Bicara Buku: Rupa dan Gaya – Busana Melayu (bahagian kedua)

Karangan AZAH AZIZ, 2006 Penerbit UKM, Bangi

Oleh Dato Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob

BAGAIMANA pula memerikan perihal persalinan Raja Melayu zaman dahulu kala yang sesajak dan seranggi seperti di gambar ini?

Persalinan Raja Melayu zaman dahulu kala.

Azah Aziz memerikannya dengan seindah kata:

Mempelai dua sejoli yang sedang mabuk asmara tampaknya segak dan kacak, santun dan anggun lagi lawa, diperikan Azah Aziz seelok bicara:

Mempelai dua sejoli.

Tadi saya menyebut perkataan sajak, ranggi, segak, kacak, santun, anggun dan lawa. Makna setiapnya boleh didapati pada muka surat 187 buku Rupa & Gaya Busana Melayu. Tetapi secara ringkasnya, kesemua kata-kata sifat itu boleh digunakan ke atas dua orang negarawan iaitu Dato Onn Ja’afar dan isterinya Datin Halimah, yang tersangat besar jasa kepada kita.

Dato’ Onn Ja’afar (1895-1962) berbaju kurung Teluk Belanga dan berseluar Cina dengan kain Dagang Luar corak Muar, isterinya Datin Halimah berbaju kurung sedondon.

Tengkolok atau setangan menjadi pakaian kepada busana lelaki Melayu. Buku ini menghuraikannya dengan amat baik. Tengkolok diberi nama yang tersangat indah dan mengasyikkan mengikut rupa dan bentuk ikatannya. Umpamanya ialah:

Dendam Tak sudah, Helang Menyusur Angin, Bugis Tak Balik, Kuntum Tak Jadi.

Sebahagian yang lainnya ialah:

Singa Menoleh, Ayam Patah Kepak, Getam Perkasam, Belah Mumbang, Tebing Runtuh, Anak Gajah Menyusu, Daun Sehelai, Bunga Sekaki, Sri Bulan, Bulan Mengambang, Ikal Mayang.

Tengkolok yang soleknya diberi nama Dendam Tak Sudah adalah pakaian Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Dari kiri putar ke kanan: Tengkolok Dendam Tak Sudah (pengantin), Tengkolok Ayam Patah Kepak, Tengkolok Helang Patah Sayap (iring), Tengkolok Helang Patah Sayap (depan), Tengkolok Helang Menyusur Angin.

Tengkolok yang soleknya diberi nama Helang Menyusur Angin sangat dimengerti Azah Aziz betapa bagaimana nama sebegitu diberikan kepada tengkolok itu.

Sewaktu masih muda belia, Azah Aziz sering mengunjungi pantai berhampiran rumah keluarganya di Morib. Beliau terpegun melihat kehebatan helang berlegar di udara menyusur angin, dan kemudiannya menjunam turun ke paras laut menyambar ikan. Pergerakan helang melayang turun inilah yang telah mengilhamkan pandai tengkolok, menamakan tengkolok sebegiturupa sebagai ‘Helang Menyusur Angin’.

Azah Aziz sewaktu muda belia.

Tengkolok yang soleknya diberi nama Sri Lancang pula, di dendangkan kehebatan bentuk dan rupanya dalam bahasa puitis yang membawa cerminan alam samudera:

“Bagai perahu mengambang laut,
Layar terkembang angin turutan,
Riak menjadi benang emas,
Awan menjadi tabur telepuk,
Puncak melambai-lambai angin,
Lapis-berlapis bagai papan.”

Konsep perkasawan dalam budaya Melayu serta kehebatan busananya terbayang dalam gurindam berikut yang ditulis oleh ibu Azizah Jaafar dalam tahun 1961:

“Hulubalang Melayu berpakaian purba,
Baju pendek berbelah dada,
Seluar sampak separas lutut,
Tengkolok hitam sulur bayung,
Kain dipakai panjang tujuh,
Bengkung kuning kunyit sebuku,
Keris berlok tersisip di pinggang,
Gagah orangnya sehebat rupanya,
Sopan santun gaya Melayu,
Semut dipijak tidak mati,
Gajah diharung bergelimpangan,
Itulah sifat hulubalang sejati.”

Perkasawan Melayu dahulu kala mengenakan busana.

Sebagaimana yang telah disebut, wanita juga turut memakai alat senjata bagi mempertahankan diri. Cucuk sanggul atau pacak sanggul juga boleh digunakan untuk menikam. Di antara alat senjata yang digunakan oleh wanita ialah badik iaitu sejenis senjata pendek Melayu. Badik berbentuk sederhana dan lebih berupa sebilah pisau dan jenis yang digunakan oleh wanita biasanya lebih kecil, tidak lebih daripada sejengkal panjangnya. Badik ini biasanya diselit pada gelang di dalam lengan baju supaya tersembunyi ataupun diselit di pinggang.

Busana seorang perwara yang mengiring permaisuri Kelantan, sekitar tahun 1900, memakai kebaya labuh, ikat pinggang kain limar dan sebilah badik di pinggang. Tudung kepalanya ialah kain batik lepas Kelantan.

Ramai orang yang akan merasa gugup untuk berdepan dengan perwara sebegitu rupa. Sukar bagi saya untuk memahami lelaki yang ingin mencari gaduh dengannya.

Perwara pengiring Permaisuri Kelantan, sekitar tahun 1900.

Buku “Rupa & Gaya Busana Melayu” menyatakan bahawa, “Dalam estetika budaya melayu, rambut yang cantik ialah rambut yang panjang, lebat dan berkilat, dan hitam seperti arang, laksana “dakwat tumpah”.

Rambut yang berketak-ketak, berombak-ombak atau kerinting juga dianggap cantik. Maka lahirlah ungkapan, “mayang mengurai”, “ikal mayang” dan “mayang mekar” (Gambar 22).

Rambut Mayang Mengurai.

Ertinya rambut yang kerinting dan panjang itu ibarat mayang yang mekar, yang terhurai lebat atau menyembur segar seperti yang kelihatan di pohon palma (Gambar 23).

Berperi Azah Aziz mengenai rambut mayang mengurai:

Berderai terung rembang,
Dipungut dibahagi-bahagi,
Terhurai rambut dayang,
Bagai mayang menyembur pagi.

Rambut yang panjang mengurai elok juga kalau disanggul. Berbanding dengan sanggul-sanggul yang lain, yang sangat permai dan sukar ditandingi kecantikan dan kesantunannya ialah Sanggul Lintang (Gambar 24). Di sanggul lintang di atas kepala pengantin perempuan, misalnya, tersunting puluhan “bunga ketar” atau “bunga goyang” atau “gerak gempa”, yang seperti namanya, bergoyang-goyang membuat permatanya mengerdip laksana seribu bintang.

Menurut Ibu Azizah Jaafar, setiap sanggul lintang itu ada namanya, umpamanya ialah: “Ayam Mengeram”, dan “Lebah Bergantung”.

Nama-nama bahagian sanggul ini membuat saya menggigil dan merasa seram sejuk. Apa tidaknya, ayam mengeram dan lebah bergantung kalau diusik pasti padah akibatnya.

Tetapi apa pun, sanggul yang indah diminati orang. Perhatikan serangkap pantun yang terdapat dalam buku ini yang menarik perhatian kepada kecantikan rambut panjang yang disanggul:-

“Sakit kaki ditikam tunggul,
         Tunggul kecil di tengah huma;
Sakit hati memandang tunggul,
          Sanggul kecil berisi bunga.”

Mayang mekar, terhurai lebat menyembur segar di pohon palma.

Saya amat maklum bahawa perkataan sakit hati disini membawa makna “dendam” atau “cemburu” atau “rindu”.

Saujana kita telah mengembarakata, akhirnya sampailah kita kepada kemuncak indah kata. Perhatikan pada serangkap pantun yang ditulis pengarang buku Azah Aziz yang berikut:

“Melepuh kakiku terkena tunggul,
         Tunggul besar di tengah padang;
Gelusuh hatiku melihat sanggul,
        Sanggul besar berbunga goyang.”

Sanggul Besar berbunga goyang.

Pada kebiasaannya, orang mencipta pantun yang mempunyai rima di hujung rangkapnya sahaja. Contohnya ‘tunggul’ dengan ‘sanggul’, dan ‘padang’ dengan ‘goyang’. Pantun sebegini adalah pantun yang cemerlang penciptaannya.

Ada pula yang mencipta pantun yang mempunyai rima tambahan dipermulaan rangkap. contohnya ‘melepuh’ dengan ‘gelusuh’, dan ‘tunggul’ dengan ‘sanggul’. Pantun sebegini adalah pantun yang gemilang penciptaannya.

Azah Aziz menggubah pantun dengan menambahkan lagi rimanya di tengah rangkap. contohnya ‘kakiku’ dengan ‘hatiku’, dan ‘besar’ dengan ‘besar’. Maka jadilah pantun gubahannya itu berima pada pangkal, pada pertengahan dan pada penghujung rangkap-rangkapnya.

Pantun sebegini adalah yang terbilang darjatnya. Kita semua sepatutnya mencipta pantun sebegini sifatnya.

Baju lengan sekerat, berleher bulat. Dua helai kain punca potong: satu di pinggang, satu dijadikan bengkung tempat menyelit sebilah keris.

Lihatlah pula kepada gambar di atas. Ini ialah seorang perkasawan Kelantan sekitar tahun 1887. beliau memakai baju lengan sekerat, berleher bulat, butangnya tiga, dua helai kain punca potong:- satu dipinggang, satu lagi dijadikan bengkung, tempat menyelit sebilah keris. Kain yang ketiga iaitu kain lepas pelangi dibelit  pada dada. Kepalanya diikat setangan isih. Azah Aziz menyatakan, kain lepas pelangi ini boleh digunakan untuk menepis serangan keris dan menggelutnya, dan dengan demikian melindungi pemakainya dari bahaya.

Menyerang musuh secara batin melalui tebaran kain lepas ke arah musuh.

Gambar yang ini pula (atas) menunjukan seorang perkasawan menebarkan kain lepas pelanginya bagi menepis serangan. Tetapi ada satu lagi kegunaan kain lepas ini, iaitu  untk menyerang musuh secara batin. Apabila hendak menyerang musuh, beliau tebarkan kain lepasnya kearah musuh, selepas dibacanya jampi serapah yang sebahagian kecilnya berbunyi:-

“Aku nak ajar si kurang ajar,
         Aku nak lepas si kain lepas;
Sebelum pagi menyingsing fajar,
         Hilang nantera hilang nafas.”

Musuh yang diserang itu kalau sudah sampai ajalnya maka meninggallah dia. Kalau belum sampai ajalnya, tebarlah kain lepas pelangi itu sehingga tercabut bahu lengannya, si hidup musuhnya itu tidak akan terkena sebarang musibah.

Muka surat 259 buku Rupa & Gaya Busana Melayu menyatakan bahawa “Kali terakhir busana perkasawan punca potong Kelantan dipakai di hadapan khalayak ramai ialah pada tahun 1979 dalam Pementasan Busaneka di Universiti Malaya, di bawah tunjuk ajar Nik Abdul Rahman bin Nik Dir, bomoh DiRaja Kelantan.”

Nik Abdul Rahman bin Nik Dir, Bomoh DiRaja Kelantan.

Sekiranya nanti buku Rupa & Gaya Busana Melayu Azah Aziz (Puan Azah Aziz telah kembali ke Rahmatullah pada 9 Julai 2012) ini disunting semula untuk penerbitan edisi kedua, bolehlah mengubah ayat itu, dan mewartakan bahawa kali terakhir busana ini dipakai di hadapan khalayak ramai ialah pada 8 Februari 2007 (28 tahun kemudiannya), juga di Universiti Malaya oleh seorang Naib-Canselornya, Dato Profesor Emeritus Dr Hashim bin Yaacob.

Hashim Yaacob memakai baju lengan sekerat berleher bulat dan dua helai kain punca potong, satu di pinggang, satu dijadikan bengkung; Puan Azah Aziz; Datuk Zawiyah Baba dan Profesor Madya Mohd Najib Mohd Nor.

Demikianlah yang mampu saya bicarakan. Sesungguhnya buku ini adalah satu khazanah warisan yang tak ternilai harga dan mutunya. Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada Puan Azah Aziz kerana menghadiahkan kita “Rupa dan Gaya Busana Melayu”, yang merupakan sebutir permata yang gilang gemilang. Saya ucapkan setinggi tahniah untuk beliau.

Puan Azah Aziz menutup tirai bukunya dengan kata “Jikalau  kita memiliki sesuatu yang indah, halus, cemerlang, gilang gemilang dan murni dalam hidup ini, di manakah akan kita simpan segala khazanah tersayang itu supaya khazanah itu boleh selamat? Inilah serangkap pantun nasihat orang tua-tua zaman dahulu untuk kita hayati bersama:-

“Burung merpati kepak bersilang,
          Turun ke bendang makan padi;
Simpan di peti takutkan hilang,
           Baik disimpan di dalam hati.”

Sudah menjadi adat orang Melayu, setiap pantun yang dijual patut dibalas. Saya mohon untuk membalasnya:-

“Simpan di peti takutkan hilang,
          Baik disimpan di dalam hati;
Simpan di hati perlakuan terbilang,
          Baik peragakan barang sekali.”
Simpan di hati perlakuan terbilang,

           Baik peragakan barang sekali.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here