Isteri pengidap kanser tetap berkorban jaga suami

0
501

Oleh Arrazaq Nazri

KLANG — Biarpun diri sendiri mengidap penyakit kanser fibroid yang kronik, Noresah Sahan, 51 tetap setia menjaga suaminya, Ahmad Suhaimi Abd. Aziz, 61, yang sakit sejak tiga tahun lalu dengan sepenuh hati.

Ahmad Suhaimi yang tinggal di Taman Sri Menegun, merupakan pesakit kanser Limfoma dan baru menjalani rawatan kemoterapi.

Betapa besarnya kasih Noresah, beliau sanggup berkorban supaya rawatan suaminya didahului berbanding dirinya sendiri.

Menurut Noresah, suaminya memerlukan kos rawatan lanjut sebanyak RM35,000, sedangkan wang simpanannya telah habis menampung kos ulangalik dan penginapan sepanjang suami saya dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang mencecah ratusan ringgit..

“Kami tidak mendapat bantuan mana-mana pihak berkuasa dan terpaksa meminta bantuan saudara-mara. Saya dahulukan wang pencen suami sebagai pesara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan simpanan yang ada untuk rawatan sakitnya, walaupun doktor menyuruh saya melakukan pembedahan membuang rahim akibat kanser Fibroid,” kata Noresah.

Beliau berkata demikian pada program Ziarah Prihatin Selebriti dan NGO Selangor yang dihadiri oleh penyanyi Datuk Nashrudin Elias dan NGO Selangor di sini.

Antara NGO yang hadir adalah Pertubuhan Dalam Komuniti Bandar Botanic Klang, 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) dan Persatuan Kebajikan Suara Rakyat Selangor Rakyat Selangor (SPV).

Menurut Noresah, beliau memiliki tiga orang anak yang berusia antara 14 hingga 27 tahun, yang mana dua darinya sudah berkeluarga dan berpendapatan sederhana.

Noresah yang merupakan surirumah sepenuh masa, berharap ada pihak yang tampil membantu mereka mengumpul kos perubatan untuk Ahmad Suhaimi yang mencecah lima angka sedangkan pendapatannya hanyalah wang pencennya sebanyak RM700 sebulan.

Sementara itu, Nash yang juga pelantun lagu Pada Syurga Di Wajahmu menganggap pengorbanan besar Noresah mendahulukan rawatan suami tersayang sebagai menepati lirik lagunya itu.

“Pengorbanan Puan Noresah sungguh mengharukan, diharap ujian yang pasangan ini lalui berakhir dengan baik.Saya berharap pemimpin masyarakat setempat dapat membantu mereka yang sedang diuji dengan penyakit kronik,”katanya.

Orang ramai atau syarikat korporat yang ingin menyumbang bagi meringankan beban keluarga tersebut, boleh memasukkan sumbangan tunai ke akaun Maybank 162393794546 atas nama Nurul Asyeila Binti Ahmad.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here