MALAYSIA merekodkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 2,593 kes hari ini. Sebelum ini, jangkitan kes baharu tertinggi adalah pada 26 Disember tahun lalu dengan 2,335 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berada pada 24,347 kes manakala jumlah keseluruhan pada 125,438.

Selangor terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu pada 965 kes atau 37.2 peratus daripada jumlah kes hari ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 894 kes atau 92.6 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Johor sebanyak 571 kes (22.0 peratus) dan Sabah sebanyak 405 kes (15.6 peratus)

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Kuala Lumpur (265), Negeri Sembilan (125), Pulau Pinang (77), Kelantan (43), Kedah (42), Perak (34), Terengganu (19), Melaka (13), Pahang (11), Putrajaya (9), Labuan (9) dan Sarawak (5).

Hanya Perlis yang tidak mempunyai sebarang kes.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 309 kluster, termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Kobena, kluster Mengketil,dan kluster UD SS2.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 252 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak62 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Seri Lanang (504 kes), Kluster Bukit Pasir (283 kes), dan Kluster Teratai (85 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, daripada keseluruhan 2,593 kes baharu hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,129 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 100,578 atau 80.2 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 141 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya.

Semua mangsa adalah warga negara dengan dua daripada mereka meninggal dunia di hospital di Sabah, manakala seorang di Selangor dan seorang lagi di Kuala Lumpur.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 513 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

https://bit.ly/2XhujGo
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here