AZLAN JOHAR. - Foto FB Azlan.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

JERSI baharu Harimau Malaya wajar mengelak sebarang material kain yang menyerap peluh lagi supaya tidak memberatkan para pemain atau pemakainya sehingga menjejaskan aksi terbaik mereka di tengah padang.

Jersi keluaran Nike yang dilancarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu akan tampak seperti memberikan beban antara 1 hingga 1.5 liter peluh sekiranya masih menggunakan material tersebut seperti edisi-edisi terdahulu, kata Azlan Johar.

“Bayangkan kalau pemain yang menyarungnya terpaksa beraksi dengan beban seberat itu? Pastinya ada kesan kepada tahap pergerakan dan kepantasan mereka,” ujar pengulas pakar bola sepak TV ini kepada BebasNews hari ini.

Azlan, bekas penyerang skuad pelapis negara, Harimau Malaysia, Selangor, Terengganu dan Angkatan Tentera era 80-an hingga 90-an, mengulas kemunculan jersi kuning (utama) dan hitam berjalur kuning (kedua) Malaysia, semalam bagi edisi 2020-2022.

“Gunakanlah material jersi daripada jenis yang berkualiti tinggi dan mudah mengeluarkan peluh pemakainya ke padang.

CORAK jalur menegak jersi Adidas pada era 80-an yang dipakai Azlan (barisan tengah, dua dari kanan) dalam skuad Harimau Malaysia. – Foto Dunia Sukan Utusan.

“Kalau pemain kena memikul peluh yang terkumpul banyak pada badan dan seluarnya akibat jersi yang menyerapnya, tentulah sukar untuk mereka terus berlari pantas dan kekal cergas,” katanya.

Jersi baharu utama atau ‘kandang’ Harimau Malaya buat kali pertamanya, menampilkan reka bentuk berkolar, bersama seluar yang juga berwarna itu manakala Jersi kedua atau ‘tandang’ berleher bulat dan berwarna hitam, memilki lima jalur menyilang kuning dengan seluar juga hitam.

Juga kelainan kali ini ialah tiada lagi warna alternatif (bukan kuning dan hitam) bagi jersi kedua seperti biru, merah dan putih sejajar ciri-ciri Jalur Gemilang malah logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kekal di dada kiri dan bukannya bendera negara sejak edisi 2016-2018.

“(Logo persatuan bola sepak) sudah standard digunakan oleh kebanyakan pasukan negara luar. Ini mungkin pendekatan yang telah ditetapkan badan induk antarabangsa dengan jenama pengeluar jersi sejak beberapa tahun lalu.

“Apa yang paling penting juga ialah jersi pasukan negara melambangkan rasa hormat dan bangga setiap pemain yang diberi peluang menyarungnya.

“Zaman saya sebagai pemain negara, kerap kali rakan sepasukan yang lebih senior menegur agar jangan sesekali mencampaknya ke tanah walaupun selepas perlawanan.

AZLAN (tiga dari kanan) dan Kevin Keegan (empat dari kiri) mengenakan jersi utama kuning seluar hitam Harimau Malaysia.

“Ibaratnya, kita masih kena memelihara penghormatan kepada Jalur Gemilang yang terdapat di dada kiri jersi itu,” kata Azlan.

Beliau pernah sepasukan Harimau Malaysia dengan penyerang terbilang negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan bekas kapten England, Kevin Keegan ini, berkata, “era 80-an itu ada warna kuning atau putih dan biru cair bagi jersi home dan away kami (berjenama Adidas).”

SYAHMI Safari, bek kanan mengenakan ‘belang’ baharu Harimau Malaya keluaran Nike edisi 2020-2022. – Foto IG syahmisafari20.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here