TANDA tanya berhubung diteruskan atau tidak pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC pada Mac ini serta status Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara Asia (ACL) 2021, bakal terlerai esok.

Satu mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara atas talian dari Rumah AFC, Bukit Jalil, bakal memutuskannya, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John.

“Ya, kami akan adakan mesyuarat jawatankuasa ini secara atas talian, Jumaat ini. Status ketiga-tiga pertandingan itu berada dalam agendanya,” katanya kepada BebasNews.

Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia khususnya yang melibatkan saingan Malaysia dalam Kumpulan G, menimbulkan persoalan terbaharu setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat diisytiharkan kerajaan ekoran kadar penularan Covid-19 yang meningkat.

Sang Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe, dijadualkan bertandang ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 Mac ini dan menanti Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, lima hari kemudian. Aksi terakhir mereka ialah di Thailand pada 15 Jun.

Malaysia turut layak menyertai Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan yang ditunda ke Mac ini dari Oktober lalu namun status pertandingannya turut tergantung gara-gara pembatalan Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Indonesia bagi mencari empat wakil terbaik benua itu, oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

HARIMAU Malaya kian ketinggalan dengan UAE dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia setelah kem latihan pusat mulai Sabtu ini, dibatalkan FAM. – Foto FAM.

Status JDT dalam ACL 2021 juga dikatakan masih samar selepas penarikan diri Sang Harimau Selatan daripada peringkat Kumpulan G ACL 2020 di Doha ekoran larangan keluar negara oleh kerajaan bagi membendung Covid-19, November lalu.

Sekalipun perlu mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pengunduran JDT dikatakan masih kurang disenangi AFC yang mungkin mengenakan tindakan tatatertib tertentu seperti denda atau penggantungan.

JDT layak ke ACL 2021 sebagai juara Liga Super 2020 yang hanya dijalankan separuh pusingan sahaja setelah tertunda dek Covid-19 dari 16 Mac hingga 28 Ogos lalu.

Skuad Benjamin Mora ini hanya sempat mengharungi dua perlawanan ACL 2020 dengan dibelasah Vissel Kobe 5-1 di Kobe, Jepun dan menewaskan Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Namun segala keputusan itu dibatalkan dan dianggap kosong serta tidak sah oleh AFC selepas JDT mengumumkan penarikan diri menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaras Perkara 6.1 dan 6.2.1 Peraturan Pertandingan ACL 2020.

Sebuah kelab dari UAE, Al Wahda yang gagal menghadiri perlawanan Zon Barat ACL 2020 beberapa bulan lalu, didapati terlepas daripada hukuman AFC atau dianggap ‘force majuere’ pada Perkara 6.4 dan 71 Peraturan Pertandingan namun hanya semua keputusan terdahulunya yang dibatalkan.
Force majuere dalam istilah undang-undang bermaksud keadaan luar dugaan yang menghalang sesuatu pihak daripada mematuhi satu perjanjian.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here