Program Jejak Ebit Lew akan bermula pada pukul 9 malam, Isnin ini di saluran Astro Prima.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM


SETIAP hari menerusi Facebook ada saja aktiviti yang dimuat naik oleh Ustaz Ebit Lew. Dalam satu hari, beliau mampu berada di dua buah negeri. Ada yang bergurau kata, Ebit Lew boleh terbang macam Superman kot, sebab itu pantas berada di lokasi berbeza.

Namun apa yang dilakukan oleh Ebit Lew tidak mampu dilakukan oleh Adiwira fiksyen rekaan Jerry Siegel dan Joe Shuster itu. Figura yang nama penuhnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36, itu bukan sekadar penyelamat seperti yang dilakukan oleh Clark Kent, malah beliau adalah ikon yang didambakan oleh ramai insan dari pelosok negara Malaysia.

Nama pendakwah bebas itu sentiasa menjadi bualan, malah namanya juga diselitkan dalam doa insan-insan yang kehidupan mereka kurang bernasib baik.

Setiap ceruk kampung Ebit Lew sedia turun dan membantu sesiapa saja.

Dengan izin Allah, doa yang mereka panjatkan itu dimakbul dan bertemulah mereka dengan Ebit Lew yang bukan siapa-siapa, sekadar insan yang berhati luhur dan sedia membantu siapa saja tanpa mengira bangsa dan agama.

Di pangkal namanya tidak ada gelaran yang dianugerah, namun beliau cukup dihormati kerana kerja-kerja amalnya. Menurut Ebit Lew, bukan tidak ada pihak yang menawarkan beliau pangkat tapi bukan itu yang dicari.

“Sebelum ini saya dapat banyak tawaran pangkat tapi saya nak jadi layang-layang yang terlepas bebas. Kalau orang nak bagi bukan berkaitan politik saya tak akan menolak. Dalam kehidupan sekarang, saya tak berhajat dari segi apa-apa pun. Dulu saya berhajat untuk dikenali supaya boleh beri motivasi,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437/2015M.

Mesti ramai yang nak tahu kenapa Ebit Lew sibuk nak membantu orang susah, sedangkan beliau bukanlah Pak Menteri dalam kabinet kerajaan.

Apa saja masalah yang disalurkan kepadanya, Ebit Lew akan cuba membantu selagi terdaya.

“Politik bukan bidang saya kerana saya tak pandai politik, saya minat kerja dakwah dan kebajikan, dengan niat saya macam ni senoga Allah beri saya rezeki lebih.

“Dari kecil selalu saya kata, gunalah saya untuk menjadi matahari dan bantu orang. Allah kabulkan doa saya supaya dapat beri manfaat kepada orang lain. Saya sangat bersyukur sebab Tuhan gunakan saya. Masa hidup kalau tak diguna tolong orang akan habis juga. Kaya bukan pada duit tapi kaya pada sekeping hati.

“Saya mula terlibat dalam kerja-kerja kebajikan ini dari usia 12 tahun. Kalau ada NGO (Badan Bukan Kerajaan) di kampung orang Asli, saya bantu dari segi memasak dan tenaga sebab tak ada duit, waktu itu. Saya beri tenaga dan semangat semakin bertambah untuk bantu orang dari awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Saya rasa macam dunia ini berubah,” katanya.

Konvoi Ebit Lew tak pernah mengecewakan insan yang memerlukan bantuan.

Menurut Ebi Lew,, beliau gembira melakukan kerja amal dalam situasi sekarang kerana dapat melihat dan bertemu dengan kenalan serta rakan yang sudah lama tidak berjumpa.

“Bila kita bersatu hati, rahmat Allah akan turun. Rahmat ditarik kerana kita bergaduh. Perpecahan membuatkan kita kena bantu semua orang tanpa mengira bangsa. Saya sengaja nak tunjuk bahawa kita semua sebuah keluarga. Supaya datang perasaan kekeluargaan.

“Sebelum ini saya banyak ceramah dan khidmat sikit-sikit. Masa tu lebih kepada bantu sikti-sikit, guna kos sikit. Saya ada perniagaan sendiri, restoran, butik dan jual buku dah lama. Dari situ saya peruntukan apa yang saya ada untuk diberikan pada orang lain.

“Saya ada buka tabung untuk kutip derma dan ramai orang nak menderma. Pada awal banyak kritikan daripada masyarakat, saya tak terasa sangat, apa yang saya buat adalah solat, berdoa, nangis dan kemudian baik selepas mengadu kepada Allah. Kata-kata orang tak menghalang saya untuk terus berjuang,” katanya yang hanya meminati kerja dakwah dan kebajikan berbanding politik.

Penduduk menghadapi masalah putus bekalan air, Ebit Lew tak tunggu lama terus hantar lori air.

Tambahnya, beliau menolong mereka yang tular sebab ramai yang akan tag ke akaun Facebooknya. Hampir setiap hari beliau akan membantu sesiapa saja, termasuklah mereka yang bukan warganegara seperti orang Indonesia, Kemboja, Singapura, dan Bangladesh.

Pemilik jaringan 10 pasar raya Elewsmart itu juga ada niat untuk menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan di negara jiran seperti Singapura, Kemboja, Indonesia dan sekitar Asia Tenggara.

“Saya bermula dengan membantu mak ayah dan bahagiakan mereka. Tolong mak ayah ini lebih besar daripada pertolongan yang saya buat ini. Sedekah kepada keluarga lebih afdal. Jangan berhenti buat baik.

“Ada hadis kata, barang siapa mulakan satu kebaikan dan diikuti oleh orang lain, nanti kebaikan orang lain buat kita akan dapat pahala. Bila kita tak ada di dunia, ia akan jadi contoh kepada anak-anak kita.

“Selalu orang salah faham, saya fikir apa yang saya buat ini kecil berbanding dengan orang besar. Sumbangan kerajaan beri berterusan dan sangat banyak membantu masyarakat.

“Saya adalah sebahagian kecil daripada usaha kerajaan dan orang ramai sebab saya tak nak ketinggalan. Saya akan tolong selagi terdaya walapupun tak mampu tampung semua,” katanya penuh semangat sewaktu sidang media virtual baru-baru ini.

Ebit Lew juga tidak pernah lupa untuk membantu pasukan barisan hadapan.

Segala visi dan kebajikan yang dilakukan oleh Ebit Lew telah dirangkumkan menjadi sebuah program realiti yang diberi judul Jejak Ebit Lew.

Jejak Ebit Lew yang berkonsepkan majalah merupakan kesinambungan daripada program Door To Door Ebit Lew. Kali ini program diperluaskan kepada misi bantuan dan kemanusiaan dan tidak sekadar ke arah misi dakwah saja.

Program sebanyak 61 episod itu akan mula bersiaran pada 7 Disember ini, pukul 9 malam menerusi saluran saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105).

Pengrus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh berkata, program Jejak Ebit Lew lebih bersifat jujur dan telus kerana tidak terikat dengan sebarang skrip mahukan babak-babak komersial yang perlu disempurnakan.

”Ini adalah kerana kebanyakan misi bantuan yang perlu disampaikan selalunya bersifat spontan atau ad hoc. Selain itu, terdapat juga di antara kes-kes yang diterima daripada permohonan secara bersurat serta menerusi e-mel yang turut disertakan dengan paparan aktif sahih di media sosial.

”Menerusi program berdurasi selama 30 minit itu, kita dapat melihat Ustaz Ebit Lew berkongsi rasa dan cerita dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

”Program ini juga bakal memberi satu perspeksif baharu kepada para penonton untuk menilai musibah yang berlaku dari sudut pandang yang berbeza tanpa sebarang prejudis,” kata Norzeha.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here