
Oleh Arrazaq Nazri
SHAH ALAM — Kerajaan diharap dapat permudahkan sebarang prosedur pengeluaran wang sehingga RM10,000 di bawah program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2021 baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, pihaknya berharap tiada pelbagai syarat dikenakan untuk mengeluarkan wang sehingga menyusahkan rakyat.
“Ketika ini, semua golongan rakyat berdepan dengan kesukaran tidak kira usahawan, petani, penternak malahan golongan profesional.
“Janganlah rakyat disusahkan dengan syarat-syarat seperti perlu membukti pendapatan. Pendek kata rakyat tengah susah pada saat ini maka jangan mereka disusahkan,”katanya pada Program Ziarah Prihatin Muafakat Nasional di Kampung di sini.
Azhari juga meminta supaya penangguhan pembayaran pinjaman atau moratorium dilaksanakan secara automatik untuk semua dan bukan secara bersasar.
– BebasNews