Sultan Selangor dukacita didakwa halang orang ramai solat di masjid

0
587
FOTO: Aziz A. Shariff.

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan dukacita terhadap dakwaan sesetengah pihak kononnya baginda menghalang orang ramai solat di masjid apabila mengarahkan masjid dan surau di Negeri Selangor ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata:

“Pada dasarnya, masjid dan surau di negeri ini tidak ditutup. Kelonggaran telah diberikan secara berperingkat-peringkat mengikut situasi semasa Covid-19 dengan JAIS mengeluarkan surat kelonggaran secara terus kepada masjid dan juga surau terlibat.

“Ingin saya perbetulkan tanggapan yang salah itu dan perkara ini tidak dimaklumkan dalam media kerana kelonggaran yang diberikan kerap berubah-ubah mengikut keadaan setempat,” kata Mohd Shahzihan kenyataannya di sini.

Beliau berkata, perasaan dukacita itu telah dizahirkan ketika pihaknya menghadap Sultan Sharafuddin semalam bertujuan membincangkan beberapa perkara berhubung kelonggaran baharu yang diberikan kepada tempat ibadat orang Islam termasuk kebenaran solat masjid di seluruh Selangor.

“Ingin saya perbetulkan tanggapan yang salah itu dan ia tidak dimaklumkan kepada media kerana kelonggaran yang diberikan kerap berubah-ubah mengikut keadaan setempat,”kata Mohd Shahzihan kenyataannya di sini.

Mohd.Shahzihan berkata, keputusan yang dibuat baginda tidak boleh dilihat sebagai menghalang umat Islam beribadah kerana kelonggaran sebenarnya diberikan kepada rakyat Selangor.

“Malah, Sultan Sharafuddin menitahkan kelonggaran itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh ahli kariah selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JAIS dikuatkuasakan oleh pentadbiran serta dipatuhi sepenuhnya oleh jemaah.

“Baginda menyifatkan pihak yang membuat dakwaan sebagai orang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak berfikir panjang,” kata Mohd Shahzihan yang menyatakan Sultan Selangor amat prihatin terhadap kesejahteraan dan keselamatan rakyatnya dan tidak mahu tercetusnya penularan baharu di negeri ini.

Katanya, kelonggaran telah diberikan dan dikuatkuasakan pada 4 Januari lalu bagi solat Jumaat melibatkan 500 jemaah manakala solat fardhu lima waktu pula jemaah 150 orang di Masjid Negeri dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah.

“Bagi Masjid Pengurusan (39 buah) dan Masjid Institusi (17 buah) jumlah yang dibenarkan adalah sama iaitu 300 jemaah bagi solat Jumaat dan 150 bagi solat Fardhu lima waktu,” kata beliau.

Beliau menambah bagi kategori masjid dan surau kebenaran Jumaat bagi daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Gombak, hanya seramai 40 jemaah termasuk pihak pentadbiran yang dibenarkan solat fardhu lima waktu di masjid.

Beliau menambah, bagi solat Jumaat di semua daerah tersebut pula, kapasiti sebenar dewan solat utama haruslah melepasi penjarakan 1.5 meter antara kedudukan jemaah.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here