Gangguan air bakal terus hantui rakyat Selangor?

0
475
FOTO: NSTP.

Oleh Arrazaq Nazri

TAHUN 2020 bukan sahaja diselubungi isu pandemik Covid-19 malahan di negeri Selangor terdapat satu isu yang cukup menghantui penduduknya iaitu bekalan air.

Bayangkan bagi tahun ini, bekalan air terganggu lebih daripada lima kali dengan purata dua bulan sekali hingga negeri yang diiktiraf sebagai paling kaya di Malaysia menjadi bahan ‘troll’ di media sosial.

Bagi warga negeri yang mempunyai bekalan air bersih yang konsisten bekalannya, warga negeri Selangor dijadikan bahan gurauan mereka.

Antara gurauan yang direkodkan, syarat meminang gadis Selangor perlu menghantar tujuh tempayan air bersih sebagai syarat hantaran.

Walaupun ia sekadar gurauan, jauh dari sudut hati membentak juga apabila tinggal di negeri serba maju tetapi air tiada memanjang.

Alasannya, sumber air dicemari oleh kilang-kilang di tepi sungai yang membuang enap cemar (afluen) sehingga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos sekali lagi mahu sekadar memakai tuala ke Bangunan SUK Selangor untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Namun kita lupakan pasal Jamal. Apa yang lebih penting usaha yang perlu dilakukan Kerajaan Negeri Selangor dengan mengadakan pelan kecemasan jika bekalan air tergendala.

Contohnya, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga pakar kejuruteraan awam tentang pengairan, Tan Sri Ir. Dr.Sahol Hamid Abu Bakar mencadangkan agar teknologi pemantauan sumber air melalui satelit digunakan segera.

Benar perubahan warna air yang tercemar akibat afluen pelbagai warna boleh dikenal pasti tetapi pencemaran tetap boleh dilakukan asal ada parit dan longkang.

Malah, tindakan Kerajaan Negeri Selangor membeli dron yang dikatakan berharga RM20 juta untuk memantau kilang-kilang di pinggir sungai yang menjadi sumber bekalan air boleh pasti mampu menangani masalah secara tuntas.

Penyelesaian boleh dilakukan dengan memastikan bekalan air terjamin di peringkat huluan dengan menyimpannya dalam tangki kecemasan yang diwujudkan di setiap sembilan buah daerah dalam negeri ini.

Bahkan, projek tangki air rakyat boleh diwujudkan di kawasan tanah milik Kerajaan Negeri dan dilaksanakan menggunakan bajet khas.

Sekiranya dilaksanakan, sudah pasti mampu mengurangkan kesusahan orang ramai, bukanlah sediakan payung sebelum hujan merupakan tindakan yang lebih baik.

Setiap idea untuk memastikan masalah bekalan air terus terpelihara perlu dicari bukan setakat memindahkan kilang haram atau sah di tepi sungai. Apatah lagi melakukan proses pemutihan terhadap kilang-kilang haram sepanjang sungai.

Kawasan-kawasan penampan sungai yang ditetapkan atau diwartakan oleh undang-undang perlu kekal dipertahankan dan dijaga supaya bebas daripada pencerobohan operasi kilang-kilang haram agar bekalan air masa depan tidak terjejas lagi.

Semoga isu ketiadaan bekalan air tidak lagi menghantui kita.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here