PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan laporan bahawa dia meminta anggota parlimen parti itu meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari sebagai tidak benar.

Dalam salurannya di aplikasi Telegram, gambar rakaman skrin laporan di portal Suara TV itu dikongsi dengan label “fitnah”.

Portal itu sebentar tadi melaporkan Zahid meminta anggota parlimen Umno meninggalkan kerajaan PN sebelum Februari bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

Portal itu berkata Zahid berkata demikian dalam perjumpaan bersama ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur hari ini.

“Menurut Ahmad Zahid, Umno tiada pilihan kerana kerajaan ini gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran,” menurut laporan itu.

Suara TV juga melaporkan, Zahid dalam ucapannya meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno melepaskan jawatan sebelum 1 Februari ini.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setelah menggesa parlimen dibubarkan bulan ini.

Sementara itu, Setiausaha agung Umno Ahmad Maslan berkata sebarang keputusan hari ini akan dibawa untuk perbincangan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Itu hanya laporan, apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi.

“Jadi, keputusan muktamad, apa juga yang dibincangkan adalah MKT esok malam,”katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut berhubung laporan tersebut Ahmad enggan mengesahkan bahawa Zahid mengeluarkan arahan itu.

Sementara itu, menteri Umno Khairy Jamaluddin dalam acara berasingan berkata dia terikat kepada sebarang keputusan MT.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada akan meletakkan jawatan jika Umno menarik balik sokongannya pada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/557715
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here