Hari-hari terakhir Trump penuh suram  

0
471

Oleh Ahmad Abd Hamid

KENYATAAN Peguam Negara Amerika, William Barr, bahawa tiada penipuan dalam pilihan raya presiden Amerika 2020 adalah satu tamparan hebat kepada Presiden Donald Trump yang sehingga kini terus mendakwa pilihan raya tersebut dipenuhi penipuan.

Menurut Barr, tiada bukti berlaku penipuan secara besar-besaran yang boleh menukar keputusan pilihan raya, seperti yang diharapkan oleh Trump. Kenyataan ini pasti amat pahit untuk ditelan oleh Trump kerana ia datang daripada sekutunya sendiri yang selama ini dianggap setia kepadanya.

Trump tetap berpegang dengan pendiriannya bahawa pilihan raya tersebut dipenuhi pernipuan. Dia enggan mengaku kalah kepada saingannya, Joe Biden, yang memenangi pilihan raya dengan 306 undi elektoral berbanding dengan 232 miliknya.

Sebanyak 270 undi elektoral diperlukan untuk menang daripada keseluruhan 538 undi. Biden menang dengan kelebihan undi jauh melebihi yang diperlukan.

Dakwaan kemenangan Biden kerana penipuan undi hanyalah sekadar untuk menyedapkan hati kerana Trump sendiri gagal menunjukkan bukti kukuh berlaku penipuan. Ia tidak ubah seperti satu fantasi ketika hari-hari terakhirnya semakin hampir.

Usaha Trump untuk mencabar keputusan pilihan raya atas alasan berlaku penipuan juga ditolak oleh mahkamah, membuktikan dakwaannya memang tidak berasas. Sehingga ini daripada 40 saman yang dikemukakan oleh pasukan peguamnya, hanya satu diterima.

Nyata harapan Trump untuk mahkamah campur tangan bagi mengubah keputusan pilihan raya tidak menjadi kenyataan. Harapannya untuk mempertahankan jawatan presiden telah sampai ke penghujung terowong yang gelap.

Mungkin Trump sendiri menyedai hakikat ini. Namun perasaan ego untuk tidak menerima kelalahan, diiringi rasa kecewa dan malu, menyebabkan di masih terus menaruh harapan walau pun hari esok jelas tiada untuknya.

Kenyataan William Barr, pegawai tertinggi yang mengetuai Jabatan Keadilan, ibarat meranapkan terus harapan Trump, malah sebenarnya menguburkan terus cebisan harapan untuk terus tinggal di Rumah Putih.

Pasti Trump sangat kecewa dengan Barr yang sebelum ini telah memberi lampu hijau kepada pendakwa seluruh negara untuk menjalankan prosiding pendakwaan berhubung kes penipuan undi jika ada bukti.

Justeru tindakan Barr mungkin kerana dia kini menerima hakikat bahawa dakwaan Trump memang tidak berasas. Dakwaan itu semua tidak akan dapat menafikan kemenangan Biden.

Malah sebelum ini pun ramai sekutu Trump dalam Republikan, termasuk para senator yang rapat dengannya, menasihatkan Trump supaya menerima kenyataan dia kalah dan melaksanakan proses peralihan kepada Joe Biden.

Namun Trump yang terkenal dengan sikap ego dan sombong, enggan menerima nasihat. Dia tetap mendakwa dia sebenarnya menang besar dan Biden tidak mungkin menang kalau tidak kerana penipuan.

Trump mahu kiraan semula undi dibuat di beberapa negeri, terutama di negeri-negeri yang dia tewas dengan margin sedikit dengan harapan kiraan awal tidak betul. Tetapi nyata kiraan semula undi di Arizona dan Wisconsin misalnya mengesahkan Biden menang.

Banyak pihak kini mula bimbang dengan dakwaan Trump berhubung penipuan undi. Ini kerana ia boleh memberi kesan negatif dengan membangkitkan semangat dan kemarahan para penyokong yang akhirnya boleh mencetuskan kacau bilau.

Kebimbangan ini ditambah dengan pendirian Trump yang menganggap mereka yang menyokongnya sebagai ‘pejuang yang berani’. Ini memberi mesej yang salah kepada para pengikutnya.

Pengurus Pelaksanaan Sistem Mengundi di Georgia, Gabriel Sterling, berkata Trump sudah keterlaluan dan mesti bertanggung jawab jika berlaku rusuhan akibat dakwaan yang tidak berasas. Dia mahu Trump menghentikan segera semua dakwaan palsunya.

Menurut Sterling, seperti dilaporkan BBC News, ugutan dan ancaman maut diterima oleh para pekerja pilihan raya Georgia yang kini dalam poses pengiraan undi kali kedua atas permintaan Trump. Mereka diugut dan diganggu secara fizikal, malah menerima ancaman maut terhadap diri dan ahli keluarga.

Sterling, yang merupakan ahli Republikan, menyelar Trump dan dua senator Republikan  negeri itu serta rakan-rakan parti atas tindak tanduk mereka yang menimbulkan ketegangan tanpa berusaha mengekangnya.

Sterling sendiri terpaksa meletakkan polis mengawal kediamannya sementara isteri Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger, menerima ugutan seksual melalui telefon bimbitnya.

Yang nyata dalam keadaan runcing ini, Trump tidak ambil peduli, apatah lagi bertindak terhadap dakwaan para pekerja pilihan raya diugut.

Sebenarnya harapan Trump untuk mengubah keputusan pilihan raya sudah tidak ada. Biden akan mengambil alih jawatan presiden secara rasmi pada 20 Januari 2021.

Trump bukan sahaja enggan mengaku kalah tetapi tingkah lakunya amat memalukan dirinya dan Amerika. Ia tidak langsung menggambarkan peribadi seorang presiden. Presiden yang tewas untuk penggal kedua sebelum ini, seperti George Bush dan Jimmy Carter, menerima kekalahan dengan hati terbuka.

Mungkin Trump mahu diingat sebagai presiden angkuh yang mahu merosakkan demokrasi di Amerika serta menyemaikan benih ketakutan dan kebencian di kalangan rakyat. Kelakuan jeliknya ini menghakis sebarang harapan untuk dia bertanding sekali lagi merebut jawatan presiden pada masa hadapan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here