‘Jaga tepi kain’ elak rasuah dalam sektor awam

    0
    150
    fotoBERNAMA

    PUTRAJAYA — Penjawat awam perlu mengambil sikap ‘jaga tepi kain’ bagi memastikan gejala rasuah dalam perkhidmatan awam dapat ditangani dan tidak merebak menjadi barah.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, perbuatan rasuah bukan lagi isu terpencil sebaliknya negara melihat banyak pendedahan mengenai pelanggaran integriti yang membabitkan kakitangan dengan yang terkini membabitkan kartel daging, akhir tahun lalu.

    Dengan menyifatkan ia seumpama selumbar dalam daging yang akan bernanah dan membusuk, Mohd Khairul Adib berkata, setiap perlakuan rasuah yang dilakukan oleh segelintir kecil penjawat awam akan akhirnya terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.

    Beliau berkata, sepanjang 2020, di sebalik kelancaran jentera perkhidmatan awam berdepan pandemik Covid-19 dan perubahan tampuk pentadbiran, sektor itu juga menyaksikan beberapa penjawat awam yang disiasat kerana kesalahan rasuah dan salah laku termasuk dalam isu kad pengenalan, kelonggaran untuk kemasukan warga asing ke negara ini serta gangguan bekalan air.

    “Jika dulu kita melihat ia hanya terpencil kerana membabitkan sebilangan kecil penjawat awam tetapi kini kita tidak boleh duduk diam kerana apa jua tindakan akan akhirnya ia sampai di hadapan kita.

    “Kita melihat isu yang saya katakan tadi lambat laun akan menjadi masalah kita, jadi kita tidak boleh duduk diam.

    “Inilah kumpulan minoriti yang seharus diketepikan. Kita adalah kumpulan majoriti dan ramai lagi penjawat awam yang berpegang teguh kepada prinsip penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian, hari ini.

    Amanat itu disiarkan secara langsung melalui Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.

    Mohd Khairul Adib berkata, selain kes yang didedahkan melalui media massa, ada juga ketirisan yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan dilihat sebagai biasa, menyebabkan orang ramai mudah mengaitkan rasuah dengan jabatan tertentu.

    Katanya, penjawat awam tidak seharusnya membiarkan kumpulan minoriti itu mencalar arang di muka kakitangan lain, sebaliknya mereka perlu berperanan perkhidmatan yang diberikan bersih dan berintegriti.

    Pada masa sama, Mohd Khairul Adib berkata, penjawat awam juga tidak seharusnya menunggu habuan dan hadiah bagi mendedahkan perbuatan salah laku rakan sekerja atau kakitangan lain yang diketahuinya atau takut untuk membuat laporan.

    Katanya, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana yang perlu dipertahankan itu adalah rumah mereka sendiri.

    “Sekiranya kita sendiri tidak mempunyai semangat untuk membersihkan rumah kita, siapa lagi yang harus membersihkannya.

    “Lambat laun, jika kita tidak bertindak sekarang, ia akan menjadi lebih sukar untuk ditangani,” katanya.

    Baca lagi: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/663467/jaga-tepi-kain-elak-rasuah-dalam-sektor-awam

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here