SFMM35 edisi ketiga, kembali beraksi 15 Disember ini

0
464

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

HANYA artis-artis yang membuat persembahan sahaja yang akan hadir bagi memastikan bilangan orang yang berada di studio Sri Pentas 2, Shah Alam, dapat dikurangkan dan memudahkan penjarakan fizikal.

Itulah syarat yang ditetapkan oleh penerbitan Muzik Muzik 35 Separuh Akhir (SFMM35) edisi ketiga yang akan bersiaran pada 15 Disember 2020 selepas tertangguh kerana pengesahan Alif Satar yang beliau positif Covid-19, pada 22 November lalu.

Ekoran pengumuman daripada Alif, SFMM35 edisi ketiga telah ditunda dan seluruh warga kerja serta artis turut menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Oleh itu, penantian para penonton untuk mengetahui 12 lagu manakah yang bakal mara ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) akan diumumkan Selasa ini selepas sembilan lagu yang bertanding didendangkan oleh artis berkenaan.

Menurut Penerbit Eksekutif SFMM35, Nurhul Huda Hj Khalid, warga kerja program tersebut yang merupakan kontak rapat kepada Alif sebelum ini telah pun membuat ujian calitan (swab) di pusat-pusat perubatan kerajaan berhampiran.

“Pematuhan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah keutamaan kami demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Warga kerja lainnya juga telah mematuhi arahan Jabatan Sumber Tenaga, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun tidak bergejala.

“Oleh itu, sekiranya kami kekal tidak bergejala sehingga tamat tempoh kuarantin kelak, kami dibenarkan untuk kembali bekerja seperti biasa sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kini, proses perancangan semula SFMM35 sedang diperhalusi dan pensanitasi berkala juga dilakukan bagi memastikan kelancaran penyiaran hari ketiga SFMM35 pada 15 Disember kelak,” jelasnya.

Sebelum ini, SFMM35 telah berlangsung pada 20 dan 21 November. Dua lagu telah diangkat sebagai lagu terbaik pada kedua-dua episod tersebut iaitu Hati nyanyian Hael Husaini dan diciptakan oleh Hael Husaini dan Ezra Kong, juga 7 Nasihat yang dinyanyikan oleh Shiha Zikir, Kmy Kmo & Luca Sicta, ciptaan Kmy Kmo & Luca Sicta.

Bersama Haziq Hussny dan Sherry Al Hadad sebagai hos, saksikan 12 lagu manakah yang akan mara ke Anugerah Juara Lagu 35 dalam Muzik Muzik 35 Separuh Akhir pada hari Selasa, 15 Disember 2020, pukul 9 malam di TV3.

Lagu yang akan bertanding pada malam itu adalah Hello, kolaborasi Ismail Izzani dengan Andi Bernadee, Eh (Zizi Kirana), Semalam (Aina Abdul), Belenggu Rindu (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah), X Missing You (Dayang Nurfaizah, Tuju & Yonnyboi), Takkan Terlerai (Syamel & Ernie Zakri), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Aku Kau Dan Muzik (Akim & Stacy) dan Peluang Kedua (Nabila Razali).

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here