Kisah Legenda Puteri Bulan dan Felora

0
3164

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BAGI membawa kelainan demi menyediakan kandungan yang menarik serta releven sebagai pembuka tirai tahun baharu ini, Astro Ceria melancarkan siri telefilem Legenda yang menampilkan watak dan jalan cerita yang diinspirasikan oleh kisah-kisah legenda dari zaman dahulu kala serta puteri-puteri Nusantara.

Siri telefilem Legenda ini menerapkan pelbagai elemen moden dalam penceritaan, malah menjadikan tema pemerkasaan wanita antara fokus utama.

Legenda Puteri Bulan akan disiarkan pada 6 Januari ini (Rabu), pada pukul 9 malam di Astro Ceria HD (611) dan Astro Ceria (631). Manakala, telefilem kedua dari siri ini, Legenda Puteri Felora pula akan disiarkan pada 13 Januari (Rabu) pada waktu yang sama. Kedua-dua telefilem ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand.

Legenda Puteri Bulan menemui penonton pada pukul 9 malam, 6 Januari ini.

Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Studios Astro, Yasmin Yahya berkata, telefilem Legenda ini merupakan satu peluang untuk menzahirkan kisah-kisah zaman dahulu kala yang disajikan dalam nafas baharu, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

“Telefilem ini diberi suntikan komedi dan fantasi, kami mengharapkan siri telefilem Legenda ini sedikit sebanyak dapat mencetuskan minat Gen Alpha (mereka yang lahir selepas tahun 2010) terhadap kisah-kisah legenda Nusantara, sekali gus mengabadikannya dalam sorotan kandungan kami agar ia tidak lapuk dek zaman.

“Menarik lagi, pemerkasaan wanita menjadi salah satu fokus utama naskhah Legenda Puteri Bulan dan Legenda Puteri Felora ini, yang mana ia mengetengahkan protagonis bersifat bijak, baik hati, tidak mudah mengalah dan berjiwa besar.

Zizan Razak buat penampilan khas dalam Legenda Puteri Bulan.

“Selaku peneraju kandungan hiburan utama tanah air, kami menyedari kepentingan representasi positif bagi watak wanita dalam pembikinan sesebuah karya, terutamanya kandungan yang disaksikan oleh anak-anak kecil.

“Justeru itu, watak progresif Puteri Bulan dan Puteri Felora diharapkan dapat menjadi inspirasi untuk semua, sama ada perempuan mahupun lelaki, kanak-kanak atau dewasa terutamanya dari segi keyakinan diri,” jelasnya.

Tambah Yasmin, pihaknya berharap telefilem Legenda ini dapat menimbulkan rasa minat dan ingin tahu audiens terhadap kisah-kisah dari zaman dahulu kala serta puteri-puteri Nusantara.

Beliau juga berkata, Astro Ceria akan terus menghasilkan kandungan yang terbaik untuk seisi keluarga bersama-sama nikmati sebagai penguat ikatan silaturrahim.

Pihak Astro harap telefilem legenda yang diterbitkan dapat ditonton oleh seisi keluarga.

Telefilem Legenda Puteri Bulan arahan Bob Husaini itu adalah hasil garapan skrip oleh Eenaz Mokhtar, Farah Alya As’ari dan Syadhafiza Rosli.

Ia berkisar tentang Puteri Zaleha, lakonan Uyaina Arshad yang mempunyai darah putih dan mampu menyembuhkan penyakit, lalu beliau menjadi kesayangan semua kerana usahanya untuk membantu rakyat.

Manakala adiknya, Puteri Mariam (Putri Hanan), tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan inginkan perhatian daripada kakaknya. Apabila Puteri Zaleha menerima pinangan yang tidak boleh ditolak daripada Raja Achewah, Puteri Mariam memulakan ekspedisi untuk menyelamatkan kakaknya dan juga negaranya, Sukalangka.

Lain-lain pelakon yang menjayakan telefilem yang diinspirasikan daripada kisah Puteri Lindungan Bulan ini ialah Nabil Aqil sebagai Putera Alauddin, Ropie (Sultan Sukalangka), Bell Ngasri (Laksamana) dan Amerul Affendi (Mansur).

Telefilem yang menjadikan filem Ali Baba Bujang Lapok sebagai rujukan itu menjalani penggambaran selama tujuh hari, antaranya di Perkampungan Budaya, Taman Botani Negara, Shah Alam dan juga di Kem Isi Rimba, Kemensah.

Selebriti popular, Zizan Razak, Johan As’ari dan Rozita Che Wan turut hadir sebagai watak cameo.

Sementara itu, Legenda Puteri Felora, arahan Ben Nambiar pula menampilkan skrip Sofia J Rhyland, yang juga mengambil masa selama tujuh hari untuk penggambaran.

Tiga lokasi utama yang dijadikan set penggambaran adalah di Janda Baik, Port Dickson dan Ulu Yam. Malah telefilem ini juga banyak menggunakan CGI VFX (kesan khas) kerana menampilkan perjalanan antara dimensi.

Aiman Tino sebagai Putera Ares dalam Legenda Puteri Felora.

Malah, pelakon utama, Ruhainies yang melakonkan watak Puteri Felora, beberapa kali perlu digantung di hadapan skrin hijau bagi memasukkan unsur kesan khas, seperti babak terbang dan kuasa ajaib.

Puteri Felora merupakan puteri tunggal kerajaan Azania yang tidak menurut perintah ibu bapanya. Akibat pilihannya itu, Puteri Felora terperangkap di zaman moden bersama Mangko, arnab kesayangannya (Cik B).

Di dunia masa kini, Puteri Felora diselamatkan oleh Mama (Vanidah Imran) dan keluarganya, namun Puteri Felora perlu segera mencari jalan pulang untuk menyelamatkan Azania dari kemusnahan.

Lain-lain pelakon yang menjayakan telefilem Puteri Felora ialah Aiman Tino sebagai Putera Ares, Dini Schatzmann (Putera Flammar) Datuk Fizz Fairuz (Papa), Lana Nodin (Nenek Gora) dan Dynas Mokhtar (Permaisuri Zenab).

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here