PKP: FINAS akan bantu wargaseni – Zakaria Abdul Hamid

“Saya amat memahami masalah yang dihadapi wargaseni kerana apabila penggambaran dihentikan mereka hilang punca pendapatan."

0
193
ZAKARIA ABD HAMID.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

FINAS akan berusaha membantu industri seni tempatan dalam menangani masalah mereka apabila kerajaan melaksanakan PKP bermula 12.01 tengahmalam tadi (13 Januari) sehingga 26 Januari ini untuk menyekat penularan pandemik Covid-19 yang mencatatkan empat angka setiap hari dengan 3,309 kes semalam (Selasa).

Dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah semua aktiviti penggambaran di kawasan berkenaan tidak dibenarkan.

Pengerusi FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Zakaria Abdul Hamid ketika dihubungi dan meminta pandangan beliau mengenai keresahan wargaseni apabila PKP dilaksanakan berkata;

“Saya amat memahami masalah yang dihadapi wargaseni kerana apabila penggambaran dihentikan mereka hilang punca pendapatan. Bagaimanapun kita harus mematuhi arahan kerajaan kerana kes semakin meningkat setiap hari.”

Menurut beliau, walaupun keputusan kerajaan itu mengejutkan tetapi FINAS tidak membantah namun pada waktu yang sama cuba memikirkan bagaimana cara untuk membantu wargaseni menyelesaikan tugas mereka yang terikat dengan tarikh tayangan di stesen TV.

Dalam usaha itu, satu mesyuarat melalui ‘virtual’ antara beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan beberapa Pegawai Dasar telah diadakan pagi tadi.

Melalui mesyuarat lebih sejam itu, FINAS bercadang mengadakan rundingan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memohon pertimbangan agar wargaseni dapat meneruskan tugasan mereka.

Adalah difahamkan beberapa Pegawai Dasar yang hadir pada mesyuarat melalui ‘virtual’ pagi tadi telah ditugaskan menghubungi pihak KKM dan MKN bagi mendapatkan tarikh dan waktu untuk berbincang mengenai masalah industri seni.

“Kami amat prihatin dengan wargaseni dan bangga kerana apabila PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilaksanakan pada 1 Mei sehingga 9 Jun tahun lalu yang mana mereka dapat meneruskan kerja mereka tiada rekod ‘kluster penggambaran’ dicatatkan.

“Ini semua berjaya dilaksanakan kerana wargaseni menjalankan tugasan mereka dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Adalah menjadi harapan kami melalui rundingan itu nanti KKM dan MKN dapat menimbangkan rayuan kami kerana kebanyakan penggambaran dijalankan di Wilayah Persekutuan dan Selangor dan mereka tiada cara lain untuk meneruskan kerja mereka kerana ia melibatkan kesinambungan dalam setiap babak dalam drama mereka,” kata Zakaria Abdul Hamid.

Beliau berjanji jika pihak KKM dan MKN menerima rayuan FINAS, mereka akan memantau gerak kerja wargaseni di setiap lokasi agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Mengimbas kembali apabila PKPB dilaksanakan pada 1 Mei sehingga 9 Jun tahun lalu, Zakaria Abdul Hamid memberitahu;

“Hari pertama PKPB dikuatkuasakan saya bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ke lokasi penggambaran sebuah drama di Setapak yang dilakonkan oleh Ziana Zain dan Dian P. Ramlee.

“Datuk Saifuddin amat berpuashati diatas kerjasama artis, kru produksi dan kru teknikal yang begitu mematuhi SOP demi kelangsungan industri seni tempatan.”

Bukan itu sahaja, malah selepas itu, Zakaria Abdul Hamid turut ke tiga lokasi penggambaran drama iaitu di Shah Alam (arahan Prof. Datuk Razak Mohaideen), drama terbitan Kenyalang di Janda Baik dan di Rawang terbitan Global Station Sdn. Bhd.

“Kesemua lokasi yang saya pergi secara spontan tanpa pengetahuan mereka dan apa yang membanggakan saya mereka semua mematuhi SOP. Malah ada syarikat penerbitan menjalankan ujian swap di lokasi.

“Berdasarkan kerjasama semua wargaseni ini, saya yakin jika mereka dibenarkan ke lokasi semula mereka akan mematuhi SOP,” kata Zakaria Abdul Hamid.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here