Dakwaan Ahmad Maslan boleh makan diri

0
2900
FOTO: NSTP.

Oleh Ahmad Abd Hamid

SEBELUM ini ia dianggap cakap-cakap atau andaian sahaja. Tetapi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah mengesahkan punca utama parti itu tidak senang dengan kerajaan Pakatan Nasional (PN) ialah kerana PN membiarkan kes mahkamah melibatkan para pemimpin UMNO diteruskan.

Menurutnya, inilah punca paling utama berbanding dengan isu lain seperti tidak diberi jawatan penting dalam kabinet atau komposisi kabinet yang tidak seimbang.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menyifatkan dakwaan (di sini) terhadap para pemimpin UMNO, termasuk dirinya, sebagai zalim dan kezaliman ini dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kerana itu Ahli Parlimen Pontian itu mahu apabila PN berkuasa, dakwaan tersebut tidak diteruskan. Oleh kerana pendakwaan atau perbicaraan tetap berjalan, beliau menggambarkan kerajaan PN juga zalim.

Justeru beliau menekankan perlunya pilihan raya diadakan segera agar kerajaan baharu dibentuk. Maksud tersiratnya ialah kerajaan baharu ini, jika ditunjangi oleh UMNO, akan menggugurkan dakwaan yang dihadapi para pemimpin parti itu.

Baginya oleh kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan lagi perdana menteri; Tommy Thomas bukan lagi peguam negara dan Latheefa Koya bukan lagi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dakwaan terhadap para pemimpin UMNO sepatutnya tidak diteruskan.

Adakah Ahmad Maslan sedar apa yang beliau katakan sebenarnya boleh memberi implikasi tidak baik terhadap UMNO sendiri dan sistem kehakiman negar?

Kenyataannya boleh makan diri serta memberi kesan negatif kepada parti seolah-olah UMNO tidak menghormati kedaulatan undang-undang.

Juga seolah-olahnya kes mahkamah boleh ditarik balik atau digugur sesuka hati dengan hanya berdasarkan siapa yang memerintah. Hak mendakwa atau menarik balik dakwaan adalah milik mutlak Peguam Negara. Jangan dicampuri atau cuba mempengaruhi urusan beliau.

Benar beberapa pemimpin UMNO sedang menghadapi kes mahkamah, termasuk Presiden UMNO sendiri. Tetapi mana mungkin dakwaan digugurkan begitu sahaja untuk memuaskan hati individu tertentu.

Pendakwaan terhadap individu di mahkamah bukan mengambil kira kerajaan mana berkuasa ketika itu kerana ia dibuat berdasarkan bukti yang ada. Menjadi tanggung jawab individu yang didakwa untuk membuktikan sebaliknya.

Justeru menyifatkan pendakwaan oleh kerajaan PH sebagai zalim dan kerajaan sekarang  bertanggung jawab menghentikannya adalah sangat tidak wajar. Rasional apa yang Ahmad Maslan gunakan?

Perlu diingat, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan perdana menteri kerajaan PN pada Mac 2020, beliau telah menekankan untuk membentuk kabinet yang bersih dan meneruskan agenda anti rasuah.

Tetapi kenyataan Ahmad Maslan jelas menongkah arus sedangkan UMNO juga anggota kerajaan. Ia memberi mesej yang salah seolah-olah rule of law boleh dipermainkan dan diubah sesuai menurut keperluan dan kepentingan pihak tertentu.

Sepatutnya, biarkan proses undang-undang berjalan menurut arah alirannya sendiri, tidak kiralah jika melibatkan parti apa pun atau individu mana sekalipun.

Dengan menyifatkan dakwaan terhadap para pemimpin UMNO sebagai zalim, Ahmad Maslan juga menunjukkan beliau mahu hanya dakwaan melibatkan para pemimpin parti itu sahaja yang dihentikan.

Bagaimana dengan pelbagai dakwaan atas pelbagai tuduhan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang berlaku baik ketika era pemerintahan PH atau kerajaan kini? Adakah zalim hanya jika melibatkan pemimpin UMNO sahaja? Zalim itu dari kaca mata siapa?

Tidakkah Ahmad Maslan sedar apa yang beliau luahkan hanya menyerlahkan bahawa matlamat utama UMNO menyertai kerajaan PN kerana mahu kes-kes mahkamah yang melibatkan para pemimpin parti itu dihentikan, bukan sangat demi negara dan rakyat? Adakah kenyataannya mencerminkan pandangan UMNO secara keseluruhannya?

Perbuatannya juga menggambarkan seolah-olah para pemimpin UMNO yang sedang menghadapi dakwaan mahkamah takut menghadapi kes mereka. Inilah persepsi ramai.

Kenapa perlu bimbang sedangkan mereka sendiri sudah cukup bersedia dan kerap menyatakan akan menggunakan mahkamah sebagai platform membersihkan nama?

Rakyat juga akan berlapang dada apabila nama mereka dibersihkan melalui mahkamah daripada terus menyimpan rasa ragu-ragu jika mereka bebas kerana kes digugurkan.

Justeru gunakan peluang ini sebaik-baiknya. Lagi pun seperti kata cerdik pandai, tidak perlu takut jika tidak bersalah. Berani kerana benar.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here