IKM akan dinaik taraf jadi universiti – Wan Junaidi

0
323

INSTITUT Koperasi Malaysia (IKM) akan dinaik taraf kepada universiti sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan telah mendapat kelulusan.

“Saya beri jaminan kepada Perdana Menteri yang saya nak naikkan tahap IKM ini kepada tahap universiti dalam jangka masa dua tahun… yang boleh berdiri atas kaki sendiri, memberi keuntungan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan tak perlu lagi kerajaan menyumbang sumber kewangan.

“Dalam masa sama, kita juga berkemampuan melatih ahli-ahli koperasi dalam pengajian pentadbiran koperasi dari sudut kewangan, keusahawanan dan berbagai lagi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), syarat kelayakan yang diperlukan dan sebagainya.

“Saya hanya menunggu bila nak lancarkan IKM ini untuk menjadi universiti. Saya sangat optimis kita berkemampuan melaksanakan ini di mana IKM mampu melatih ahli-ahlinya menjadi pentadbir yang berkualiti tinggi dan berpengalaman,” katanya.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kemudiannya diluluskan dengan undian suara terbanyak selepas dibahas 10 ahli Parlimen, masing-masing lima daripada blok penyokong kerajaan dan lima pembangkang.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

– Bernama

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here