KUALA LUMPUR — Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai situasi politik semasa di Perak, jelas menzahirkan bahawa usaha reformasi penambahbaikan sistem politik sedia ada perlu dilakukan.

Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata usaha ini dapat menghentikan permainan politik atas landasan menjaga kepentingan golongan elit ahli politik.

Beliau berkata semua pihak termasuk Ahli Parlimen umumnya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak khususnya harus bersama-sama mendukung agenda perubahan sistem politik yang lebih baik bagi menghentikan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Yang paling utama adalah menggubal undang-undang seperti Akta Pelucutan Ahli Parlimen untuk memelihara mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya daripada dipermainkan oleh pemimpin politik.

“Ini termasuk membataskan kuasa lantikan ahli politik dalam badan-badan tertentu seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak munasabah dan boleh dilihat sebagai sogokan politik demi mendapat sokongan,” katanya.

Muhammad Faisal berkata ABIM menekankan perubahan itu harus dilakukan segera agar rakyat tidak putus harapan kepada amalan demokrasi di negara ini kerana ia merupakan asas utama kestabilan politik negara.

Pada masa sama, ABIM menegaskan seluruh pemimpin politik harus bermuhasabah atas situasi krisis kepercayaan rakyat yang semakin menebal terhadap institusi politik kini.

Semalam, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah mengingatkan pemimpin beriman tidak perlu beri sogokan dan membuat ugutan untuk mendapatkan sokongan.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut dizahirkan rasa dukacita terhadap situasi politik yang tidak menentu yang disifatkan sebagai sejarah kegagalan pemimpin politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Nazrin semalam susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Dis lepas setelah beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here