Oleh Yusoff Ahmad Shariff
IRAN mula bertindak untuk menyekat pemeriksaan oleh pasukan pemeriksaan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas tapak-tapak nuklearnya dan akan mempertingkatkan usaha pengayaan uranium di bawah undang-undang baharu yang telah diluluskan oleh parlimen.
Sekiranya sekatan terhadap negara itu tidak dilonggarkan rang undang-undang berhubung perkara tersebut membolehkan pihak kerajaan Iran meningkatkan usaha pengayaan uranium kepada 20%, iaitu melepasi 3.67 peratus yang dipersetujui di bawah perjanjian 2015.
Tindakan tersebut adalah berikutan pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap negara itu sejak sekian lama, lapor bbc.com.
Presiden Iran Hassan Rouhani berkata beliau membantah pelaksanaan undang-undang tersebut.
Perkembangan terbaharu ini menyusul selepas pembunuhan bersasar seorang saintis nuklear kanan Iran baru-baru ini.
Mohsen Fakhrizadeh maut dalam serangan misteri di sebatang jalan raya berhampiran Tehran pada Jumaat lalu.
Iran percaya Israel dan sebuah kumpulan pembangkang dalam buangan menggunakan senjata kawalan jauh untuk melakukan serangan tersebut.
-BebasNews