Kembara seluruh negara demi mencari kanzun

0
620
Jaja Ishak selaku penerbit untuk program travelog Mencari Kanzun.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

APA itu kanzun? Sudah pasti kita jarang mengguna atau menyebut perkataan kanzun dalam pertuturan harian. Untuk perkongsian semua, kanzun membawa maksud harta simpanan.

Selalunya kalau sebut harta simpanan, orang merujuk kepada wang ringgit tapi ada juga yang berpendapat harta paling berharga adalah ilmu yang dimiliki oleh seseorang kerana ia tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Bagi melestarikan bahawa ilmu itu adalah harta yang paling bernilai, produksi Kembara Sufi Production Sdn. Bhd., berusaha menerbitkan program mengenai ilmuan wanita menerusi travelog Mencari Kanzun.

Untuk menghasilkan program sebanyak 13 episod ini, kru perlu membuat pelbagai kajian mengenai ilmuan wanita dan menjejaki mereka untuk ditemu bual.

Farisha Irish merupakan hos untuk Mencari Kanzun.

Untuk mendapat konten kandungan menarik dan menepati piawaian program Mencari Kanzun, produksi yang terlibat perlu mengembara ke seluruh negara.

Dalam situasi sekarang, penerbit program, Jaja Ishak mengaku pihaknya terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan. Untuk menerbitkan program travelog Mencari Kanzun sebenarnya memberikan cabaran besar kepada produksi sejak beberapa bulan yang lalu.

“Ditambah dengan kekangan Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa yang sama perlu berwaspada dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan membuatkan semua kru produksi perlu berhati-hati.

“Apa yang kami lalui sepanjang melakukan penggambaran untuk Mencari Kanzun merupakan satu pengalaman yang sungguh bermakna kerana semua kerja dilakukan dalam norma baharu.

“Memang ini cabaran untuk kami menyiapkan Mencari Kanzun kerana pelbagai proses perlu dilakukan bagi menyiapkan program travelog ini. Daripada proses mengenal pasti ilmuan wanita yang terpilih, kru produksi terutamanya penulis skrip perlu membuat kajian lapangan.

“Mereka bukan sahaja mengembara ke seluruh negara tetapi dalam masa yang sama terpaksa menjejaki waris memandangkan ada dalam kalangan ilmuan wanita yang diangkat sudah pergi buat selama-lamanya,” jelas Jaja.

Katanya, idea untuk menghasilkan program Mencari Kanzun tercetus daripada sesi perbicangan dengan salah seorang rakannya sebelum ini.

Sebelum turun ke set, pelbagai penyelidikan perlu dilakukan bagi memastikan penggambaran berjalan lancar.

“Kebanyakan program yang diterbitkan sebelum ini banyak memberi fokus kepada ilmuan lelaki dan ulamak sahaja dan jarang sekali memaparkan kehebatan kaum wanita. Daripada idea tersebut, saya bekerjasama dengan Thaqib Mohammad selaku penulis skrip yang berpengalaman dalam penerbitan program seperti ini.

“Menggunakan tema, meneroka kesinambungan keilmuan wanita di negara sendiri kerana hakikat sebenarnya Malaysia menyimpan seribu satu khazanah dan sejarah yang ternilai dan bakal didokumentasikan dalam Mencari Kanzun,” hurainya lagi.

Tambah Jaja, pihaknya tidak membuat penggambaran secara sendirian sebaliknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, beberapa Jabatan Agama Islam, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu serta Jabatan Mufti di negeri terpilih.

Sebelum turun ke set, pelbagai penyelidikan perlu dilakukan bagi memastikan penggambaran berjalan lancar.

“Mereka bukan sahaja memberikan maklumat lengkap mengenai ilmuan-ilmuan yang terpilih tetapi dalam masa yang sama memberikan input dan cadangan lain untuk menambah baik program ini,” jelasnya tentang konten program yang dihos oleh Farisha Iris itu.

Mencari Kanzun, arahan Abidin Azizi yang bakal ditayangkan di RTM itu, turut mendapat Geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (FINAS).

Sudah pasti dengan bantuan dan kepercayaan yang diberikan oleh FINAS dan RTM membuatkan produksi bersemangat untuk menghasilkan karya yang terbaik namun masih mengikut lunas-lunas yang sepatutnya.

“Ini antara program yang berbeza daripada yang lain. Saya berterima kasih kepada FINAS dan berharap karya ini akan menambat hati penonton seterusnya memberikan ilmu baharu kepada semua,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here