IMBASAN 2020: Arena sukan negara ‘dicutikan’ dek Covid-19

0
389
VENUE Liga Super dan Perdana sepanjang 2020 hanya seperti bumi dilanggar garuda akibat Covid dan PKP.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

ANCAMAN penularan Covid-19 menggendalakan sebahagian besar aktiviti sukan Malaysia sepanjang 2020 mulai Februari lalu sehingga ada yang terpaksa menjadi ‘korban’ atau ditunda terus ke 2021. Atlet-atlet pula seperti kena bercuti lama dan hanya ‘berpeluh’ di rumah masing-masing gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung pandemik itu.

Antara yang akur dengan Covid-19 ialah Piala Malaysia yang cuma sempat dijalankan pada pusingan pertama dari 6 hingga 8 November lalu. Inilah kali pertama sejak Perang Dunia Kedua (1942-46), pertandingan bola sepak tertua di Asia ini gagal dilangsungkan.

Turut dibatalkan terdahulu ialah Piala FA yang mahu memasuki pusingan kedua, Piala Pencabar, Liga M3, Piala Presiden dan Belia (bawah 21 dan 19 tahun) manakala Liga Super dan Perdana masih terselamat biarpun tertunda lima bulan dari 16 Mac hingga 28 Ogos lalu di bawah PKP.

Dalam perjalanan liga yang disingkatkan secara separuh sahaja, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih mampu mempertahankan gelaran Super, Oktober lalu sekali gus yang ketujuh berturut-turut sejak 2014 selain Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Kedah 1-0, Februari lalu.

Selain memaksa penundaan Sukan Olimpik dari Julai 2020 ke Julai 2021 sehingga program latihan atlet Program Jalan Ke Tokyo negara dijalankan secara berkuarantin atau tertutup, Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 juga berpinda tarikhnya empat kali, dari Julai lalu ke April dan akhirnya ke 2022 pula namun Johor kekal sebagai hosnya.

Anugerah Sukan Negara anjuran Majlis Sukan Negara yang saban tahun menabalkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, turut ditunda ke 2021 dengan merangkumkan pengiktirafannya dalam kedua-dua tahun tersebut biarpun terdapat pencapaian para pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019.

‘Taring’ Harimau Malaya kian menumpul dek Covid dan PKP. Skuad bola sepak negara bimbingan Tan Cheng Hoe itu biarpun sempat bertukar ‘belang’ (jersi baharu, awal bulan ini). Tiga perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bersilih tukar jadualnya dari Mac ke Oktober dan November lalu, kemudian ke Mac dan Jun 2021 pula. Begitu juga Piala AFF dari November ditunda ke Disember 2021.

JDT atau Harimau Selatan juga kempunan memperagakan ‘belangnya’ di benua Asia. Selepas menang sekali dan kalah sekali, skuad Benjamin Mora akur dengan larangan keluar negara oleh kerajaan lalu menarik diri daripada saingan Kumpulan G Liga Juara Asia yang ditandingi Guangzhou Evergrande, Suwon Samsung Bluewings dan Vissel Kobe, apabila disambung November.

Berita gembira awalnya namun bertukar duka kemudiannya tentang perantauan dua bakat besar bola sepak kita. Luqman Hakim Shamsudin sah menjejak kaki ke kelab Belgium, KV Kortrijk pada Ogos lalu. Beberapa gol dijaringkannya dalam perlawanan persahabatan dan Liga Simpanan sebelum kecederaan menimpa dan memaksanya berehat seketika.

Sayap kanan perembat kidal negara, Safawi Rasid pula hanya bertahan tidak sampai tiga bulan berbanding tempoh pinjaman semusim di SC Portimonense apabila diumumkan akan pulang ke JDT oleh pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Dia didapati hanya kerap memanaskan bangku simpanan dan hanya beraksi bagi pasukan bawah 23 tahun kelab corot Liga Primeira Portugal itu.

Hoki turut terkena tempias Covid. Piala Sultan Azlan Shah, kejohanan ke-29 di Ipoh, Perak jemputan Konfederasi Hoki Malaysia itu mulanya dijadualkan April namun penjadualan semula ke Oktober, masih tidak mampu terlaksana. Satu lagi tugasan Malaysian Tigers, Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November, ditunda ke Mac 2021.

Badminton Piala Thomas-Uber 2020 di Aarhus, Denmark pula mengalami tiga pertukaran jadual. Pada mulanya 16 hingga 24 Mei, kemudian dipinda kali pertama, ke 15 hingga 23 Ogos dan ditunda ke 3 hingga 11 Oktober ini. Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terpaksa mengalah apabila dua kuasa utama, Indonesia dan Korea Selatan menarik diri selain Thailand, Taiwan dan Australia.

Lantas 12 hingga 17 Oktober 2021 ditetapkan sebagai tarikh baharunya. Malaysia diundi dalam Kumpulan A Piala Thomas dengan Indonesia, musuh tradisinya yang juga juara 13 kali, di samping England dan Belanda manakala Kumpulan B Piala Uber menampilkan skuad wanita kita dengan Indonesia, Korea Selatan dan Australia.

Tiada langsung servis, umpanan dan libasan sepak takraw di arena antarabangsa sepanjang 2020 termasuk Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok dari 21 hingga 27 Disember yang asalnya dirancang Oktober lalu.

Juga ‘dicutikan’ ialah Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-56 di Kuala Lumpur. Inilah kali keempat pertandingan tertua di dunia dan diasaskan pada 1962, tidak dapat dilangsungkan selepas 1992, 1998 dan 2013. Sebuah liga TV juga terpaksa ditangguhkan pada minggu keempat saingan 9 Oktober lalu apabila ada pegawainya disyaki kontak rapat kes positif Covid-19.

Dunia sukan negara kehilangan beberapa jagoan silamnya. Empat wira bola sepak Sukan Olimpik Munich 1972 yang pergi buat selama-lamanya ialah Allahyarham Salleh Ibrahim (8 Mac lalu), mendiang V. Krishnasamy (2 Ogos lalu), Allahyarham Datuk Mohamad Bakar (8 November lalu) dan Allahyarham Datuk Namat Abdullah (17 Disember lalu).

Juga menghembuskan nafas terakhir mereka ialah dua legenda Selangor dan Malaysia – bekas pemenang pingat gangsa bola sepak Sukan Asia Jakarta 1962, Allahyarham Roslan Buang (3 Oktober lalu) dan pemenang pingat perak Sukan SEA Bangkok 1975 selain pernah menentang Arsenal, Allahyarham Mohd. Shah Norbit (19 Oktober lalu).

Sukan lain yang turut kehilangan wira silam mereka ialah mendiang Tan Aik Mong, juara perseorangan Kejohanan Badminton Asia 1971 di Jakarta pada 31 Mei lalu, Allahyarham Zambrose Abdul Rahman, juara 400 meter berpagar olahraga Sukan SEAP Rangoon 1969 (6 Jun lalu) dan Allahyarham Abdullah Abu, bekas pelumba basikal dalam Sukan Empayar Britain dan Komanwel Perth 1962 (23 Oktober lalu).

Pengulas sukan legenda Radio Televisyen Malaysia era 70-an hingga 80-an, Allahyarham Zulkarnain Hassan meninggal dunia pada usia 82 tahun kerana sakit tua, 1 Oktober lalu di Kuala Lumpur. Allahyarham terkenal dengan ulasan perlawanan akhir yang dimenangi skuad bola sepak negara untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here