama Skop Productions sejak ia ditubuhkan pada 13 Mac 1985, Yusof Haslam berkata;

“Menerbitkan Gerak Khas bukanlah satu tugas yang mudah. Tanpa kerjasama daripada PDRM ia bukan sahaja tidak wujud malah tidak akan bertahan lama kerana ia bermula dari idea, pembinaan watak, jalan cerita dan skrip.

“Skrip yang kami hasilkan bukan ikut kata hati sebaliknya harus dihantar ke bahagian Perhubungan Awam PDRM di Bukit Aman untuk diteliti dan setelah mendapat kelulusan kami akan memulakan penggambaran.

“Sepanjang penggambaran selain kerjasama, pihak PDRM juga memantau bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan undang-undang. Setelah siap kami akan menyerahkan kepada PDRM untuk diprebiu dan apabila mendapat kelulusan barulah pihak RTM menayangkannya.”

PARA pelakon yang turut mewarnai Gerak Khas The Finale (dari kanan) C. Kumaresan, Salina Saibi, Yusof Haslam, Abby Abadi dan Sheera Iskandar.

Bagi para peminat Gerak Khas tentu tertanya-tanya mengapa ‘kecintaan’ Yusof Haslam yang begitu mendalam menerbitkan drama-drama bercorak kepolisan sejak sekian lama.

Menurut beliau, sejak dari sekolah lagi beliau memang bercita-cita mahu menjadi Inspektor Polis disamping berlakon. Sayangnya cita-citanya tidak kesampaian.

“Bagaimanapun impian untuk menerbitkan drama kepolisan semakin membara setelah saya membintangi filem Bukit Kepong pada 1981 apalagi ketika itu saya berkenalan dengan seorang anggota polis, Latifi Ahmad (kini telah bersara dan bergelar Datuk).

“Apabila Skop Productions ditubuhkan beliau banyak memberi nasihat dan input untuk drama kepolisan Skop dan banyak menulis skrip untuk Remang-Remang Kotaraya,” cerita Yusof Haslam disamping tidak melupakan Allahyarham DSP Roslan Ahmad dan SAC Shaharol Anuar serta rakan-rakan polis yang banyak memberi idea untuk drama kepolisan terbitannya.

Menyentuh mengenai “Gerak Khas The Finale” selain mengekalkan pelakon seperti Norman Hakim (ACP Haris), SAC Shaharol Anuar (SAC Saiful), Erra Fazira (ASP Jeslina), Salina Saibi (ASP Salina), Sheera Iskandar (Inspektor Sheera), C. Kumaresan (DSP Kumar) turut berlakon ialah Datuk Rahim Razali, A. Galak, Abby Abadi (DSP Aleeza), Ungku Ismail (Inspektor Daniel), Izad, Farid Amirul, Z. Zamri, Deen Maiden dan penampilan istimewa Datuk Yusof Haslam sebagai DCP Datuk Helmi.

Dalam mengekalkan rekod kecemerlangan Gerak Khas, Skop Productions bukan sahaja mengundang para pelakon yang sudah estsblish malah sanggup mengeluarkan bajet besar untuk menjalani penggambaran di luar negara.

Gerak Khas The Finale selain menjalani penggambaran di Kelang dan Kelantan turut menjalani penggambaran di Korea yang merakamkan percutian ASP Salina (Salina Saibi) dan Inspektor Sheera (Sheera Iskandar).

DARI kanan: ‘Pegawai polis yang jelita’ – Inspektor Sheera, DSP Aleeza dan ASP Salina.

Sebelum itu, Gerak Khas yang pernah diarahkan oleh Yusof Haslam, Yusof Kelana, Faizal Yusof, Majid Salleh, C. Kumaresan, Aziz M. Osman dan Rashid Sibir turut menjalani penggambaran di London selama seminggu (2015), di Jakarta selama tiga minggu (2016) dengan kerjasama polis Indonesia dan di Bangkok selama dua minggu untuk tiga episod pada tahun 2017, demi memberi kelainan dan kelas yang tersendiri untuk drama berkenaan.

Ditanya mengenai perancangan beliau di masa hadapan, Yusof Haslam memberitahu;

“Skop akan menerbitkan drama bercorak kepolisan yang baharu tidak lama lagi dan RTM tetap di hati saya selain TV3 dan Astro. Bagaimanapun buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia kerana saya perlu berbincang tentang idea ini dengan pihak PDRM.”

UNGKU Ismail diperkenalkan dalam Gerak Khas The Finale sebagai Inspektor Daniel.

-Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here