Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Umat Islam kini boleh membuat pembayaran zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui aplikasi Shopee.

Para pembayar zakat hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups dan Bills’ dalam aplikasi Shopee.

Selain itu, 1,000 pembayar zakat terawal setiap hari sepanjang tempoh kempen akan menerima syiling Shopee menerusi platform Shoppee yang akan berlangsung 22 Disember hingga 31 Disember ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, platform e-dagang tersebut dilantik sebagai ejen kutipan terkini LZS bagi memudahkan bayaran zakat secara dalam talian.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna Shopee boleh menunaikan pembayaran zakat harta serta fitrah tanpa had kepada LZS pada bila-bila masa dengan lebih mudah dan pantas bermula 18 Disember ini.

“LZS sentiasa mempelbagaikan saluran bayaran bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat dengan selamat, lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu pada masa kini. Kerjasama ini dijangka akan dapat membantu ramai pengguna Shopee terutamanya dalam kalangan Muslim menunaikan zakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau, ini secara langsung dapat bersama-sama membantu kelangsungan hidup golongan asnaf di Selangor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here