Artis hulur bantuan kepada mangsa banjir

0
458
Sekolah Menengah Clifford tempat Siti Nurhaliza belajar dulu turut ditenggelami banjir.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM


TATKALA kerajaan bekerja keras untuk menangani masalah pandemik Covid-19, negara sekali lagi diduga dengan bencana banjir yang melanda negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang terus mencatat peningkatan.

Manakala, keadaan banjir di Perak, Selangor dan Johor semakin baik dan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara semakin berkurangan.

Mungkin di kawasan kediaman kita tidak dilanda banjir sebegitu tapi sebagai insan, perasaan sebak pasti mencengkam dada tatkala melihat foto-foto mangsa banjir.

Siti Nurhaliza tersentuh dengan nasib mangsa banjir di Pahang dan terus menghulur bantuan.

Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang membawa maksud suka duka sama-sama ditanggung. Tiada paksaan, terpulang kepada individu untuk membantu atau tidak.

Namun sebagai insan yang prihatin, penyanyi popular tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Pahang.

Siti menerusi Instagram @ctdk, hari ini (6 Januari) memberitahu, bekalan barangan keperluan dihantar dari Kuala Lumpur kerana beberapa hari ini sukar mendapatkan bekalan yang cukup dari negeri kelahirannya yang dilanda banjir.

Penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu telah mengamanahkan pengurus peribadinya, Rozi Abd. Razak supaya menghantar bekalan keperluan kepada mangsa yang terlibat.

Neelofa mohon hantar foto atau video tempat banjir untuk pihaknya menghulur bantuan.

“Semoga perjalanan team kami ke sana dipermudahkan Allah, fasa pertama dan moga dilapangkan terus rezeki untuk fasa seterusnya. Saya tidak dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran di Lipis khususnya, bukan tidak mahu tetapi keadaan saya tak mengizinkan.

“Meskipun ramai yang bertanya, apakah saya tidak berbuat apa-apa? Allah! Tubuh saya mungkin tidak berada di sana tetapi doa dan juga usaha saya, usaha kalian semuanya sampai ke sana,” katanya yang sentiasa merendahkan diri itu.

Semalam (5 Januari) Siti telah memuat naik foto bangunan sekolahnya, Sekolah Menengah Clifford, Lipis yang berusia lebih 100 tahun itu ditenggelami air.

“Bangunan kelas saya belajar hanya nampak sayup sahaja bumbungnya. Allah! Semoga usaha ini akan diberkati dan saya juga mengajak followers, rakan-rakan, alumni sekolah serta sesiapa saja yang mahu menyumbang bagi membantu meringankan beban sekolah akibat bencana banjir.

“Kala ini, dengan keadaan saya sekarang, mungkin saya tidak dapat turun padang seperti lazimnya untuk melihat sendiri keadaan banjir namun saya titipkan doa dan membantu apa yang termampu kerana memahami keadaan sukar buat semua mangsa banjir,” katanya ikhlas.

Malah, penyanyi itu sempat mengucap terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew di Instagram pendakwah itu kerana sikap prihatinnya yang segera menghulur bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Lipis, Pahang.

Fizz Fairuz juga turut mengatur misi untuk membantu mangsa banjir.

“Terima kasih ustaz Ebit Lew, turun ke kampung halaman saya bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir. Semoga Allah SWT permudahkan semuanya. Alhamdulillah,” kata Siti.

Selain Siti, seorang lagi artis kelahiran Raub, Pahang, Datuk Fizz Fairuz menerusi IG Story (fizzfairuzofficial) hari ini memberitahu, beliau bekerjasama dengan Datuk Aaron Aziz untuk membantu mangsa banjir.

“Saya buat live nak bagi tahu pada sesiapa yang nak memberi sumbangan duit, makanan atau baju terpakai. Bila habis live ini saya akan masukkan dekat feed dan letak detail, boleh hantar terus kat sana.

“Jika ada yang nak memberi makanan, biarlah yang kering seperti biskut, maggie cup atau makanan dalam tin yang senang buka. Saya akan balik ke Raub dan buat penghantaran pada mangsa banjir termasuklah di Bentong, Jerantut dan Mentakab.

“Saya dan Aaron akan cuba bantu mana yang termampu. Pada sesiapa nak turut serta dipersilakan. Benda ini tak ada paksaan, kalau berminat boleh DM (direct message) saya atau hantar ke Isend Distribution Centre, 19, Jalan Mewah 3/4 Taman Pandan Mewah, 68000 Ampang, Selangor,” jelasnya.

Sementara itu, usahawan Neelofa menerusi Instagram lofa.world meminta orang ramai menghantar gambar atau video tempat yang dilanda banjir kepadanya.

“Saya nak minta tolong anda semua hantar gambar atau video tempat yang dilanda banjir, insyaAllah pertubuhan Kasih Neelofa akan usahakan untuk menghulurkan bantuan kepada anda,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here