Zoo Taiping & Night Safari dijangka alami kerugian lebih RM500,000

0
440
ANAK-anak harimau yang dilahirkan di Zoo Taiping.

ZOO Taiping dan Night Safari di bandar itu dijangka mengalami kerugian antara RM500,000 hingga RM600,000 dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa sehingga 6 Dis ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata kerugian itu susulan kemerosotan hasil kutipan tiket sehingga 95 peratus.

“Kemerosotan itu amat ketara dengan kedatangan pengunjung antara 20 orang hingga 60 orang setiap hari,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPT di Taiping hari ini.

Bagaimanapun Khairul Amir berkata penjagaan makanan haiwan terbabit masih dapat ditanggung dengan kos RM150,000 sebulan serta kos operasi selain gaji kakitangan yang memerlukan perbelanjaan lingkungan RM350,000 hingga RM400,000 sebulan.

Katanya MPT akan menjalankan kerja menaik taraf kandang burung enggang, helang, pameran ular dan bumbung dengan kos RM1.8 juta di zoo berkenaan pada Januari tahun depan melalui projek sumbangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau berkata selain peruntukan itu, Perhilitan turut memberikan bantuan penyelenggaraan makanan haiwan selama empat bulan sejak Ogos lepas hingga November ini bagi mengurangkan beban pihak zoo.

Khairul Amir berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM150,000 bagi kerja menaik taraf tandas dan kipas di kawasan zoo itu.

Bernama

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here