Kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus pada November 2020

    0
    143

    KUALA LUMPUR — Kadar pengangguran di Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur seramai 764,400 orang, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

    Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilaksanakan secara berperingkat pada bulan itu dengan aktiviti ekonomi terus beroperasi mengikut prosedur operasi standard ketat, telah menyaksikan penurunan kecil bilangan guna tenaga manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya.

    “Antara lainnya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Uzir berkata bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau 16,200 orang kepada 764,400 orang berbanding Oktober seramai 748,200 orang.

    Penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus iaitu sejumlah 637,700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang).

    “Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang),” katanya.

    Ketika menjelaskan situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja susut sebanyak 11,000 orang kepada 15.20 juta orang pada November (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

    Menurutnya, pada bulan tersebut, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19,600 orang) kepada 11.78 juta orang dan sebaliknya golongan bekerja sendiri berkurangan sebanyak 0.6 peratus kepada  2.41 juta orang.

    Beliau berkata, secara keseluruhannya, kedudukan penawaran tenaga buruh mencatat perubahan kecil berbanding bulan sebelumnya dengan tambahan sebanyak 5,200 orang kepada 15.96 juta orang pada November 2020 manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menurun sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus (Oktober 2020: 68.5 peratus).

    “Bilangan mereka di luar tenaga buruh meningkat 0.4 peratus (+27,100 orang) kepada 7.37 juta orang (Oktober 2020: 7.35 juta orang). Antara lainnya, peningkatan tersebut mungkin disebabkan oleh faktor keluarga yang memerlukan aktiviti mencari pekerjaan ditangguhkan untuk seketika,” katanya.

    Menurut Mohd Uzir, secara keseluruhannya dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, adalah dijangkakan permintaan buruh lebih perlahan pada Disember 2020.

    “Penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini,” katanya.

    — BERNAMA

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here