FOTO: Wikimedia Commons/Tasnim News Agency / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/4.0)
  1. ORANG Islam harus  akui yang mereka merupakan golongan yang paling tertekan di dunia hari ini. Di merata-rata kita lihat mereka kehilangan negara, dihalau daripada negara sendiri, ditolak oleh negara suaka, lemas di lautan semasa cuba melarikan diri dan secara umumnya dilayan dengan amat buruk sebagai kaum minoriti di mana-mana negara.

 

  1. Mereka dibunuh beramai-ramai, diseksa, di bom dan dibedil dengan roket. Mereka dihina, dilabel sebagai pengganas dan ditahan tanpa bicara dan dibiar merengkok dalam penjara bertahun-tahun.

 

  1. Kenapa semua ini berlaku kepada orang Islam dan agama Islam. Umumnya kerana orang Islam lemah, tidak berdaya untuk mempertahankan diri mereka. Allah SWT telah memberikan mereka kekayaan yang luar biasa tetapi mereka tidak menggunakan kekayaan ini untuk mempertahankan diri mereka sebagaimana yang diperintah Allah di dalam Al-Quran. Sebaliknya mereka bermusuh sesama mereka, membunuh dan berperang sehingga hancur negara mereka.

 

  1. Mereka berdoa kepada Allah meminta pertolongan, tetapi lupa akan perintah Allah supaya mereka berusaha untuk menolong diri mereka sendiri sebelum Allah makbulkan doa mereka. Allah mahu umat Islam berusaha untuk melepaskan diri mereka daripada musibah. Tetapi mereka ingkar dengan perintah ini malah tidak pun menyebut akan usaha yang perlu dibuat oleh mereka dalam doa mereka. Apa yang mereka buat hanyalah apabila berdoa, meminta berbagai pertolongan daripada Allah.

 

  1. Kita boleh mula dengan memperbaiki pentadbiran negara kita. Islam bukan sekadar agama. Ianya juga adalah cara hidup. Dan cara hidup umat Islam dijelas dalam Al-Quran, di dalam perintah Allah menerusi Nabi Muhammad SAW untuk sekalian manusia. Dan pentadbiran yang baik sudah tentu menjadi satu cara hidup umat Islam. Pentadbiran yang buruk, penekanan,ketidakadilan, penyeksaan dan pembunuhan tidak boleh dijadikan cara hidup orang Islam.

 

  1. Tetapi tidak banyak negara Islam yang ditadbir dengan baik. Ketua negara seringkali membolot kekayaan negara untuk diri sendiri. Wang tidak dibelanjakan untuk kebaikan rakyat mahupun agama Islam. Negara-negara Islam selalunya mempunyai  ramai  penduduk  miskin.    Keperluan  mereka tidak diendahkan. Kelemahan integriti menyebabkan kekurangan infrastruktur untuk rakyat seperti bekalan elektrik dan air. Jalan raya berlubang dan tidak diturap dengan sempurna. Tetapi sebaliknya, sebilangan besar kapal layar mewah dan pesawat persendirian dipunyai oleh pemimpin dan orang Islam yang kaya.

 

  1. Ajaran Islam yang dipegang dan dipraktikkan hanyalah amalan Fardhu Ain untuk pahala di akhirat. Umat Islam rata-rata tegas melakukan amalan ini, termasuk apabila melakukan perkara yang diharamkan Islam, iaitu peperangan sesama Islam umpamanya.

 

  1. Saya yakin jika kita ikut cara hidup Islam sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran kita akan menjadi kuat dan berjaya di dunia dan di akhirat. Kerana kita mengikut secara buta-tuli guru-guru agama dan pemimpin, walaupun apabila mereka tidak patuh kepada ajaran Islam yang terdapat di dalam Al- Quran, hari ini kita tidak berjaya mendirikan Kerajaan yang baik, gagal membina umat yang mampu mempertahankan Islam dan umat Islam. Haruslah menjadi misi kita untuk berusaha membina semula negara-negara Islam yang kuat kerana menegakkan ajaran Islam sebagaimana yang terdapat di dalam Al- Quran.

 

  1. Untuk ini kita harus mendirikan Kerajaan yang baik dengan mengambil contoh Madinah. Ia tidak bermakna yang kita harus tiru kesemua sekali yang dilakukan pada zaman itu. Tetapi ia bererti mengikut prinsip yang telah ditetapkan Rasulullah – di mana rakyat bersatu dan dilayan dengan baik, dapat mempertahankan diri mereka dan mengembang syiar agama seperti yang diwajibkan oleh Al-Quran. Menerusi prinsip begini tamadun Islam yang gemilang akan terbina semula dan bertahan berkurun lamanya.

 

  1. Sejarah mengingatkan kita bahawa kegemilangan tamadun Islam bertahan hingga abad ke-15 Masihi atau abad 11-12 Hijrah.

 

  1. Kemerosotan disebabkan ajaran tertentu yang menyatakan bahawa tidak ada pahala untuk akhirat daripada mempelajari ilmu selain daripada agama Islam. Ini menyebabkan mereka ketepikan pelajaran sains, matematik dan lain-lain. Kehilangan ilmu ini memberi kesan terhadap kebolehan mereka mencipta dan mengeluarkan senjata yang sesuai dengan zaman. Sebaliknya mereka lebih gemar bercakap tentang masa lampau pada waktu mana mereka lebih berjaya di dalam peperangan dan pembangunan. Mereka percaya yang Allah akan terus menyebelahi mereka kerana mereka penganut agama Islam walaupun mereka sendiri tidak lakukan apa-apa untuk menolong diri mereka sendiri. Bahkan mereka kerap melakukan apa yang ditegah oleh agama Islam.

 

  1. Di masa yang mereka ketepikan tuntutan ilmu selain agama, masyarakat Eropah, teruja  dengan  kegemilangan  tamadun  Islam,  mula  mengkaji penulisan cerdik-pandai Islam yang terdahulu di kutub khanah di Cordoba, Baghdad dan Mesir. Dengan itu, mereka jadi lebih berpengetahuan dan maju.

 

  1. Begitulah kemunduran umat  Islam  selari  dengan  kebangkitan  tamadun Eropah (the European Renaissance). Selepas beberapa kurun, jurang di antara tamadun Islam dan tamadun Eropah meluas. Eropah menjadi lebih maju dan kuat manakala umat Islam semakin terkebelakang dan lemah. Lebih teruk lagi, tumpuan kepada agama oleh cerdik pandai Islam menghasilkan perbezaan tafsiran yang ketara di antara mereka. Ini membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, pembentukan mazhab yang berlainan dan sengketa di antara mereka. Begitu dahsyat sekali perpecahan di antara mereka hinggakan pembunuhan dan peperangan berterusan   berlaku di antara negara mereka. Mereka tidak lagi berpegang kepada persaudaraan Islam.

 

  1. Begitulah secara ringkas sejarah kemerosotan dan kejatuhan tamadun Islam. Peperangan berlaku antara negara-negara Islam dan antara mazhab- mazhab. Sehingga ke hari ini permusuhan dan peperangan antara orang Islam terus berlaku.

 

  1. Lemah dan berpecah, satu persatu negara-negara Islam ini dikalahkan oleh negara-negara Barat dan ditakluki oleh mereka.

 

  1. Orang Islam tidak ada apa-apa kekurangan berbanding orang lain. Tetapi perbezaan pendapat dan tafsiran agama memecah mereka. Pembentukan nation state juga mencetuskan permusuhan antara mereka. Dan menjadi lemahlah mereka.

 

  1. Untuk pulih semula keperluan yang pertama ialah untuk mentafsir undang- undang Islam dengan mengutamakan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam. Menghukum dengan adil disebut di dalam Al-Quran berulang kali. (Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil). Sebaliknya kita tumpu kepada proses, terutamanya kepada empat saksi. Al-Quran membenarkan bukti yang lain seperti baju Nabi Yusuf yang koyak. Itu diterima sebagai bukti bahawa Zulaikha yang mengejar Yusuf. Tetapi tekanan hari ni adalah terhadap proses, iaitu untuk empat orang saksi di dalam menentukan salah atau tidak.

 

  1. Yang lebih ditekan oleh pengamal undang-undang Islam ialah hukuman yang amat berat. Walaupun Al-Quran tidak menyebut hukuman pancung, tetapi inilah hukuman yang diamalkan bagi beberapa jenayah di sesetengah negara. Demikian juga dengan hukuman rejam dengan batu, terutama untuk penjenayah perempuan.

 

  1. Kita orang Islam  tidak  pernah  berbuat  apa-apa  mahupun  memulakan percakapan   tanpa   terlebih   dahulu   melafaz,   “Bismillahirahmanirahim”, “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani”. Tetapi kita orang Islam tidak mencerminkan sifat-sifat ini.  Begitu juga dengan 99 nama Allah yang mencerminkan  kebaikan dan bukan kezaliman. Hanya beberapa nama Allah mencermin ketegasan dan apa yang hari ini boleh dianggap terlalu berat. Tetapi kita mesti tahu yang kita mesti dipandu ajaran Allah, dan sifat Allah juga mestilah menjadi prinsip pegangan Islam. Tetapi, nyata sekali yang kita tidak pemurah dan mengasihani.

 

  1. Kita tahu yang kita juga mesti berpandu kepada hadith Rasulullah. Tetapi mengikuti sunnah bukan wajib. Berkenaan tafsiran dan ajaran ulama, sudah tentu jika ia bertentangan dengan firman Allah di dalam Al-Quran, kita harus berpandukan kepada Al-Quran. Kita tentu sedar yang banyak hadis dan sunnah adalah palsu atau lemah. Apabila di dalam keraguan, Al-Quran menyuruh kita rujuk kepada Al-Quran.

 

  1. Perkara pertama berkenaan  pentadbiran  yang  baik  ialah  pengamalan undang-undang. Undang-undang Islam adil dan bertimbang rasa. Di dalam Islam pertimbangan harus diberi kepada sebab-sebab sesuatu jenayah itu dilakukan. Dan Allah lebih suka kepada keampunan daripada mangsa atau saudara-maranya jika dianya dibunuh. Islam tidak bengis dan utamakan balas dendam sahaja.

 

  1. Undang-undang Islam jika diamalkan dengan penuh takwa akan membawa kepada kebaikan pentadbiran Kerajaan.

 

  1. Sudah tentu ada banyak lagi perkara yang sebuah Kerajaan yang cekap harus lakukan untuk membina sebuah negara Islam yang baik. Meningkatkan keselesaan hidup rakyat daripada rezeki kurniaan Allah amatlah penting. Kekayaan mestilah diagih dengan adil supaya semua dapat merasai nikmat Allah. Orang Islam mesti membayar zakat dan bersedekah agar yang miskin dapat menikmati kehidupan yang baik. Pahala akan terdapat pada yang memberi, bukan yang menerima.

 

  1. Pelajaran dan kecekapan di dalam pelbagai ilmu dan kemahiran mesti diberi keutamaan. Asas-asas agama Islam mesti diketahui oleh semua umat Islam. Tetapi di masa yang sama, kita mesti menguasai sains, matematik, kesihatan dan perubatan. Kita mesti berjaya di dalam semua bidang ini.

 

  1. Tentulah menjadi tanggungjawab  setiap  orang  Islam  untuk  berusaha mengembalikan sikap menghormati agama Islam dan penganutnya seperti di zaman kegemilangan tamadun Islam.

 

  1. Kita boleh mulakan secara kecil-kecilan. Demikian kerjasama di antara tiga negara, Turki, Pakistan dan Malaysia. Setiap daripada negara ini agak stabil dan bebas daripada perang saudara dan keganasan di dalam negara. Setiapnya juga telah berjaya mencapai kemajuan di dalam membangunkan negara. Setiap negara ini juga berdedikasi untuk mendukung Islam.

 

  1. Aset setiap negara ini apabila dikumpulkan akan menjadi umat Islam yang kuat. Kekuatan inilah yang harus diguna untuk membangunkan semua negara Islam di dalam semua perkara.

 

  1. Apabila ia terhasil, negara Islam yang lain bolehlah turut serta. Matlamat utama ialah untuk kembalikan tamadun Islam.

 

  1. Selagi negara-negara Islam tidak dapat ditadbir dengan baik, harapan umat Islam untuk menebus maruah dan mengelak daripada dihina dan ditekan tidak akan berjaya.

 

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
14 JANUARI 2021

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here