Malaysia Live! Konsert percuma untuk peminat

0
360
Aizat dan Noh Salleh dalam konsert Malaysia Live!, yang boleh ditonton menerusi YouTube MalaysiaLiveMY pada 22 Januari ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai yang terjejas punca pendapatan kerana diberhentikan kerja sebab syarikat tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Nasib yang sama turut dialami oleh golongan anak seni, baik yang di hadapan atau di belakang tabir. Rata-rata tempahan untuk persembahan pentas oleh artis terpaksa dibatalkan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apabila sesuatu persembahan atau konsert dibatalkan, bukan penyanyi saja terlibat tapi ia turut membabitkan pemuzik, kru pentas sama ada jurutera bunyi mahupun petugas di lokasi.

Peminat Dayang Nurfaizah jangan lepaskan peluang menonton persembahannya pada episod pertama Malaysia Live!.

Setakat ini hanya stesen televisyen saja dilihat beroperasi dengan mengadakan persembahan pentas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan tanpa kehadiran penonton.

Ada juga beberapa penyanyi yang mengadakan persembahan atas talian untuk tontonan peminat mereka yang selama ini banyak menyokong perjalanan kerjaya seni mereka.

Bagi peminat yang rindu untuk menonton konsert, jangan risau kerana Gabung Cipta, sebuah syarikat pembekal sistem audio dan cahaya yang dimiliki oleh Pam Shahril dan Shahril Razak sedia memenuhi kehendak orang ramai.

Mereka yang berpengalaman selama 15 tahun dalam mengendali acara besar dalam negara dan serantau telah berganding tenaga dengan pengarah muzik, Datuk Acis dan penerbit konsert, Jennifer Thompson menganjurkan Konsert Malaysia Live!.

Konsert Malaysia Live! akan disiarkan secara streaming menerusi saluran YouTube MalaysiaLiveMY yang bermula pada pukul 9 malam, 22 Januari 2021 (Jumaat).

Hael Husaini dengan gaya tersendiri.

Untuk episod pertama yang dihoskan oleh Nazrudin Rahman, barisan penyanyi yang menjayakan konsert Malaysia Live! ialah Aizat Amdan, Dayang Nurfaizah, Dolla, Hael Husiani, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Yonnyboii dan Zynakal.

Manakala episod kedua yang diacarakan oleh Adibah Noor, pula akan disiarkan pada pukul 9 malam, 29 Januari 2021, dengan menampilkan barisan penyanyi iaitu Faizal Tahir, Ismail Izzani, Kmy Kmo & Luca Sickta, Datuk M. Nasir, Ruffedge, Shalma Eliana, Tuju dan Zizi Kirana.

Penganjuran konsert ini bukan sekadar menjana pekerjaan pada yang terlibat, malah juga untuk menghiburkan peminat muzik tanah air dan membawa sedikit sebanyak keterujaan konsert live (langsung)  walaupun ditampilkan secara maya.

Konsert ini telah dirakam secara langsung tanpa penoton di KL Live @ Life Centre dan persembahan artis diiringi oleh pemuzik-pemuzik tersohor, Acis (keyboard dan pengarah muzik), Fendi Mokhtar (dram), Jenny Chin (keyboard), Rozhan Rahman (bes), Wan Gigi (gitar), Jamie Wilson (gitar), Steve Thornton (percussion) dan penyanyi latar Yuaz Bahtiar Kassim, Eja Muhd. Nor serta Juanita Ismail.

Faizal Tahir

Sebagai seorang yang pendapatannya bergantung kepada industri muzik, Acis berkata, industri muzik adalah salah satu industri yang paling terjejas oleh kerana acara live untuk khalayak ramai tidak di benarkan berlangsung.

“Dengan pengurangan atau kehilangan punca pendapatan dari sektor persembahan live, yang merupakan sektor utama pendapatan seseorang artis atau pemuzik, ada yang terpaksa mencari perkerjaan lain untuk menyara hidup dan dalam senario terburuk, mereka terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca pencarian makan.

“Menerusi penganjuran Malaysia Live! saya berharap ia akan memberi ruang untuk semua yang terkesan untuk mula menjana pendapatan dan bagi peminat muzik menyambung semula keistimewaan menoton acara secara live,” katanya penuh harapan.

Sementara itu, Jennifer berkata, bukan penggiat seni dalam industri tidak mencuba menyesuaikan diri atau meningkatkan kemahiran untuk mengadaptasikan diri kepada norma baharu tetapi ia perlukan lebih daripada usaha kita sendiri.

M.Nasir dalam episod kedua konsert Malaysia Live! yang boleh ditonton pada 29 Januari ini menerusi platform yang sama.

Ujarnya, kadang-kadang ia juga tergantung kepada situasi infrastruktur yang di luar kawalan kita ataupun corak pemikiran penonton yang mungkin mengambil masa untuk berubah.

“Dalam industri hiburan perubahan adalah lumrah kehidupan tetapi dalam keadaan drastik ini, dan dalam percubaan untuk menyesuaikan diri, kita masih perlu cari makan dan membayar bil.  Objektif semestinya adalah untuk mengesyorkan kita tidak kehilangan bakat dan pakaran industri kita kepada perkerjaan lain.

“Ia menjadi harapan bahawa siri konsert ini akan berterusan supaya lebih artis, pemuzik dan tenaga pekerja industri muzik dapat melibatkan diri dalam perlaksanaan konsert-konsert seterusnya,” jelasnya.

Tambah Jennifer, konsert tersebut tidak mungkin terlaksana tanpa sokongan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang memberi tumpuan penting untuk membantu pengiat dan perniagaan industri kreatif yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Lagipun katanya, objektif utama penganjuran konsert adalah untuk membolehkan aktiviti dan perniagaan industri kreatif dimulakan semula demi kelangsungan pendapatan penggiat industri yang amat bergantung kepadanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here