Cerita Ayah Mengenai Ungku Aziz

0
333

Oleh Ili Hana Hashim, Adi Sukma Hashim, Indera Sukma Hashim

AYAH pernah berkata bahawa ada lima orang yang dikenali umum dalam negara ini. Mereka ialah P. Ramlee, Tunku Abdul Rahman, Ungku A. Aziz dan …

Katanya, orang menghormati Ungku Aziz kerana ilmu dan integriti yang tiada tolok tandingnya dalam diri beliau. Tersangat benarlah kenyataan ini.

Kami pernah hairan kenapa personaliti sebesar Ungku Aziz tidak memakai gelaran Negara seperti “Tan Sri” atau “Tun”. Kami bertanya ayah mengapa demikian? Anaknya Zeti tidak memakai gelaran “Ungku”? Ayah menjawab: “Dia tidak mahu menerimanya walaupun beberapa kali ditawarkan kepadanya.” Lalu kami bertanya mengapa, tetapi ayah tidak mahu menjawab soalan itu walaupun dia maklum tentangnya lama dulu. Katanya, Puan Azah Aziz yang memberitahu ayah cerita mengapa begitu.

Kata ayah lagi, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik seperti Ungku Aziz, kalaupun tidak sebesarnya. Beliau mengikuti sejarah perkembangan Ungku Aziz dari masa ke semasa untuk mengetahui dan mengerti asas-asas yang diperjuangkan oleh orang gemilang seperti itu.

Pertama kali ayah bertemu dengan Ungku Aziz secara rasmi ialah pada bulan March 1987, pada perjumpaan temu duga bagi permohonan ayah ke jawatan Profesor di Fakulti Pergigian. Ungku Aziz bertanyakan ayah, sekiranya beliau dinaikkan pangkat menjadi Profesor, apakah yang akan dilakukan ayah untuk memajukan fakulti dan juga universiti? Ayah menjawab bahawa dia akan lakukan perkara-perkara yang belum dilakukan, seperti membawa Fakulti Pergigian ke arah keterbilangan yang diiktiraf oleh dunia sejagat.

Ayah diangkat menjadi Profesor pada tahun itu pada usianya 37 tahun. Empat bulan kemudiannya Ungku Aziz menjemput ayah ke pejabatnya dan menyatakan bahawa beliau ingin melantik ayah sebagai dekan Fakulti Pergigian. Ayah seperti biasa pura-pura terkejut dengan berita itu dan berkata bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman untuk jawatan yang tinggi itu. Ungku Aziz bersahaja menjawab “You can do it!” Ayah akur dan menerima jawatan itu, apatah lagi tawarannya dibuat oleh Ungku Aziz yang sudah cukup ternama dan tersohor pada waktu itu.

Setelah ayah menjadi Profesor di Universiti Malaya, beliau dengan segera pada tahun yang sama menjalankan Syarahan Perdananya yang bertajuk “AIDS,Doktor Pergigian dan Pesakitnya”. Ungku Aziz mempengerusikan syarahan itu.  Pada Syarahan Perdananya itu arwah bapanya Yaacob Taib dan arwah ibunya Aminah Jusoh serta isterinya Sri Nurestri Malek hadir menyaksi. Setelah tamat syarahan , ayah memberitahu Ungku Aziz bahawa beliau ingin membawa ibu bapanya  bertemu dengannya. Ayah pada mulanya tidak mahu bertemu kerana segan dengan orang sebesar Ungku Aziz, tetapi ibu sangat ingin berbuat demikian.. Kami boleh bayangkan betapa gugupnya arwah bapa kepada ayah, apabila berhadapan dengan Ungku Aziz. Maklumlah mereka adalah penoreh getah yang buta huruf.

Pulang daripada majlis itu arwah ibu kepada ayah bertanya “Tidakkah kau mahu anakndaku  Hashim, menjadi seperti Ungku Aziz?” Arwah ibu menceritakan tentang pokok tinggi di atas bukit di belakang rumah keluarganya. Katanya dia mahu melihat ayah menjadi orang yang tinggi dan dihormati seperti pohon itu di kemudian hari. Pada tahun 2003, ayah telah diangkat menjadi Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terkenang kata-kata arwah ibunya itu dan menulis sebuah puisi bertajuk “Pokok Tinggi Emak”:

Emak,
pada usiaku sembilan,
aku berdiri di sampingmu,
di hadapan pokok ubi kayu.

Di kerusi rotan,
kau kelihatan cantik sekali.

“Anakku, lihatlah pada bukit itu.
Nampakkah kau pada sebatang pokok
yang tingginya mengawan?”

“Jadilah kau anakku, pokok itu.”

Pada usiaku lima puluh empat,
aku berdiri di sisimu,
di kamar Naib Canselor Universiti Malaya.

Di kerusi itu,
kau tampak bahagia sekali.

“Emak,
aku telah menjadi pokok tinggimu itu.
Di sini, angin bertiup kencang dan kejam.
Sesekali aku goyah dalam ancaman.
Tapi emak,
akar yang kau berikan padaku dulu
bikin aku berdiri teguh”.

Ayah sering memberitahu kami bahawa hidup kita mestilah prihatin terhadap sesama makhluk. Kita wajib bersyukur dengan keselesaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Ramai orang yang nasibnya tidak sebaik keluarga kami. Maka oleh itu ayah sentiasa mengingatkan kami supaya membantu orang-orang yang dalam kesusahan sebaik yang boleh. Di dalam memberi bantuan itu, ayah sering mengingatkan kami supaya jangan sekali-kali mengharapkan balasan. Balasan tetap ada di atas kebaikan yang dilakukan, kalau tidak dibalas oleh  manusia, pasti kelak oleh Allah SWT. Tetapi ayah juga pernah memberitahu kami bahawa kadangkala niat yang baik boleh membawa seseorang kepada musibah. Kata ayah, Ungku Aziz pernah memberitahunya tentang kata-kata “The way to hell is paved with good intentions” atau “Niat yang baik boleh membawa seseorang ke neraka”. Atas kata-kata Ungku Aziz itu, ayah menggarap sebuah puisi bertajuk “Ungku Aziz, Pendita”:

Pada satu waktu, kepadaku
datang seorang minta dibantu.
Kutahu dari dulu
tidak mungkin dia dapat dibantu.

Namun, aku ingin membantunya.
Lalu aku bertanya
pada Pendita
memohon pendapatnya.

Pendita memandang tepat padaku:
“Waspada, jalan ke neraka
seringnya terhias niat baik”

Aku pun pulang.
Tidak akan kusulam neraka
kedalam syurga.

Aku berwaspada
pada yang meminta.

Ayah pernah menceritakan bahawa bapanya sering menasihatkan beliau supaya berhati-hati di dalam menolong orang walaupun dengan niat yang baik, kerana adakalanya niat itu akan mendatangkan musibah kepada diri. Nasihat ini ada persamaannya dengan kata-kata Ungku Aziz iaitu “the way to hell is paved with good intentions”. Berikut ialah surat yang diutus oleh bapanya kepada beliau pada tahun 1972:

Ayah pernah menceritakan kami bagaimana pada suatu hari beliau bergurau dengan ibunya Aminah bertanyakan beliau soalan mengenai siapakah yang lebih hebat antara Ungku Aziz dan Hashim Yaacob. Ibunya hanya berkata bahawa Ungku Aziz adalah keturunan Raja dan Hashim Yaacob berketurunan buruh. Mereka sama-sama tersenyum dan ketawa.

Ayah pernah berceritakan kepada kami bahawa sewaktu beliau belajar di University of Otago, beliau sering mengirim wang kepada ibu bapanya untuk membantu mereka sedikit sebanyak. Ayah menyimpan rapi semua surat-surat yang pernah diutuskan oleh bapanya sewaktu beliau belajar di New Zealand. Salah satu daripada surat-surat yang pernah dikirimkan oleh bapanya kepada ayahpada tahun-tahun 1970 hingga 1974 adalah seperti dipamerkan. Ayah menyatakan bahawa oleh kerana bapanya tak pernah bersekolah, maka ejaan pada tulisannya amatlah mengelirukan. Lagi pun tulisannya itu adalah dalam Bahasa loghat Kelantan. Hanya ayah saja barangkali yang dapat memahaminya.

Namun , kerana kasih seorang bapa kepada anaknya, maka digagahkannya juga untuk menulis kepada anak yang disayanginya.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here