Farah harus kuat demi anak-anak

0
1278
FARAH Ahmad bersama buah hatinya (dari kiri) Thia Farhana, Dhia Farhana dan Mhia Farhana.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR / Foto: Bob Buhairi

SEPERTI yang dijanjikan, Jumaat 28 November jam tiga petang saya sampai di tingkat tiga Studio Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) di Taman Putra Sulaiman, Ampang, untuk melihat latihan para pelakon yang terlibat dalam “Rasa” teater maya (virtual) pertama terbitan Primadona, Fauziah Nawi.

Ketika saya baru berehat di salah satu kerusi yang disusun mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) kerana lelah menaiki tangga, tiba-tiba mata saya terpaku di satu sudut studio itu kepada empat susuk tubuh yang asyik memerhati para pelakon berlatih di pentas yang dibina di studio berkenaan.

Apabila memandang satu demi satu kanak-kanak itu, tiba-tiba hati saya sayu kerana teringat ketiga-tiga anak itu dalam sekelip mata menjadi yatim dan ibu mereka menjadi balu, setelah ayah mereka, Mohd Firdaus Mohamad [email protected] Hanif lemas apabila sampan yang dinaikkinya pecah dan hanyut di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober 2019.

SELEPAS pemergian suaminya, Pitt Hanif, Farah Ahmad seboleh mungkin mahu anak-anaknya (dari kanan) Dhia Farhana, Thia Farhana dan Mhia Farhana sentiasa rasa disayangi.

Dalam kejadian itu, enjin bot yang dinaikki mati lalu dibawa arus dan terlanggar tiang jambatan. Bot berkenaan terbelah dua, rakannya dapat menyelamatkan diri tetapi Pitt hanyut dibawa arus deras.

Ketika kejadian, Pitt baru selesai mengarah filem “Coast Guard” selama sebulan di Pahang dan sebulan lebih di Langkawi. Sebelum balik bertemu isteri dan anak-anaknya serta ibunya, Fauziah Nawi, Pitt bersama seorang krew berhasrat memancing untuk merehatkan minda setelah lebih dua bulan mengarah filem berkenaan.

Perlahan-lahan saya bangun mendapatkan mereka dan kemudian kami beralih ke bilik satu lagi yang akan dijadikan ‘Art Studio’ untuk mereka yang mahu belajar melukis.

Setelah bertanya khabar mereka, Farah Ahmad,43, Dhia Farhana,17, Mhia Farhana, 14, dan Thia Farhana, 8 tahun, saya cuba menyelami naluri hati seorang isteri yang kini menjadi ayah dan ibu kepada anak-anaknya.

DALAM kenangan: Farah Ahmad dan anak-anak bersama Allahyarham suaminya, Mohd. Firdaus Mohamad Hanif.

Farah yang teruk dihentam netizen kerana tidak menangis apabila suaminya meninggal dengan tenang berkata;

“Waktu itu apabila krew yang terlibat dalam pembikinan filem itu menberitahu sudah setengah jam Pitt tidak dapat ditemui, saya dapat rasakan yang Pitt dah ‘tiada’ lagi.

“Saya kuatkan semangat ke sana kerana adalah tanggungjawab saya untuk membawa balik jasad Pitt untuk Mama dan anak-anak. Sememangnya waktu itu, tidak setitik pun airmata saya gugur kerana saya reda dan kena kuat untuk Mama dan anak-anak.”

Menurut Farah, bohonglah sebagai seorang isteri beliau tidak terasa kehilangan itu tetapi beliau bersyukur kerana beliau faham akan erti reda.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah memberi saya kekuatan dan faham erti reda. Jika dahulu saya ada bahu untuk bersandar tetapi kini saya harus kuat untuk anak-anak.

“Orang hanya pandai mengutuk tetapi saya faham mengapa Allah ambil Pitt dan anak-anak juga reda dan mereka kuat kerana itulah pesan ayah mereka setiap kali sebelum keluar shooting sama ada di sekitar KL atau luar daerah.

WALAUPUN Pitt Hanif telah tiada namun hubungan Farah Ahmad dan anak-anaknya (berdiri dari kiri) Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana dengan ibu mertuanya, Fauziah Nawi tidak pernah berubah.

“Sebab itulah hingga saat ini dalam fikiran anak-anak ayah mereka pergi shooting, walaupun saya tahu adakalanya mereka rindukan ayah mereka tetapi mereka sembunyikan rindu itu dengan melihat gambar-gambar yang mengabadikan momen-momen indah dan lucu bersama ayah mereka membuatkan mereka ketawa. Tetapi sebagai ibu saya tahu naluri anak-anak saya,” cerita Farah sambil
memandang satu demi satu tiga anak perempuannya yang menjadi lambang kasih sayangnya bersama arwah suami tercinta.

Bagi Dhia Farhana, anak sulung daripada tiga beradik yang bercita-cita menjad pakar psikoloji pula sentiasa sedar akan tugas ayah dan ibunya dan disebabkan itulah dia kuat walaupun kadangkala dia kalah dengan hati dan perasaannya.

“Saya selalu ingat ayah pergi kerja (shooting) dan balik lambat sebab kerja ayah dan mama tidak sama seperti ayah dan mama orang lain. Ayah bukan kerja ‘9 to 5.’

Farah Ahmad bersama Fauziah Nawi hadir sama dalam satu program TV bercakap tentang hubungan baik antara mertua dan menantu.

“Apabila terlalu rindu dengan ayah, saya masuk bilik dan dalam fikiran saya ayah pergi kerja (shooting). Itulah yang saya selalu fikirkan untuk hilangkan rindu pada ayah.”

Bagi Mhia pula sejak ayahnya meninggal tidak setitik pun airmatanya jatuh kerana dia tidak mahu ada perasaan sedih di hatinya sebabnya sedari kecil beliau tahu apabila ayahnya tiada di rumah beliau pergi shooting.

“Tetapi baru-baru ini secara tidak sengaja saya tengok posting Mak Nek (Fauziah Nawi) dalam Facebook, tiba-tiba saya rasa sedih dan menangis sampai pukul 3 pagi.

“Alhamdulillah selepas itu saya tersedar dan saya cuba kuat kerana sebelum ini dalam fikiran saya, ayah pergi kerja.” cerita Mhia yang mahu menjadi pegawai polis apabila dewasa nanti.

Berlainan pula bagi si kecil, Thia walaupun dia juga kuat kerana dalam fikirannya ayahnya pergi shooting bagaimanapun setiap kali mahu tidur kerinduan pada ayahnya tetap terasa.

Apabila ditanya apa yang dirindukan tentang ayahnya, dengan jujur Thia memberitahu;

“Thia rindu ayah sebab selalunya sebelum tidur ayah akan garu belakang badan sampai Thia tidur, tetapi sekarang Mama yang garu.

“Thia masih ingat janji ayah. Ayah janji lepas habis shooting nak bawa Thia, Kak Dhia, Kak Mhia dan Mama pergi jalan-jalan kat shopping mall, tidur di hotel, pergi rumah kawan ayah dan rumah Mak Nek sebab Mama pun sibuk, tapi kali ni Ayah tak bawa,”kata Thia yang bercita-cita menjadi pemain bolasepak.

Farah yang tersenyum melihat kekuatan anak-anaknya apabila bercakap tentang ayah mereka, bersyukur biarpun anak-anaknya kehilangan ayah dalam usia mereka yang terlalu ‘muda’ tetapi semampu mungkin mereka mahu menjadi kuat dan menyembunyikan rasa sedih.

“Saya bertuah dapat suami seperti Pitt, dalam hidup ini ada warna-warninya ada saat suka, duka dan alhamdulillah kerana saya mampu ‘divert’ segala kenangan itu sebagai memori indah kami bersama.

FARAH Ahmad dan Dhia Farhana di gerai bubur nasi mereka yang terletak di Taman Desa Melawati yang mula beroperasi Februari 2020.

“Bohonglah kalau saya kata tak pernah ada rasa rindu tetapi seboleh mungkin saya tidak mahu anak-anak goyang apabila melihat Mama mereka menangis.

“Selalunya apabila balik dari meniaga dan keletihan ketika memandu tiba-tiba terpacul dari bibir saya, Pitt…Farah penat gila! Dan apabila tersedar saya terus buang jauh-jauh perasaan itu,” cerita Farah yang melakukan pelbagai kerja membantu ibu mertuanya mengajar berlakon, berniaga bubur nasi dan berlakon demi kelangsungan hidup mereka.

Sejak Februari lalu, Farah dengan dibantu anak-anaknya mula berniaga pelbagai jenis bubur nasi di Taman Desa Melawati. Beliau bersyukur kerana perniagaannya secara kecil-kecilan mendapat sambutan dan ia mampu menyara kehidupannya bersama anak-anaknya.

“Semasa Pitt ada dia bekerja untuk kami anak beranak. Bila Pitt tak ada tanggungjawab menjaga makan minum dan pakai anak-anak terletak di bahu saya.

“Saya tahu suami saya tidak meninggalkan harta atau duit buat kami tetapi tiga orang anak ini adalah harta dunia akhirat kami dan merekalah yang memberi semangat kepada saya terus bekerja tanpa memikirkan apa jua masalah,” kata Farah dengan tenang walaupun bagai ada sesuatu yang terbuku di hatinya namun beliau simpan dengan rapi.

Selain menjalankan perniagaan bubur nasi, Farah yang berbakat melukis akan mengajar pelajar yang berminat di studio melukis yang terletak di Stefani, tidak lama lagi.

“Walaupun Pitt dah tak ada sesibuk mana pun, saya akan ziarah Mama kerana mak mertua bagaikan mak sendiri. Lagipun Pitt memang rapat dengan Mama.

SELAIN berlakon, Farah Ahmad juga berbakat melukis dan salah satu daripadanya Farah menyiapkan lukisan pada kasut pelanggannya.

“Dengan mengajar melukis bukan sahaja mampu mengasah bakat saya malah secara tidak langsung membantu Mama dan rapat dengan Mama,” cerita Farah yang baru dua hari selesai menjalani penggambaran drama sempena Hari Guru, “Manja Jumpa Siput” arahan Datuk Jurey Rosli yang menjalani penggambaran di Kampung Chepor, Lenggong, Pahang.

Apabila ditanya mengenai harapannya, dengan senyum sambil memandang satu demi satu wajah buah hati kesayangannya, Farah berkata;

“Harapan saya dan anak-anak semoga Allah tidak ambil rasa rindu itu daripada hati kami kerana itulah yang memberi semangat dan kekuatan untuk kami meneruskan kehidupan ini. Disamping itu, saya berharap hubungan silaturrahim anak-anak saya ini akan kuat dan teguh.”

ANTARA hasil kreativiti Farah Ahmad.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here