Sukarelawan UiTM membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Pahang.

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Kira-kira 15,000 sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) digerakkan untuk membantu mangsa banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Sukarelawan bagi misi pasca banjir itu melibatkan warga dan alumni dari seluruh cawangan universiti tersebut.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Nora Noordin berkata, pihaknya bersiap siaga menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk di kawasan yang terjejas.

“Bantuan menerusi inisiatif UiTM Prihatin itu antaranya khidmat pembersihan pasca banjir di institusi dan rumah yang dilanda banjir.

“Kita merasakan bantuan seumpama itu kini amat penting dan memerlukan tenaga kerja yang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nora berkata, Naib Canselor, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Mohd Azraai Kassim memaklumkan inisiatif itu merupakan misi bantuan kemanusiaan yang perlu dilakukan bagi meringankan beban mangsa banjir.

“Bencana itu satu ujian untuk kita dan sekaligus menunjukkan semangat kebersamaan dan kasih sayang terhadap mereka yang terkesan termasuk warga UiTM.

“Jasa mereka yang sudi menjadi sukarelawan akan dikenang dan merupakan satu jihad kemanusiaan,” katanya.

Jelasnya, jawatankuasa bencana di setiap kampus cawangan UiTM akan beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Katanya lagi, pihaknya bersedia menerima sebarang maklumat dan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pegawai Kokurikulum Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah di talian 03-5544 3590 atau [email protected].

Dalam pada itu, katanya, UiTM turut melancarkan Tabung Bencana Banjir dan sumbangan boleh dibuat menerusi Akaun Amanah Bank Islam bernombor 12177010005741.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here