Siti Nurhaliza berlakon dengan Aafiyah dalam Kuasa Cintamu

0
4449
VIDEO muzik rasmi Kuasa Cintamu dapat ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula pukul 9 malam ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TAK ada rahsia-rahsia lagi, semuanya didedahkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin. Kalau dulu sebelum berkahwin bila tanya bercinta dengan siapa, diberinya jawapan menerusi lagu Biarlah Rahsia.

Kini Siti Nurhaliza, 41, yang sudah 25 tahun aktif dalam bidang seni lebih senang mengamalkan sikap terbuka seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman.

Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu telah bekongsi rasa cintanya dengan para peminat menerusi lagu Kuasa Cintamu yang dicipta oleh penyanyi dari Indonesia, Melly Goeslaw. Manakala liriknya dihasilkan bersama Siti itu merupakan video muzik ketujuh daripada album Manifestas SITI2020 yang dilancarkan sejak 3 Julai lalu.

KUASA Cintamu sarat dengan emosi yang bercerita tentang penantian Siti Nurhaliza untuk memiliki zuriat.

Menerusi lagu tersebut, Siti bercerita tentang perasaannya menanti kehadiran anak sulungnya itu. Malah untuk video muzik lagu tersebut yang diarah oleh Adriana Tunku, bukan sahaja membawakan kelainan dari segi teknik penggambaran, lebih istimewa apabila Siti Aafiyah turut terlibat menjayakannya.

Bertepatan dengan lirik yang dihasilkan, Siti meluahkan penantiannya untuk memiliki cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006. Penantian dan kesabarannya selama 11 tahun itu berbaloi kerana pada 19 Mac 2018, Siti selamat melahirkan anak sulung, Siti Aafiyah.

Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, Siti berkata, pembikinan video muzik tersebut adalah satu pengalaman baharu buatnya.

“Ini merupakan satu pengalaman baharu buat saya kerana menjayakan penggambaran dalam satu urutan tanpa henti serta dalam masa yang sama saya harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja.

“Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran tersebut. Siti Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buat anakanda saya,’’ katanya ceria.

Sementara itu, Adriana berkata, bagi menterjemah secara visual maksud di sebalik lirik lagu Kuasa Cintamu, pengarah tersebut memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti dari zaman kelahiran beliau sehingga dikurniakan cahaya mata sendiri, Siti Aafiyah.

SITI Aafiyah turut muncul dalam video muzik Kuasa Cintamu.

“Bila diteliti, lagu Kuasa Cintamu ini sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita tentang cinta yang bersifat universal. Ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita iaitu cinta kepada Tuhan, cinta kepada pasangan, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga dan cinta kepada anak.

“Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas bagi menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu. Menampilkan kisah hidup Datuk Siti sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup Datuk Siti dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini.

“Bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan Datuk Siti, kami merakam keseluruhan video muzik ini dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan. Teknik penggambaran sekali rakam ini, memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama,” katanya panjang lebar.

Tambah Adriana, setiap butiran kecil  melibatkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi agar  penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera.

“Untuk mendapatkan ‘shot’ yang sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang kali. Bekerjasama dengan Datuk Siti adalah suatu pengalaman yang sangat berharga buat pasukan kami.

“Datuk Siti cukup komited ketika pembikinan video muzik ini dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan lensa kamera,” jelas Adriana lagi tentang pendekatan kreatif yang diambil dalam merealisasikan idea asal video muzik ini dari papan cerita ke skrin.

Bagi Razlan Shah yang bertindak sebagai penerbit pula berkata, Siti Nurhaliza merupakan penyanyi yang paling profesional yang pernah beliau bekerjasama.

“Sikap rendah diri dan profesionalisme beliau sememangnya melayakkan Datuk Siti bergelar #1 di Malaysia. Saya berterima kasih kepada Datuk Siti kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadi hidupnya dalam video muzik sekali rakam ini.

Malah beliau turut berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut serta penata gaya Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik tersebut.

Video muzik rasmi Kuasa Cintamu boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula pukul 9 malam ini (1 Disember 2020). Album ManifestaSITI2020 juga  boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Joox, iTunes, KKBox dan  Deezer.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here