Cikgu Fana orang penting PTTI menerima trofi dan sijil Anugerah Brand Laureate.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DIPILIH sebagai penerima Anugerah Brand Laureate Bestbrands in Online Education Platform (Platform Pendidikan Dalam Talian) merupakan satu penghargaan yang tak ternilai kepada PTTI.

PTTI yang merupakan pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menerima anugerah tersebut pada 19 Disember lalu di ibu pejabat The Brand Laureate, Damansara Utama, Petaling Jaya.

Penganugerahan itu, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada warga kerja PTTI untuk terus komited dalam mendidik anak bangsa mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

Cikgu Fana bersama suami tercinta, Muhd Habibunajjar Sazali yang turut sama-sama mengemudi PTTI.

Walaupun baru lima tahun beroperasi, PTTI berjaya menambat hati pelajar apabila muncul di platform media sosial seperti YouTube, Instagram, Facebook dan TikTok kerana membantu mereka menerusi video pembelajaran secara percuma.

Menurut peneraju utama PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra disapa Cikgu Fana, 33, anugerah tersebut merupakan satu anjakan paradigma bagi pihak mereka.

“Di sebalik ujian kita berdepan dan bergelut dengan pandemik Covid- 19, anugerah ini bagai satu rahmat terindah buat kami di PTTI.  Niat kami hanya mahu membantu pelajar SPM khususnya mencipta kejayaan dan pencapaian terbaik.

“Misi dan visi itu tidak akan berubah dan goyah. Anugerah ini bukan biasa biasa. Ia terlalu besar dan menjadi sejarah baharu buat kami seiring dalam membiasakan norma baharu menerusi pendidikan dalam talian.

“Kejayaan ini hasil dedikasi seluruh warga kerja PTTI secara langsung atau tidak. Ia termasuk guru yang bertungkus lumus menyalurkan ilmu berharga serta berguna kepada pelajar,” kata Cikgu Fana yang menerima anugerah berkenaan daripada Presiden The Brand Laureate, Dr. KK Johan.

Cikgu Fana menerima anugerah daripada Presiden The Brand Laureate, Dr. KK Johan, baru-baru ini.

Menurut Cikgu Fana, satu kebanggaan baginya apabila anugerah yang sering diterima tokoh pelbagai bidang dalam dan luar negara itu kini berada dalam genggaman.

Anugerah igauan ramai itu meraikan kehebatan ikon jenama yang menyumbang kepada pembangunan negara dan ekonomi dengan pemikiran serta idea inovatif.

“Saya percaya anugerah berprestij dalam dunia penjenamaan cetusan Asia Pacific Brands Foundation (APBF) ini menjadi idaman ramai. Saya dan suami suatu ketika dulu pernah membayangkan PTTI akan ada logo Brandlaureate. Akhirnya ia bukan angan-angan kosong.

“Tak salah bermimpi, namun perlu disusuli dengan usaha dan niat yang betul. Pastinya setiap kejayaan atau anugerah yang diraih itu akan datang dengan tanggungjawab yang lebih besar.

“Selama ini pun kami ada didatangi pihak dan agensi tertentu yang mahu memberikan pengiktirafan. Namun kami selektif. Kami tidak mahu rambang mata atau jauh sekali nak jual mahal. Tapi biarlah anugerah itu seiring dengan apa yang diperjuangkan. Anugerah Brand Laureate datang pada waktu yang tepat,” katanya tersenyum.

PTTI yang mula beroperasi sekitar 2014 hingga kini, sudah berjaya membantu lebih 100,000 pelajar SPM memperoleh skor terbaik. Selain perkongsian ilmu secara interaktif di media sosial, penganjuran seminar yang dilaksanakan juga meraih perhatian ramai pelajar.

Ujar Cikgu Fana, untuk sampai ke tahap sekarang, ia bukan laluan mudah. Pengalaman dan pergelutan mematangkan tenaga pengajar di PTTI.

Anugerah yang diterima merupakan hasil kerjasama tenaga pengajar di PTTI.

Hingga kini, katanya, signifikan penubuhan PTTI tak pernah berubah kerana ia terhasil daripada cetusan semangat warga guru yang mahu membantu dan mendidik anak bangsa skor A dalam SPM.

“Semangat cikgu di sini kekal menjadi nadi. Selagi boleh menyalurkan ilmu dan cara terbaik untuk memberi pemahaman kepada pelajar, maka selagi itulah semangat membara kami takkan pudar.

“Konsep atau penanda aras yang mampu buat warga guru di sini puas berkongsi serta menyalurkan ilmu ialah saat pelajar betul-betul faham. Selagi pelajar masih berkerut dahi dan waswas, maka guru di sini akan terus mengajar hingga mencapai kepuasan maksima.

“Di sini, kami mengajar pelajar SPM tanpa perlu menghafal semata mata. Sebaliknya kena faham cara dan teknik yang betul. Ketika itu datanglah apa jenis soalan pun, insya-Allah akan dapat dijawab pelajar dengan baik,” katanya.

Malah pada tahun ini, PTTI dan Mira Filzah turut berganding bahu. Mira sebagai salah seorang pelajar cemerlang SPM tahun 2010 juga mendokong aspirasi sekali gus membantu lebih ramai pelajar SPM dengan lantikannya sebagai duta rasmi pusat itu sejak Januari lalu.

Bersempena penerimaan anugerah ini, PTTI dengan bangganya membuka peluang pendaftaran awal untuk calon pelajar SPM bagi sesi 2021 bagi bermula selangkah lebih awal sebelum mendepani cabaran peperiksaan sebenar.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here