Setakat hari ini banjir hampir mencecah paras bumbung rumah penduduk Taman Maran Jaya selepas hujan lebat turun selama dua hari. Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sepanjang Monsun Timur Laut iaitu dari bulan November lalu hingga Mac ini musim hujan lebat dijangka berlaku negeri-negeri Pantai Timur Pahang, Terengganu dan Kelantan. Orang ramai dinasihatkan menjaga diri dan keluarga terutama mereka yang berada dalam kawasan banjir bagi memastikan berada dalam keadaan selamat ditambah negara sedang dilanda pandemik COVID-19 ketika ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR — Situasi banjir di Johor dan Pahang semakin buruk petang ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS), dilaporkan terus meningkat dengan ketara.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,557 orang daripada 1,694 keluarga di tujuh daerah sehingga 4 petang ini berbanding 6,248 mangsa daripada 1,628 keluarga tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Johor R Vidyananthan berkata empat lagi PPS dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi kepada 60 iaitu empat di Mersing, Pontian (satu), Kluang (19), Kota Tinggi (16), Johor Bahru (13), Kulai (5) dan dua di Batu Pahat.

Bagaimanapun, dua PPS ditutup iaitu Balai Raya Kampung Paya di Kluang dan Dewan Raya Kampung Ulu Pulai di Pontian sejak 2 petang tadi.

Menurutnya, Johor Bahru masih mencatatkan  jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,452 orang, Kluang (1,990 orang), Kota Tinggi (1,223 orang), Kulai (581 orang), Mersing (257 orang), Batu Pahat (36 orang) dan Pontian (18 orang).

Keadaan banjir di Bandar Kota Tinggi./Foto: NSTP.

Beliau berkata di Kota Tinggi, laluan Jalan Sungai Sayong di Jambatan Sungai Sayong, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Kota Tinggi, Jambatan Jalan Semangar dan Jalan Mawai Lama ditutup untuk semua kenderaan, manakala di Kluang, Jalan Batu Pahat-Mersing di Ladang Pak Loh serta Jalan Batu Pahat-Kluang di Sekolah Menengah Kahang ditutup untuk kenderaan ringan.

“Jalan Batu Pahat-Mersing di Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Hock Huat pula ditutup untuk semua kenderaan dan Jalan Kluang-Mersing di Kampung Contoh pula jalan sebelah ditutup berikutan jambatan runtuh. Di Johor Bahru, Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah pula ditutup berikutan jambatan runtuh,” katanya.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan ketara petang ini dengan 3,273 penduduk daripada 902 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan berbanding tengah hari tadi hanya 447 penduduk melibatkan 119 keluarga.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang ini, sebanyak sembilan daerah di negeri itu terjejas susulan banjir akibat hujan berterusan sejak malam semalam.

Portal berkenaan memaklumkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,027 orang, diikuti Maran (593 orang), Raub (456 orang), Jerantut (433 orang), Rompin (358 orang), Temerloh (273 orang),  Pekan (53 orang), Bentong (45 orang) dan Lipis (35 orang).

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here