Yayasan Winner aktif menghulur bantuan

0
160
Liow Soon Hee (tengah) dan Muhamad Safar Ahmad (kanan) pada program CSR antara Yayasan Winner Emperor Sedunia dengan Harian Metro, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TIDAK pernah jemu untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan. Malah, sejak negara dilanda pandemik Covid-19, Yayasan Winner Emperor Sedunia, adalah di antara penyumbang terbanyak pelitup muka.

Menurut, pengasas yayasan tersebut, Datuk Seri Liow Soon Hee, 33, sehingga kini pihaknya sudah menyumbang 17 juta pelitup muka sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, selepas menjalin kerjasama dengan pihak penerbitan akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily dan China Press, kini tanggungjawab sosial korporat (CSR) diteruskan pula dengan akhbar Harian Metro.

“Sebagai penyumbang, pihak Yayasan tidak pernah menentukan kepada siapa bantuan itu perlu disalurkan. Tanggunjawab kami memberi sumbangan dan terpulang kepada pihak Harian Metro untuk salurkan pelitup muka dan beras itu kepada mana-mana pihak.

“Bagi saya kerjasama sebegini tidak boleh berhenti di sini kerana rata-rata kita boleh melihat ramai yang memerlukan bantuan Sewaktu saya melalui jalan di Pudu, saya melihat ramai gelandangan dan pemandangan begitu amat menyedihkan kerana Malaysia bukan begitu keadaannya,” kata Soon Hee yang menyumbang satu juta pelitup muka dalam program CSR dengan Harian Metro itu.

Kerjasama kedua-dua pihak dapat membantu banyak pihak yang memerlukan bantuan.

Majlis penyerahan itu diadakan di ibu pejabat Yayasan Winner Emperor Sedunia di Puchong, pada 12 Januari, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita (Projek dan Keluaran Khas) Harian Metro, Noor Azam Aziz.

Menurut Muhamad Safar, pihak Harian Metro telah menerima sumbangan pelitup muka sebanyak satu juta dan beras daripada Yayasan Winner untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Jelasnya, pihak pengurusan akhbar akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengagihkan sumbangan tersebut.

Kali ini Yayasan Winner turut memberi beras juga di samping pelitup muka.

“Kita sudah mengenal pasti 30 rumah kebajikan di seluruh Malaysia dan kita akan agihkan secara berperingkat. Memandangkan masa ini kita dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), pergerakan agak terhad dan kita akan buat ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) dan bekerjasama dengan JKM untuk mengenal pasti siapa sasaran kita.

“Selepas pihak JKM memberi nama rumah kebajikan yang memerlukan bantuan, kita akan salurkan secara berperingkat. Kita ada kumpulan logistik yang akan buat agihan. Pihak kami adalah perantara kerana sebelum ini pun kami banyak terlibat dengan CSR lain,” jelas Muhamad Safar.

Tambahnya, mana-mana badan korporat yang mahu melakukan CSR dengan Harian Metro dialu-alukan kerana kerjasama tersebut dapat membantu meringankan bebanan golongan yang memerlukan bantuan.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here