fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR  — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakar sejarah apabila seorang pegawai kanan iaitu Kpt Rohana Jupri menjadi wanita pertama dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama hari ini.

Rohana, 57, merupakan antara empat pegawai kanan dinaikkan pangkat dalam satu majlis disempurnakan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak di sini.

Mohd Reza berkata pemilihan Rohana membuktikan kemampuan serta kredibiliti wanita itu diiktiraf pengurusan tertinggi TLDM selain sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan kemampuannya selama 36 tahun berkhidmat.

“Sepanjang penubuhan TLDM sejak 86 tahun lepas, tidak ada seorang wanita pun pernah dinaikkan ke pangkat berkenaan dan ini merupakan satu pencapaian buat beliau.

“Beliau memegang jawatan Pengarah Kanan Materiel di markas TLDM dan juga Asisten Ketua Staf (AKS) J4 (Logistik) di Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) secara tidak langsung meletakkan dirinya berdiri sama tinggi bersama barisan tertinggi kumpulan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang sebelum ini dipelopori lelaki,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM itu.

Rohana, ibu kepada empat anak berasal dari Tanjong Karang, Selangor mula menyertai TLDM pada 20 Dis 1984 ditauliah sebagai Lt Muda TLDM Cawangan Bekalan dan Urusetia pada 6 Dis 1986.

Kerjaya beliau sebagai seorang pegawai berkepakaran Bekalan dan Urusetia bermula pada 1988 dengan jawatan pertama sebagai Pegawai Kawalan Rumah Stor di Depot Besar Bekalan TLDM.

Rohana telah memegang beberapa jawatan penting antaranya Pegawai Memerintah KD Sultan Abdul Aziz Shah; Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Wanita Angkatan Tentera Malaysia dan Pegawai Memerintah Depot Bantuan Barat.

Beliau turut bertanggungjawab terhadap keperluan perolehan aset-aset penting dalam menentukan Op Benteng dapat dilaksana dengan lebih efisien.

Sementara itu, Rohana berkata selama beliau berkhidmat dalam TLDM ini merupakan satu pengiktirafan besar buat dirinya.

“Saya harap ada ramai lagi calon wanita dapat ikut jejak langkah saya. Ruang sememangya tersedia buat wanita dalam TLDM ini untuk berkembang,” katanya.

Antara pegawai kanan lain dinaikkan pangkat ialah Laksamana Pertama Datuk Affenddy Suhaimi ke pangkat Laksamana Muda yang memegang jawatan AKS Materiel.

Turut hadir dalam majlis pemakaian pangkat berkenaan ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here