JAIS sedia panduan khas laksana misi bantuan banjir

0
233

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan panduan khas bertujuan menyelaras pelaksanaan misi bantuan di negeri-negeri yang dilanda musibah banjir.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pelbagai usaha mula digerakkan beberapa buah masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.

“Semangat untuk membantu itu perlu diimbangi dengan kawalan penularan Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan ketika ini.

“Sehubungan itu, kita menyediakan panduan khas iaitu misi bantuan oleh semua Masjid Pengurusan perlu dibuat dengan kerjasama atau pemakluman rasmi secara bertulis kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.

“Selain itu, misi bantuan oleh Masjid Institusi, Masjid Kariah, Surau Kebenaran Jumaat dan Surau Kariah perlu dibuat dengan memohon kebenaran rasmi dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Shahzihan berkata, semua permohonan itu perlu dinyatakan lokasi, bentuk bantuan dan tempoh spesifik berada di kawasan tersebut.

Katanya lagi, selain itu, jumlah ahli jawatankuasa atau anggota yang terlibat perlu dinyatakan.

“Pihak pengurusan turut perlu mendapatkan kebenaran daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan pihaknya menyediakan mekanisme kutipan untuk misi bantuan mangsa banjir melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) di akaun Maybank 562106-718620.

“JAIS akan mengaturkan proses penyerahan sumbangan pada kadar segera melalui agensi berkaitan yang menjadi perantara misi bantuan itu,” tambah beliau.

Kenyataan Media 8.1.2021 (Final)

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here