Beri SPRM kuasa mendakwa?

0
699

Oleh Ahmad Faisal Mohamed Fiah

SEMASA saya masih lagi kanak-kanak dan di bangku sekolah, saya kerap kali diperdengarkan dengan slogan “dadah musuh negara”.

Ya, pada ketika itu malahan hingga ke hari ini, dadah masih lagi musuh utama negara dan masyarakat.

Ia bukan sahaja merosakkan diri si penagih tetapi keluarga, anggota masyarakat atau komuniti serta negara secara amnya turut terkesan dengan penagihan dadah yang mana pada hari ini dadah bukan sekadar yang disuntik tetapi hadir dalam pelbagai bentuk dan pastinya ia sesuatu yang merosakkan.

Namun pada hari ini, Malaysia berdepan satu lagi ancaman yang sama hebat, mungkin lebih lagi iaitu rasuah.

Sepertimana dadah, rasuah juga boleh mendatangkan“ketagihan” tetapi ketagihan dadah sekurang-kurangnya dapat diatasi dengan kewujudan pusat serenti tetapi “ketagihan” rasuah tiada “ubat” yang dapat menanganinya.

Saban hari, kita dihidangkan dengan pelbagai cerita mengenai salah laku yang berkaitan dengan rasuah baik si ikan bilis yang semakin hari semakin banyak jumlahnya mahupun si ikan jerung yang seakan-akan tidak serik atau takut dengan apa yang berlaku di sekeliling kita hari ini.

Sungguhpun demikian, kerajaan tidak pernah berputus-asa terhadap usaha untuk membanteras rasuah sekalipun kita sedar tahap rasuah pada hari ini semakin membarah dalam masyarakat kita.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM atau sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah nampaknya semakin tidak menang tangan dalam memastikan setiap pesalah dapat dibawa ke muka pengadilan.

Baik aduan yang membabitkan rasuah di dalam jabatan kerajaan mahu pun swasta, baik yang dilaporkan atau tidak, baik yang melibatkan ahli politik atau orang awam, SPRM dapat dilihat sentiasa melakukan yang terbaik kerana mereka sedar rakyat meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap mereka dan SPRM perlu memastikan integriti berada di tahap yang maksimum tanpa memilih bulu.

Bagaimanapun sejak kewujudan SPRM atau BPR sebelumnya, mungkin rakyat tidak menyedari bahawa SPRM masih terdapat kekurangannya iaitu mereka tidak mempunyai kuasa pendakwaan.

Setiap siasatan yang telah lengkap akan dibawa ke pejabat Peguam Negara dan jika peguam negara “berpuas hati” maka pendakwaan akan dilakukan.

Situasi ini yang selalu mendatangkan persoalan di kalangan rakyat, adakah SPRM tidak mempunyai taring atau had tugas yang dimiliki SPRM ini punca yang membawa kepada sukarnya untuk membendung rasuah khususnya yang berlaku di kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam.

Sebenarnya untuk mengatakan SPRM tidak bertaring adalah tidak adil tetapi dalam masa yang sama kewajaran untuk memberi SPRM kuasa pendakwaan juga harus dipertimbangkan dengan serius.

Kita perlu akui, sejak SPRM “dinaik taraf” menjadi sebuah suruhanjaya, ia adalah satu bukti bahawa kerajaan sentiasa serius dalam usaha menangani rasuah.

Sungguhpun diketahui pada hari ini, si pelaku rasuah semakin hari semakin licik dengan pelbagai taktik untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral mereka namun SPRM masih dapat “menghidu” setiap pergerakan hingga membawa kepada penangkapan dan pendakwaan serta tidak kurang juga sebahagian mereka telah dibuktikan bersalah.

Ini menunjukkan bahawa SPRM sememangnya kompeten dan berkemampuan dalam membawa mereka ke muka pengadilan tetapi pastinya ia akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan jika SPRM juga diberikan kuasa untuk mendakwa.

Selain daripada kuasa pendakwaan, SPRM juga seharusnya boleh diberikan “kebebasan” dalam soal pelantikan dan penamatan perkhidmatan sesuatu perjawatan di bawah kawalseliaan mereka.

SPRM pastinya lebih arif dalam menentukan siapa yang harus dilantik atau tidak untuk berada bersama-sama mereka dalam menjalankan tugas yang mencabar ini.

Tugas membanteras rasuah bukanlah suatu tugas yang “tangkap muat” atau sekadar mencari mereka yang berpuas hati dengan “makan gaji” atau elaun semata-mata, ia memerlukan mereka yang benar-benar mempunyai “jiwa” sambil memegang amanah yang tinggi serta berintegriti.

Soal amanah dan integriti bukan satu persoalan yang meniti di bibir sahaja tetapi ia satu persoalan yang besar.

Jika mereka yang berada dalam SPRM sendiri tidak amanah, pada siapa lagi rakyat boleh berharap, jangan sampai pepatah “harapkan pegar, pegar makan padi” juga terpalit di muka SPRM.

Kewujudan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional, GIACC menambah lagi “kekuatan” kerajaan dalam membanteras rasuah.

GIACC yang ditubuhkan sejak 2018 dan diletakkan terus di bawah Perdana Menteri menunjukkan usaha menangani rasuah bukan omongan kosong semata-mata dan walau siapapun yang menjadi Perdana Menteri, ikrar menangani rasuah adalah antara ikrar yang paling utama.

Sekalipun GIACC dan SPRM mempunyai ketua yang berbeza, namun kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu membanteras rasuah tidak kira berapa lama masa yang harus diambil.

Setiapnya mempunyai cara yang tersendiri serta mereka juga mempunyai skop dan terma kerja yang berbeza tetapi dengan wujudnya entiti sebegini, diharapkan usaha kerajaan untuk melihat Malaysia yang bebas rasuah dapat terlaksana satu hari nanti.

Akhir sekali, usaha menangani rasuah tidak boleh disandarkan kepada Perdana Menteri, kerajaan, SPRM atau GIACC semata-mata.

Rakyat terutama mereka yang mempunyai urusan langsung dan boleh membawa kepada rasuah sendiri harus menghindarkan diri daripada perbuatan tidak bermoral ini.

Sepertimana kita melaungkan slogan “katakan tidak pada dadah” begitulah juga kita harus katakan kepada rasuah.

Ya, ada masa nafsu dan sikap tamak yang mendorong sebahagian anggota masyarakat terjebak dengan rasuah namun saya percaya kita semua khususnya yang beragama Islam masih lagi mempunyai pegangan yang kuat.

Janganlah kerana kemewahan “sementara” kita sanggup gelap mata dan pada akhirnya adakah kita semua mahu melihat atau membayangkan bahawa satu hari nanti anak-anak kita semua “tidak kisah” untuk makan rasuah?
Jawapannya, ada pada diri masing-masing.

Tepuk dada tanya iman bukan tanya selera. Ikut rasa binasa, ikut hati, mati.

**Penulis merupakan Pensyarah Kanan dalam program kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here