Kerajaan pertimbang naik had umur penerima bantuan insurans mySalam

0
214

KUALA LUMPUR — Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan syor untuk menaikkan had umur kelayakan penerima bantuan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata inisiatif itu yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kini melibatkan 3.69 juta individu berpendapatan rendah (B40) berumur 18 hingga 55 tahun, serta pasangan mereka.

“Apa yang ditawarkan di pihak swasta adalah dari 18 hingga 55 tahun yang lebih itu dianggap ‘non-insurable’ (tidak layak untuk perlindungan), tetapi kerana ini adalah inisiatif kerajaan dan oleh itu kita akan pertimbangkan cadangan sama ada kita boleh lanjutkan sikit (umur),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menaikkan had umur penerima mySalam kerana ramai yang mengalami penyakit seperti Alzheimer pada usia melebihi 55 tahun.

Menjawab soalan asal Maria mengenai apa terjadi kepada baki dana mySalam sekiranya jumlah tuntutan kurang daripada jumlah dana itu, Lim berkata lebihan atau keuntungan akan disalurkan kembali ke skim mySalam.

Satu tabung amanah telah diwujudkan bagi tujuan mengurus sumbangan daripada penanggung insurans dan pengendali takaful kepada skim itu, katanya.

Mengulas lanjut, Lim berkata inisiatif mySalam itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat insurans iaitu Great Eastern Holdings yang menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion bagi dana amanah mySalam.

Sebagai permulaan, katanya, skim itu ditawarkan melalui Great Eastern Takaful Berhad, pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Skim itu menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000 satu kali sekiranya mereka disahkan menghidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser dan penyakit jantung.

Selain itu, skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun, kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan, katanya.

– Bernama
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here