Rasuah: Lapor atau didakwa di mahkamah

0
936
FOTO: NSTP.

Oleh Wartawan BebasNews

TAHUKAH anda, jika anda diberikan sogokan atau rasuah dan anda berjaya menolaknya tetapi gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa, anda boleh didenda atau dipenjara atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Baru-baru ini, lima kakitangan Kementerian Kewangan telah didenda oleh mahkamah kerana gagal melaporkan kesalahan sogokan berlaku dua tahun lalu dan buat pertama kali mereka didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Di bawah akta berkenaan mereka boleh didakwa dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Kakitangan berkenaan, bagaimanapun masih lagi bernasib baik kerana mereka hanya dikenakan denda tanpa mengakibatkan kehilangan pekerjaan atau pun terpaksa meringkuk dalam penjara kerana gagal melaporkannya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah ditawarkan suapan RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan proses dan permohonan baharu taraf bumiputera lima buah syarikat melalui sistem e-Perolehan

Tidak dinafikan ramai antara kita gemar mengambil mudah dan tidak melaporkan sogokan yang berlaku biarpun berjaya dielakkan, sedangkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 diperkenalkan sebagai satu bentuk pencegahan. Bukankah, lebih baik mencegah daripada mengubat kerana kosnya sangat mahal.

Kegagalan menangani rasuah bukan hanya akan memburukkan nama negara di mata dunia tetapi juga boleh meruntuhkan pentadbiran negara. Pada tahun 2019, misalnya SPRM melaporkan jumlah tangkapan kerana kegiatan rasuah meningkat 23.2 peratus.

Peruntukan Seksyen 25 ASPRM 2009 (Akta 694), yang pertama seumpamanya di dunia dikuatkuasakan untuk menggalakkan integriti dalam pentadbiran baik sektor awam mahupun swasta dengan meletakkan akauntabiliti kepada semua pihak untuk melaporkannya.

Lagipun, memberi dan menerima rasuah satu dosa besar.

Tidak kiralah apa nama yang diberi, rasuah merupakan suatu perbuatan sama ada memberi atau menerima sesuatu suapan berbentuk wang tunai atau barangan berharga sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan yang mempunyai kaitan dengan bidang tugas seseorang itu.

Sebagai contoh, seorang kontraktor memberikan hadiah berbentuk jam tangan berharga kepada seorang pegawai Kerajaan bagi meluluskan projek kepada syarikatnya.

Fahamilah, rasuah bukan hanya suapan berupa wang tunai semata-mata. Pemberian itu boleh juga dalam bentuk hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun, pinjaman dan sebagainya.

Nah!, sekarang anda sudah mengetahui takrifan rasuah atau sogokan yang sebenarnya. Jadi elakkan daripada menjadi penerima atau pemberi.

Ramai yang menyangkakan bahawa kegiatan yang jijik ini hanya berlaku di sektor awam sedangkan ia boleh berlaku di mana-mana sahaja dan menjadi kewajipan kita yang merasakan diri mereka warga negara Malaysia yang jujur dan sayangkan negara untuk sama-sama membantu membanterasnya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here