Mek Habshah dapat hadiah ‘nyawa’ sempena sambutan ulang tahun

0
486
Mek Habshah bersama suami dan anak kesayangan pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-65, pada 8 Januari, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BERSYUKUR kerana Allah memberinya kesempatan untuk meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-65 tahun semalam (8 Januari) bersama rakan-rakan dan saudara mara.

Bagi pelakon dan pelawak legenda Habshah Bakar atau popular dengan panggilan Mek Habshah, mengakui pada usia sebegini tiada apa yang diinginkan selain diberi kesihatan yang baik.

Biarpun beliau diuji dengan pelbagai penyakit iaitu darah tinggi, sendi-sendi dan paru-paru kronik hingga memerlukan alat bantuan pernafasan iaitu mesin oksigen, namun Mek Habshah tetap tabah melalui dugaan tersebut.

“Harapan pada usia warga emas ini, Mami nak menjadi orang yang reda, orang yang kaya dari segi kesihatan dan perasaan. Biarlah kalau duit tak ada pun.

Mek Habshah bersyukur kerana Allah hadirkan seorang suami yang baik, Rahamis Hamid.

“Sesungguhnya Mami amat bersyukur kerana mendapat hadiah yang paling bernilai, bukan satu tapi dua. Mami yakin berkat tahajud, boleh dapat dua-dua ini (mesin oksigen). Mami minta dan merayu dengan Allah, mana nak dapat ini. Allah buka pintu hati orang yang nak membantu.

“Mami menangis kerana bersyukur, pasal benda itu (mesin oksigen) dan bukan dapat barang emas tapi benda nyawa. Dua mesin yang Mami dapat itu umpama nyawa. Mami rasa luar biasa yang Allah bagi. Mesin yang dapat ini boleh bawa jalan dan untuk kegunaan di rumah,” kata Mek Habshah yang membahasakan diri dengan panggilan Mami bila berbicara.

Selain bersyukur kerana mendapat ‘nyawa’ iaitu mesin oksigen pemberian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) KitaFund.Com dan sumbangan ikhlas daripada seorang individu ternama, Mek Habshah juga berterima kasih kepada Allah kerana telah hadirkan seorang suami yang baik di sisinya.

Antara rakan yang hadir memeriahkan sambutan hari lahir Mek Habshah.

Beliau yang mendapat mesin oksigen menerusi kempen anjuran KitaFund yang bekerjasama dengan pembekal mesin oksigen iaitu House of Oxygen berkata, ada masanya beliau menangis seorang diri mengenang nasib diri.

“Kadang-kadang Mami nangis bila bayangkan Papa tak ada. Siapa nak tolong Mami. Allah bagi ujian sakit tapi Mami bersyukur sebab Allah bagi hadiah seorang suami yang sangat baik, jaga mami siang malam. Basuh dan gosok baju serta mandikan Mami.

“Allah uji Mami dengan penyakit tapi Dia hadiahkan suami yang baik. Ke hulu ke hilir, Papa tolak Mami. Kadang-kadang dia letih, marah juga. Namun bagi Mami, kebaikan dia melebihi daripada apa yang ada,” jelas Mek Habshah tentang Rahamis Hamid, 69, yang sudah 46 tahun bergelar suaminya.

Mek Habshah yang sudah lapan tahun bergantung hidup dengan mesin oksigen berkata, sebelum mendapat bantuan daripada KitaFund dan insan baik hati itu, beliau pernah menghadapi saat getir.

“Sejak menggunakan mesin oksigen ini, pengalaman paling mencabar bila mesin kat rumah rosak dan yang travel pun rosak. Nak baiki mesin ni bukan murah sebab sekali baiki perlu RM2,000. Waktu itu, Mami terpaksa minta sumbangan untuk perbaiki.

“Orang tak percaya bila kata tak ada duit. Orang tengok kita pakai lawa-lawa, orang tak tahu. Takkan kita nak cakap dengan orang yang kita tak ada duit. Orang salah anggap dan kata Mami banyak duit, pada hal nak beli suplemen pun ada kawan yang tolong bayarkan,” katanya sedih.

Walaupun Mek Habshah mempunyai pencen bulanan kerana bersara sebagai penjawat awam namun wang tersebut cukup untuk tampung kehidupan seharian saja.

Dua mesin oksigen yang diterima ibarat ‘nyawa’ kepada Mek Habshah.

“Pencen itu yang menyara kehidupan Mami sekarang tapi masih tak mencukupi. Bayangkan oksigen kena pakai 24 jam kalau di rumah. Bil api dan letrik sebab air con mana nak cukup. Duit pencen Papa pun biasa saja.

“Apapun Mami bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan yang berhati mulia dan Allah sentiasa memberi jalan untuk setiap permasalahan,” katanya.

Sementara itu, wakil KitaFund, Aisyah Shamshun memberitahu, Mek Habshah merupakan artis pertama yang dibantu oleh KitaFund.Com. bagi tujuan perubatan.

Jelasnya, NGO yang ditubuhkan sejak Mei 2019 merupakan satu platform atas talian untuk orang ramai kumpul dana bagi tujuan perubatan, misi kemanusiaan dan pendidikan.

“Mami ada kolaborasi dengan KitaFund dan House of Oxygen, baru-baru ini. Tujuannya untuk kumpul dana bagi mendapatkan mesin oksigen untuk Mami dan House of Oxygen, selaku pembekal mesin oksigen dah sediakan mesin terlebih dahulu.

Dari kiri, Aisyah wakil KitaFund dan Azrie Long (kanan) dari House Of Oxygen pembekal mesin oksigen kepada Mek Habshah.

“KitaFund sebagai NGO akan buat proses untuk kumpul dana bagi membeli mesin tersebut menerusi kempen. Sejak penubuhan KitaFund, kita telah menganjurkan 1,300 kempen pelbagai jenis untuk masyarakat Malaysia.

“Kita dulu mula dengan platform sekolah. Bantuan, waktu itu fokus untuk pengajian tinggi, pelajar di universiti saja. Lepas tu kita buka kategori untuk perubatan. Selalunya, kempen dibuat dalam tempoh 30 hari. Kalau dalam tempoh itu tak capai lagi sasaran, kita akan panjangkan lagi tempoh kempen.

“Kiranya, apa yang Mami dapat malam ini Ini adalah sumbangan orang ramai, yang harga RM7,000. Kempen belum mula tapi barang dah bagi dulu sebab kita ada kolaborasi dengan House of Oxygen. Lagipun pesakit kecemasan, jadi kita bagi dulu dan dana dibayar secara berperingkat,” jelas Aisyah.

Katanya, orang ramai tidak perlu risau dengan penubuhan NGO tersebut kerana KitaFund berdaftar di bawah SSM (Suruhjaya Syarikat Malaysia) sebagai sosial enterprise.

“Kita kumpul dana untuk orang ramai termasuk perubatan dan kemanusiaan. Kalau ada orang lain yang memerlukan mesin oksigen kita boleh bantu. Untuk masa sekarang, kita juga ada tabung bantuan banjir yang kita buat kerjasama dengan NGO lain di negeri yang dilanda banjir,” jelasnya tentang keprihatinan KitaFund yang sehingga kini telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM8.9 juta untuk 1,300 kempen sebelum ini.

Bagi yang ingin memohon bantuan atau menghulur sumbangan, boleh melayari www.kitafund.com kerana pihak mereka akan menghubungi semula untuk keterangan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif House Of Oxygen, Azrie Long yang turut hadir pada majlis penyerahan mesin oksigen di Restoran Mek Habshah Seafood Corner, Gombak turut menghulurkan sumbangan wang tunai RM2,000.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here