
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
JIKA tahun lepas Zoey Rahman menerima sebuah telefon pintar iPhone 11 Max dan wang tunai RM350, sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-35, tahun ini beliau menerima hadiah yang lebih besar.
Kali ini Zoey atau nama penuhnya, Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman, yang menyambut hari lahir ke-36, pada 3 Januari baru-baru ini, menerima sebuah kereta Toyota Vellfire daripada syarikat MikaSeries Sdn. Bhd.
Idea untuk menghadiahkan Zoey kereta tersebut dilaksanakan oleh Pengurus Operasi syarikat berkenaan, iaitu Sam Samin. Menurut Sam, sudah lama beliau memerhati Ketua Pegawai Eksekutif (CE0) MikaSeries itu yang menyimpan impian untuk memiliki kenderaan tersebut.

“Kebanyakan kawan Zoey adalah CEO dan rata-rata mereka menggunakan kereta jenis Vellfire atau Mercedes-Benz. Zoey ada impian untuk miliki kereta Vellfire dan bila saya kata belilah kalau dah suka.
“Dia selalu akan jawab, tak apalah sebab nak utamakan syarikat. Tapi tiap kali keluar bersama staf, lalu saja kereta Vellfire, matanya mesti melirik ke arah kenderaan itu. Dari situ, saya tahulah yang dia betul-betul suka dengan kereta jenis tersebut,” jelas Sam Samin selepas majlis penyerahan replika kunci kereta Vellfire tersebut, pada 2 Januari lalu.
Katanya, hadiah bernilai kira-kira RM300,000 itu bakal menjadi milik Zoey sepenuhnya pada 7 atau 8 Januari ini, selepas selesai segala urusan jual beli.

Tambah Sam, beliau sudah menghubungi beberapa syarikat penjual kereta sebelum bertemu dengan wakil penjual yang dapat menguruskan segala urusan pembelian tanpa perlu membayar wang pendahuluan.
“Saya cuba dapatkan free loan supaya tidak membebankan syarikat dan akhirnya dapatlah juga dengan penjual kereta yang tidak memerlukan deposit dan hanya bayar bulanan saja. Insya-Allah, kereta Vellfire itu akan sampai pada Khamis atau Jumaat ini.
“Sebenarnya untuk membeli hadiah ini, saya berpakat dengan dua staf lain, Aiyfa (bahagian kewangan) dan Wan untuk pastikan bulanan, syarikat yang bayar dan bukan bos. Aiyfa kira-kira dan kata syarikat mampu bayar bulanan.
“Kalau nak kira hadiah ini tak dapat dinilaikan dengan hubungan kami bersama Zoey, iaitu seorang bos yang down to earth. Kami yang bekerja di syarikat ini sentiasa gembira kerana hubungan kami seperti sebuah keluarga. Disebabkan hubungan kekeluargaan itulah, MikaSeries dimurahkan rezeki,” katanya tersenyum.
Sementara itu, Zoey yang tergamam dengan pemberian hadiah tersebut berkata, beliau sangkakan hanya percutian biasa bersama staf sebagai menyambut kedatangan tahun baharu saja.

“Alhamdulillah, satu kejutan yang luar biasa. Kalau tahun lepas setakat iPhone tapi tahun ini saya dapat kereta. Insya-Allah yang penting sekali, kita susah sama-sama dan senang sama-sama.
“Syukur, alhamdulillah, kita sudah mencapai kejayaan demi kejayaan. Bermula daripada pelancaran hari itu, beroperasi di pejabat kecil hinggalah kita mampu berpindah ke pejabat besar sedikit dan dah lebih selesa. Semoga tahun ini, rezeki MikaSeries semakin bertambah,” kata Zoey, selaku ‘birthday boy’ itu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembanngan produk Mika Series yang berjaya menembusi pasaran Watsons, jelas Zoey, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan.

“Sewaktu mendapat khabar pihak Watsons sedia menerima produk Mika Series, kita semua gembira kerana itu adalah impian saya untuk memasarkan produk tersebut di Watsons. Bila Watsons bagi jadual kemasukan, kita semua jadi sedih sebab masuk waktu pandemik Covid-19.
“Dalam keadaan sekarang, tak ramai yang pergi ke pusat membeli-belah sebab ramai yang suka membeli di atas talian. Kita risau sebab Watsons bagi tahu berapa jumlah yang perlu dijual untuk tempoh setahun. Bila dah masuk Watsons, orang Watsons sendiri terkejut dengan sambutan yang diberi.
“Pada minggu pertama saja, sudah ramai yang membeli walaupun pihak mereka belum buat promosi di laman sesawang mereka. Saya bersyukur kerana semua itu atas kerjasama pihak media dan promosi yang pihak MikaSeries lakukan di media sosial,” kata Zoey tersenyum bangga.
–BebasNews
Khadijah Ibrahim Penganalisis BebasNews. Beliau wartawan hiburan prolifik yang pernah menulis untuk Utusan Malaysia, Pancaindera, dan Mingguan Malaysia.