Takhta Dunia Siti Nurhaliza penuh makna

0
288
Pukul 9 malam ini, Siti Nurhaliza akan berkongsi video muzik Takhta Dunid di saluran YouTube Siti Nurhaliza.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SATU persatu Datuk Seri Siti Nurhaliza tampilkan video muzik yang memuatkan lagu-lagu daripada album ke-18 iaitu ManifestaSITI2020.

Terkini beliau tampil dengan video muzik Takhta Dunia, salah satu lagu yang terdapat dalam album tersebut.

Sebelum ini, video muzik ketujuh daripada album tersebut yang dihasilkan adalah Kuasa Cintamu dan berjaya mendapat lebih dua juta tontonan.

Selagi lagu-lagu dalam album ManifestaSITI2020 tidak habis dijadikan video muzik, selagi itulah peminat akan disajikan dengan penghasilan video muzik.

Mungkin Takhta Dunia, lagu dan lirik ciptaan komposer dari Indonesia, Ryan Kyoto itu merupakan video muzik terakhir Siti sebelum memberi perhatian kepada urusan untuk bersalin anak keduanya pada tahun ini.

“Video muzik Takhta Dunia penuh dengan mesej yang baik untuk masyarakat. Seiring dengan kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai baik atau adab.

“Sebagai seorang penyanyi, saya bertanggungjawab mengenengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran,’’ kata penyanyi yang bakal menyambut usia ke- 42 tahun pada 11 Januari ini.

Tambah Siti, penggambaran video muzik Takhta Dunia terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd., merupakan di antara kerja terakhir beliau sebelum berehat untuk memberi fokus kepada persediaan kehamilan.

Malah, beliau telah berbincang dengan pengarah Azhar dari Rasa Film untuk tampil menggayakan imej wanita era 70-an bagi memberikan kelainan di dalam setiap video muzik yang pernah dihasilkan.

Untuk video muzik ini, Siti menggunakan khidmat pereka fesyen, Rizman Ruzaini dan jurusolek Ahma Dhani bagi imej tersebut.

Jelas Siti, visual lakonan di dalam video muzik ini banyak mengaitkan isu semasa masyarakat iaitu vandalism, berebut kerusi atau tidak bertolak ansur di dalam pengangkutan awam, buli siber dan juga mencopet atau mencuri.

“Takhta Dunia sarat nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata. Apabila ini menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela,” ujarnya.

Kalau nak lihat penampilan Siti Nurhaliza era 70-an, jangan lupa tonton video muzik Takhta Dunia.

Sementara itu, Azhar berkata, lagu ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi melodi dan cara penyampaian Siti. Namun jelasnya, intipati lirik yang dihasilkan sangat memberi makna.

“Bersesuaian dengan maksud liriknya, video muzik kali ini digarap istimewa dengan elemen minimalis teater muzikal. Untuk video muzk ini saya tonjolkan peranan penari serta pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.

“Sebagai contoh, saya menterjemahkan mesej simbolik menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekap mulut yang membawa maksud, jasad terperangkap di zaman lampau namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang,” jelasnya tentang video muzik yang berlatar belakangkan tahun 1970-an.

Video muzik ini berlatar belakangkan era 70-an di sebuah stesen keretapi yang dinamakan Lipis Sentral. Lokasi sebenar penggambaran diadakan di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak keretapi lama.

Video muzik rasmi Takhta Dunia boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula 8 Januari 2021, pada pukul 9 malam.

Manakala, album ManifestaSITI2020 juga boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer sejak 3 Julai 2020.

Sementara itu, cakera padat album ManifestaSITI2020 boleh dilanggan dalam talian di snp.onpay.my.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here