Jenazah Muhammad Adib diterbangkan ke kampung kelahirannya

0
286
Gambar atas:Anggota bomba mengusung jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Pengkalan Udara Bomba dan Penyelamat Subang/ Foto NSTP

 

SUBANG: Jenazah anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, diterbangkan ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, dengan helikopter MI17-IV, milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekitar jam 8.50 pagi semalam.

Sebelum itu jenazah Allahyarham Muhammad Adib, tiba di Pangkalan Udara, JBPM, pada jam 7.55 pagi selepas disembahyangkan di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah yang diiringi ahli keluarganya dan pegawai kanan JBPM diterbangkan pulang ke kampung halaman sebelum mendarat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau, Kedah, pada jam 10.40 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah, turut hadir ke Pangkalan Udara JBPM bagi memberikan penghormatan terakhir buat hero negara itu.

Jalur Gemilang turut dipasangkan pada keranda Muhammad Adib sebagai penghormatan negara kepada anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS), Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Muhammad Adib, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam di IJN, akibat mengalami kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Dia kemudian dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya, sebelum dipindahkan ke IJN, tiga hari kemudian akibat kecederaan pada bahagian dalaman tubuh.

 

-Berita ini dipetik dari NSTP
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here