Gesaan ahli farmasi disuntik vaksin Covid-19 lebih awal

    0
    160

    Oleh Arrazaq Nazri

    SHAH ALAM — Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa kerajaan untuk memasukkan kira-kira 5,000 ahli farmasi sebagai salah satu golongan pertama yang menerima vaksin Covid-19.

    Presiden MPS , Amrahi Buang berkata, perkara tersebut perlu dipertimbangkan memandangkan petugas farmasi berhadapan dengan orang ramai dan pesakit setiap hari memberikan deskripsi ubat.

    “Petugas farmasi perlu dianggap sebagai petugas barisan hadapan negara, sebaris doktor dan jururawat di negara ini.

    “Orang ramai akan lebih yakin untuk bertemu dengan ahli farmasi sekiranya golongan ini disuntik vaksin tersebut lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    AMRAHI BUANG

    Amrahi berkata, MPS melahirkan rasa gembira apabila Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin yang dibeli daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer-BioNTech, beberapa hari lalu.

    Justeru beliau juga memohon pertimbangan kerajaan bagi membenarkan petugas farmasi memberikan suntikan vaksin kepada orang awam.

    “Mengikut data yang dikeluarkan oleh Persekutuan Farmaseutikal Antarabangsa (FIP) pada tahun lalu, sekurang-kurangnya 86 negara telah membabitkan petugas farmasi dalam sesi advokasi mengenai vaksin Covid-19 manakala 36 buah negara lagi melibatkan ahli farmasi dalam pengurusan vaksin tersebut.

    “Dengan populasi rakyat Malaysia kira-kira 32 juta orang dan tidak termasuk jumlah warga asing, Malaysia memerlukan penglibatan ramai individu yang berkecimpung di dalam sektor perubatan bagi menjayakan program vaksinasi seperti yang dirancang kerajaan,” katanya.

    Minggu lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa bahagian NPRA KKM telah memberi kelulusan bersyarat kepada vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech.

    Dengan kelulusan tersebut, Khairy berkata, vaksin tersebut boleh digunakan di negara ini sementara menunggu maklumat tambahan daripada Pfizer-BioNTech.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here