Shasha ‘Adik Manja’ tidak terfikir kembali berlakon

0
7825

OLEH AHMAD ABD HAMID

MASIH ingat Sofea, pelajar cantik yang manja dan nakal dalam filem Adik Manja arahan Othman Hafsham keluaran 1980?

Peminat filem era 80-an pasti ingat betapa lincahnya watak Sofea yang dibawa oleh  Shasha atau nama penuh Sharifah Shalina Syed Abdullah, di samping Dharma Harun Al-Rashid sebagai Cikgu Azmi dan Noor Kumalasari sebagai Cikgu Sharina.

Turut membintangi filem tersebut ialah Noraini Hashim sebagai Pengetua dan Adibah Amin sebagai Cikgu Bedah yang kepoh. Juga Laila Mazlan sebagai Yati kawan baik Sofea, Erlina Dewi sebagai Zaiton, serta beberapa pelakon remaja lain yang membawakan watak rakan-rakan Sofea dalam filem tersebut.

Namun sudah lama Shasha tidak mewarnai dunia lakonan di Malaysia. Kelibatnya tidak kelihatan. Wajahnya tidak lagi terpapar di akhbar atau majalah. Pasti ramai tertanya-tanya di mana dia berada sekarang dan bagaimana kehidupannya selepas tidak aktif berlakon.

Sebenarnya Shasha, 60, sudah lama meninggalkan Malaysia dan kini tinggal di New Haven, Connecticut, Amerika. Shasha pergi ke Amerika Syarikat pada 1982 selepas membintangi Adik Manja dan Langit Petang. Hasratnya untuk menyambung pelajaran dan memasuki  Universiti of Nebraska, Lincoln.

Sebelum ke Amerika, Shasha pernah bekerja setahun setengah di ibu pejabat Syed Kechik Film Productions di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pada 1985 Shasha balik ke Malaysia untuk bercuti  musim panas (summer break). Ketika itulah dia ditawarkan berlakon Ali Setan 2, filem ketiga dan terakhir lakonannya. Shasha menerima tawaran tersebut dan menangguhkan kepulangan ke Amerika selama setahun.

Shasha berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia yang dikenali melalui seorang kawan dari Malaysia juga. Sejak itulah dia terus menetap di Connecticut.

WAJAH terbaharu Shasha di New Haven, Connecticut, Amerika.

Selepas kegemilangan membintangi Adik Manja, filem pecah panggung dengan kutipan RM3.5 juta, Shasha membintangi Langit Petang (1982) dan Ali Setan 2 tahun 1985.

Dia juga membintangi beberapa drama TV, antaranya Tamu Bukit Kenny arahan Abdullah Zainol; Rahsia Hati arahan Zohara Gany Bathusha; Layang-Layang Terbang Melayang arahan Hasiah Ariffin serta telemovie, Terjebak arahan M. Osman.

Namun Adik Manja yang menggilap nama Shasha. Filem itu bukan sahaja memperkenalkan Shasha ke layar perak tetapi menjulang namanya apabila menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-26 di Jakarta tahun 1980.

Selain itu Adik Manja berjaya memegang rekod kutipan tertinggi selama 14 tahun sehingga  dipecahkan oleh filem Sembilu keluaran Skop Production pada 1994.

Dalam perbualan dalam talain baru-baru ini, Shasha mengimbau bagaimana dia terpilih memegang watak Sofea setelah melalui proses pemilihan dan screen test yang ketat.

Menurutnya, dia terbaca iklan di akhbar mengenai pencarian pelakon untuk filem Adik Manja dan memohon. Terdapat lebih kurang 800 permohonan diterima oleh pihak pengeluar filem, Merdeka Film Productions.

Pelakon kelahiran Kuala Kangsar, Perak tetapi dibesarkan oleh datuk saudara dan tinggal di Selangor itu memberitahu, dia menghadiri audition bersama ratusan remaja yang juga mahu mencuba nasib.

Daripada jumlah yang ramai ini ditapis lagi hingga tinggal 80 orang dan diaudition lagi untuk tinggal separuh atau 40 calon.

“Kemudian abang Hafsham (Othman Hafsham) menjalankan screen test ke atas beberapa orang daripada kami untuk menentukan pemegang watak tertentu bersesuaian dengan skrip, seperti watak Sofea, Yati dan Zaiton. Shasha sendiri discreen test tiga kali,” kata Shasha.

Menceritakan bagaimana dia mampu menghidupkan watak Sofea yang lincah nakal, Shasha memberitahu, dia memang jenis ‘hyper’ ketika itu, apatah lagi mendapat geng satu kepala seperti Laila Mazlan. Kedua-dua mereka memang amat serasi membawa watak rakan baik dalam Adik Manja. Gelagat mereka, yang dibantu oleh rakan-rakan lain, menghidupkan filem komedi remaja ini.

Sepanjang berada di Amerika, Shasha hanya tiga kali kembali ke tanah air sehingga ini. Memang sudah lama dia tidak pulang tetapi dia sendiri belum pasti samaada akan terus menetap di Amerika.

Namun rindunya kepada keuarga, saudara mara dan kawan-kawan serta peminat tidak pernah pudar. Untuk melepas rindu dia berhubungan melalui Skype atau Messenger.

Di samping itu dia mengambil kesempatan bergaul dan bermesra dengan masyarakat Melayu di sana dan bersama-sama meraikan sambutan seperti Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Dalam suasana pandemik Covid-19 kini, Shasha lebih banyak menghabiskan masa  mengurus rumah serta melayari Internet untuk mengetahui perkembangan semasa.

Jika cuaca tidak terlalu sejuk, dia juga gemar melakukan senaman berjalan-jalan serta mengunjungi jiran-jiran, atau membawa kucing bermain. Shasha peminat tegar kucing.

Shasha yang tidak mempunyai anak memberitahu, dia tinggal berjauhan daripada suami kerana suaminya bekerja di pantai barat Amerika, iaitu di California. Dia tinggal menjaga rumah dan suaminya balik pada waktu tertentu seperti Hari Raya.

Ditanya adakah dia mengikuti perkembangan filem di Malaysia, Shasha memberitahu, oleh kerana sudah lama tidak berada di Malaysia, dia tidak banyak mengetahui perkembangan filem Melayu melainkan yang dikongsi melalui kawan-kawan, keluarga dan saudara mara di Internet.

Tidak tergerakkah untuk kembali berlakon? Shasha berkata, ia bergantung kepada peranan atau watak yang diberi serta jangka waktu penggambaran. Namun pada waktu ini dia tidak terfikir untuk kembali ke layar perak.

Kepada para peminat yang masih mengingatinya, Shasha menyampaikan salam rindu dan terima kasih atas sokongan terhadapnya selama berkecimpung dalam dunia seni.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here