Oleh Sarfarizmal Md. Saad

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, Pakatan Harapan dikatakan telah mengalami sindrom penolakan daripada rakyat. Ini berpunca daripada kegagalannya dalam mentadbir kerajaan yang berusia 22 bulan sebelum ini.

Harapan rakyat dan pengundi banyak tertumpu kepada Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan hasil jalinan tiga buah parti utama iaitu Umno, Pas dan Bersatu. Turut hadir Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Kerajaan PN ini.

Namun indah begitu Kerajaan PN kian bergelora. Luar nampak sempurna, tetapi berkecamuk di dalamnya.

Keadaan ini berlaku kerana Umno merasakan dirinya dipinggirkan dalam pentadbiran sedangkan ia sebuah parti yang besar berbanding Bersatu. Tidak kurang juga sikap penting diri sesetengah pemimpin termasuk mereka yang berdepan dengan kes mahkamah.

Dalam situasi penuh genting ini, Pas dilihat mengambil jalan selamat. Parti bulan itu seolah-olah melakukan poligami dengan ‘berkahwin’ dua buah parti kerana tidak mahu lepaskan hubungan dengan Muafakat Nasional (MN), dan pada masa sama ingin kekal dalam perhubungan peringkat PN.

Dalam perkahwinan mutaah ini, Pas dilihat lebih mesra dan intim dengan isteri muda, Bersatu dalam hubungan yang dijalin melalui PN dan bukan MN yang dokong oleh Umno. Kenapakah demikian?

Jika Pas memilih untuk rapat dengan Umno, Pas mungkin terpaksa mengorbankan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada Umno khususnya di negeri Terengganu dan Kelantan. Ini mengurangkan jumlah kerusi yang Pas telah menang pada PRU14.

Sebaliknya jika Pas memilih bersama Bersatu, kerusi yang Pas menang pada PRU14 lalu akan kekal milik mereka. Bersatu mungkin akan diberi kerusi-kerusi yang telah Pas kalah sahaja. Tidak mengganggu jumlah kemenangan Pas.

Begitu juga dengan jumlah kerusi yang akan diperoleh Pas semasa PRU15 nanti. Jika Pas bersama Umno, maka mereka hanya mendapat jumlah kerusi yang sangat kecil di negeri-negeri yang dikuasai Umno.

Berbanding Pas berpeluang mendapat tambahan kerusi jika mereka bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 nanti.

Jika Pas tetap erat dengan Umno, ia mungkin akan berisiko di negeri seperti Kedah dan Pahang. Sudah tentu Umno akan meletakkan bilangan calon yang lebih besar di negeri-negeri ini nanti seperti biasa.

Sebaliknya jika Pas bersama Bersatu, maka Pas ada potensi untuk menjadi ‘Abang Long’ atau bertanding dengan lebih banyak khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan mungkin juga Selangor. Kekuatan jentera dan calon sesuai bagi Bersatu di negeri-negeri ini agak terhad. Maka, tidak mustahil Pas mampu menjadi Menteri Besar di negeri berkenaan jika gabungan mereka menang besar.

Sama juga apa yang akan berlaku di peringkat persekutuan. Jika gabungan PN ini menang besar, tidak mustahil Pas akan memperoleh jawatan lebih kanan dalam kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri dan lain-lain menteri kanan.

Jika mereka lebih cenderung kepada Umno, potensi untuk Pas mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri agak sukar. Perlu berhadapan dengan pelbagai rundingan dan perjanjian yang kompleks.

Namun jujur katakan, sekiranya berlaku perpecahan penjuru antara BN, PN, PH dan serpihan-serpihan kecil yang lain dalam PRU15 nanti, kerajaan baharu selepas pasca PRU15 masih lagi tidak sekuat yang diharapkan. Situasi politik negara juga tidak akan mampu stabil seperti dahulu kala.

Jika kestabilan politik terus rapuh, maka sektor ekonomi negara akan teruk, sistem kesihatan, pendidikan dan keselamatan negara juga tidak akan mampu bergerak dengan sehabis baik.

Justeru, jalan penyelesaiannya cukup senang iaitu BN (Umno), Pas dan Bersatu harus bergabung dalam satu penyatuan yang kuat. Masing-masing perlu berjiwa besar dan memandang nasib rakyat melebihi segalanya.
Persoalannya, siapakah akan mula dahulu?

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here