FOTO: NSTP.

Oleh Sarfarizmal Md. Saad


NEGERI Perak kembali berkemelut dan bergelora. Ramai yang tidak menyangka perkara sedemikian rupa akan berlaku ketika negara kita berdepan dengan pelbagai masalah termasuk Covid-19.

Di sebalik apa yang berlaku, kita masih boleh melihat riak wajah YAB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang terus tenang dan sentiasa tersenyum riang walau apa pun berlaku. Timbul beberapa persoalan dari netizen, apakah ini semua suatu perancangan peringkat tertinggi?

Apakah ada suatu perbincangan rahsia antara ‘warload’ setiap parti yang majoriti Melayu?

Namun, tiada siapa boleh menjawabnya, melainkan mereka yang terlibat sahaja. Apa yang kita boleh tafsir atau analisis hanyalah melalui beberapa fakta kes dan angka yang tersedia di depan kita.

Namun satu perkara yang pasti sahih dan sukar untuk siapa pun nafikan adalah tentang keabsahan sesebuah kerajaan. Ia melibatkan sama ada kerajaan di peringkat pusat, mahupun kerajaan di peringkat negeri.

Keadaan sebegini amat tidak selesa bagi senario politik tanah air kita. Di Malaysia, kita tidak pernah alami sesebuah kerajaan itu benar-benar terumbang ambing atau ‘retak menanti pecah’.

Selama ini, kita punya kerajaan yang kukuh lagi utuh. Yang mempunyai kekuatan dalam pelbagai sudut dan jenteranya tersendiri.

Namun ia hampir hilang bermula gelombang atau tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) dahulu, berlanjutan sehingga ke saat ini.

Apa yang ingin dikatakan, tiada satu kerajaan pun pada saat ini yang berkuasa dengan penuh bergaya dan memiliki kekuatan jitu. Boleh dikatakan semua kerajaan kini tiada keabsahan, dan ia mampu dibertukar tangan dengan mudah.

Kedah, Melaka, Johor, Sabah dan terbaharu di Perak. Semua negeri ini telah menjadi bukti bagaimana kedudukan sesebuah kerajaan itu tidak kukuh. Jangan kata di peringkat negeri, Kerajaan Persekutuan sendiri pun nampaknya tidak seselesa dahulu lagi.

Persoalannya, apakah selepas ini giliran Kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Perlis pula akan bertukar tangan?

Tidak mustahil semua itu akan berlaku dalam keadaan sebegini. Mungkin akan tiba suatu ketika nanti, para pengundi di Malaysia hanya akan mengundi mengikut wajah atau karektor calon yang ada pada kertas undi, dan tidak lagi melihat bentuk logo parti yang diwakili calon itu. Tidak mustahil.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here