Akibat pemimpin rasuah, imej UMNO jatuh merudum

0
452

Oleh Datuk Rejal Arbee

AKHIR-AKHIR ini begitu banyak sekali terpampang di media terkemuka dunia mengenai rasuah yang berleluasa di sini, khususnya dalam kalangan beberapa pemimpin negara.

Tuduhan bersabit jumlah yang besar hingga berbilion ringgit amat sukar bagi rakyat menerima.

Apatah lagi kebanyakan kes tersebut mempunyai kaitan dengan UMNO.

Mungkin UMNO sendiri sebagai sebuah parti tidak bersalah, namun demikian ramai juga pemimpin yang terbabit terdiri daripada pemimpin parti itu.

Calarnya amat teruk sekali sehingga imej yang dibina sejak lebih 60 tahun lalu begitu mudah merudum.

Sepatutnya parti itu juga turut bertindak menghukum pemimpinnya yang terlibat dalam rasuah dengan melucutkan keahlian dan kedudukan mereka.

Namun demikian amat pelik kerana ada segelintir individu berkenaan yang masih lagi memimpin parti itu walaupun telah dihadapkan ke mahkamah. Hairan sungguh.

Ramai juga rakyat yang berharap akan ada beberapa orang lagi pemimpin dihadapkan ke muka pengadilan. Sekiranya tindakan diambil secara berkesan dan berterusan tentu ia akan dapat menghapuskan perkara terkutuk itu daripada terus berleluasa.

Diharapkan usaha demikian akan memberikan pengajaran kepada mereka yang masih sanggup bergelumang dengan rasuah.

Apakah mereka mahu terus membesarkan anak pinak mereka dengan wang haram?

Juga, ramai dalam kalangan rakyat berharap agar pemimpin-pemimpin yang sudah pun didakwa di mahkamah, termasuk yang hanya menunggu masa, akan dikenakan hukuman berat dan setimpal dengan apa yang mereka lakukan.

Sememangnya rakyat berdoa supaya tidak akan berlaku lagi perkara terkutuk seperti jenayah rasuah sebegini, justeru Malaysia dapat membersihkan imejnya daripada gelaran negara yang amat teruk bergelumang dengan rasuah di dunia, seperti mana dipaparkan oleh beberapa akhbar terkemuka antarabangsa.

Gelaran itu sungguh memalukan. Amatlah iharapkan dengan pelbagai tindakan yang telah dan yang akan diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka gelaran amat menjengkelkan ini akan terhapus.

Yang jelas kita sebagai rakyat negara tercinta ini mahu melihat Malaysia bersih daripada gejala rasuah di semua peringkat. InsyaAllah.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here